Rekod tanpa kalah JDT lebur di tangan Gwangju FC
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman (dua kanan) cuba melepasi pemain Gwangju FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, sebentar tadi. Foto FB JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) lebur apabila tewas 1-3 kepada kelab Korea Selatan, Gwangju FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, sebentar tadi. Harimau Selatan yang merekodkan satu seri dan menang sekali dalam dua aksi awal sebelum ini dikejutkan dengan penyudah menarik daripada penyerang Gwangju, Jasir Asani seawal minit ketiga. Hanya tiga minit kemudian, Asani menghukum skuad kendalian Hector Bidoglio dengan jaringan kedua selepas pertahanan JDT, Feroz Baharudin melakukan kesilapan. Pemain kebangsaan Albania berusia 29 tahun itu berjaya merampas bola dari kaki Feroz dan membuat larian solo sebelum tenang menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre dengan rembatan leret.
Feroz bagaimanapun menebus kesilapan itu apabila menanduk masuk bola berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz pada minit ke-28 untuk menjadikan kedudukan 2-1. JDT yang lebih menguasai permainan melakukan beberapa gerakan bagi memburu gol menyamaan, namun percubaan daripada Arif Aiman Hanapi dan Muniz pada minit ke-78 tidak menepati sasaran. Lebih malang apabila gawang JDT bolos buat kali ketiga ketika perlawanan berbaki dua minit selepas bola tandukan Heo Yool terkena kaki pertahanan Harimau Selatan, Park Jun Heong sebelum menerjah jaringan. Meskipun cuba bangkit selepas itu, namun anak buah Bidoglio tampak kesuntukan masa dan terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka musim ini. Keputusan itu membolehkan Gwangju mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Zon Timur dengan mengumpul sembilan mata manakala JDT kekal dengan empat mata.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/10/1314604/rekod-tanpa-kalah-jdt-lebur-di-tangan-gwangju-fc
|