PM Anwar bentang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan dokumen Belanjawan 2025 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat. Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan serta laman YouTube Parlimen. Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga dibentangkan di bawah kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula 21 Oktober, diikuti sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November dan diteruskan dengan perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November.
Semalam, Anwar menerusi perkongsian di laman Facebook beliau berkata Belanjawan 2025 akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan belanjawan berkenaan. Terdahulu, Perdana Menteri tiba di lobi Dewan Rakyat pada 4 petang diiringi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312620/pm-anwar-bentang-belanjawan-2025-di-dewan-rakyat
|