Peruntukan BHEUU ditingkatkan kepada RM209 juta
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Peruntukan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) ditingkatkan kepada RM209 juta berbanding RM194 juta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata, peningkatan peruntukan itu sesuai dengan komitmen reformasi perundangan dan reformasi. "Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula. Kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 hari ini. Sementara itu Perdana Menteri berkata kerajaan akan membentangkan RUU Kredit Pengguna pada mesyuarat akan datang
Katanya, sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan "Beli Sekarang Bayar Kemudian". "Peranan institusi kehakiman sebagai badan bebas terus diperkasa. Lebih 60 juta ringgit disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312658/peruntukan-bheuu-ditingkatkan-kepada-rm209-juta
|