11.1 juta pemegang unit melabur dalam ASB
Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Seramai 11.1 juta pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) direkodkan melabur dengan jumlah unit yang dilanggan sebanyak 173.8 bilion unit sehingga 23 Oktober lalu. Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata seramai 731,872 pemegang unit pula direkodkan melabur dalam Amanah Saham Malaysia (ASM), dengan jumlah unit yang dilanggan sebanyak 29.4 bilion unit. "Pelabur boleh melabur dengan jumlah maksimum 300,000 unit bagi ASB, manakala bagi ASM jumlah pelaburan maksimum tertakluk kepada peruntukan saiz dana," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bilangan penyertaan rakyat Malaysia yang melabur dalam ASB dan ASM.
Menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) sama ada cukai dikenakan ke atas dividen ASB dan ASM, Hui Ying bagaimanapun berkata, cukai tidak dikenakan ke atas dividen daripada dua skim pelaburan itu. Beliau berkata, faedah atau kadar dividen yang diterima pemegang unit ASB dan ASM berbanding dengan bank konvensional adalah lebih tinggi. "Sepanjang 2021 hingga 2023, skim ASB menjana pulangan pendapatan dalam julat 4.6 hingga 5.25 peratus termasuk bonus. "Bagi skim ASM, julat pendapatan sepanjang tahun yang sama adalah dari empat hingga 4.5 peratus," katanya. Beliau berkata, pulangan kedua-dua tabung unit melebihi penanda aras kadar simpanan deposit tetap secara purata adalah melebihi 1.5 peratus berbanding bank konvensional. Katanya, dengan pelaburan permulaan serendah RM10, pelabur boleh menambah pelaburan bagi kedua-dua skim di kaunter cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di seluruh negara. "Ia juga boleh dilakukan atau melalui ejen yang dilantik ASNB selain melalui platform atas talian di aplikasi dan portal myASNB. "Skim ASB dan ASM masing-masing dilancarkan pada 2 Januari 1990 dan 20 April 2020 bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang unit menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan di samping pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323782/111-juta-pemegang-unit-melabur-dalam-asb
|