|
200 jemaah Masjid La Mutmainnah lakukan solat hajat untuk Sabari Baharom
jemaah Masjid Mutmainnah lakukan solat hajat untuk Sabari Baharom di Kampung Kuala Pegang, hari ini.- Foto NSTP ZULIATY ZULKIFLI
BALING: Lebih 200 jemaah masjid Mutmainnah, Kampung Kuala Pegang di sini tu menunaikan solat hajat untuk memohon supaya jasad Sabari Baharom, 62 yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dapat ditemui dengan segera.
Imam masjid itu, Saidin Husin, 56, berkata, pihak masjid akan terus mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin bagi memohon kepada Allah supaya jasad Sabari ditemui dengan segera.
Katanya, mereka sentiasa mendoakan supaya mudah-mudahan jasad Sabari dapat ditemukan.
"Sabari antara jemaah masjid ini yang rajin datang menunaikan solat berjemaah untuk solat lima waktu," katanya ditemui di masjid itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, seluruh kariah masjid itu turut bersedih dengan kejadian menimpa Sabari.
"Sabari memang ahli jemaah ini, dia memang orang yang rajin ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah malah boleh dikatakan setiap waktu dia solat jemaah di masjid.
"Dia orang yang baik, mudah mesra dan pemurah," katanya.
Menurutnya lagi, bagi solat jenazah ghaib pula, dia perlu mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada pejabat agama dan Mufti Kedah terlebih dahulu.
Sementara itu, anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25 berkata;
"Saya terkenang pengalaman bersama ayah berjemaah untuk solat Jumaat di masjid ini. Kami menaiki Perodua Kancil yang dipandu ayah dan biasanya menunaikan solat di sebelah ayah di tempat sama iaitu saf sebelah kiri di tepi pintu," katanya
Menurutnya, hari ini genap sebulan kehilangan bapanya yang juga pesara pegawai kewangan FELCRA selepas dilaporkan hilang sejak 4 September lalu.
"Memang rindu dan saya sedih teringatkan ayah kerana dia seorang yang baik dan kehilangannya tiada ganti," katanya
Muhammad Amir Hakimi berkata, beliau berterima kasih dengan jemaah masjid yang menunaikan solat hajat untun bapanya.
"Ini adalah masjid yang sering dikunjungi bapa untuk menunaikan solat berjemaah.
"Kami memohon kepada Allah supaya jasad ayah ditemui segera dan dipermudahkan urusan sepanjang perbicaraan di mahkamah nanti demi keadilan buat ayah.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kariah masjid yang bantu buat solat hajat ini termasuk imam dan seluruh kariah masjid malah sebelum ini juga ada yang melakukan solat hajat dan bacaan Yassin buat ayah," katanya.
Mengulas lanjut, katanya dia dan dua kakaknya masih berharap supaya jasad bapanya yang disyaki dicampak ke Sungai Padang Terap itu ditemui meskipun operasi pencarian sudah ditamatkan.
"Kami sentiasa berharap suatu hari nanti akan jumpa jasad ayah malah itulah harapan saya dan keluarga, harap mungkin ada ada orang jumpa jasad ayah supaya ada pusara untuk dia.
"Buat sementara, saya dan kakak mungkin akan pergi ke sungai itu semula jika ada kelapangan kerana itu kenangan terakhir dia," katanya.
Sebelum ini Sabari dilaporkan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jalan Wang Tepus, di Jitra selepas diikat serta mulutnya dilekat pita pelekat.
Pencarian jasad dalam Sungai Terap itu dihentikan semalam selepas tiada petunjuk baru.
Operasi mencari dilakukan Sabtu minggu lalu selepas polis mendapat maklumat Sabari dicampak ke sungai itu dengan tangan terikat dan mulut dilekat dengan pita pelekat, hasil penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun.
https://www.bharian.com.my/berit ... -hajat-untuk-sabari
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|