|
Ahad, 29 Mei 2016 @ 6:04 PM
Hafiz bulan madu di Gold Coast
Oleh Farhana Ab Rahman
[email protected]
Penyanyi Hafiz Suip, 26, (kiri) dan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 24, memotong kek pada majlis resepsi Hafiz Suip yang diadakan di Hotel Dorsett Grand Subang. - Foto Khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip, 26, menggalakkan isterinya bekerja bagi menimba ilmu selain memahami pahit getir mencari rezeki namun menyerahkan kepada wanita itu untuk membuat keputusan sama ada mahu melakukannya secara separuh atau sepenuh masa.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Awan Nano itu tidak mahu isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah atau Effy, 24, mensia-siakan segala ilmu yang dikutipnya sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang Indeks Pelaburan hingga berjaya menggenggam segulung ijazah.
"Sebagai suami, saya tidak akan menghalang Effy mengejar cita-citanya. Saya juga pasti, kedua mentua saya tidak mahu anak mereka mensia-siakan ijazah yang dimiliki. Sekiranya dia ingin bekerja, saya akan menyokong 100 peratus keputusannya.
"Saya juga ingin mendedahkan Effy kepada dunia luar supaya dirinya tahu betapa susahnya mencari rezeki. Effy baru menamatkan pengajian di Asia Pacific University di Bukit Jalil dan saya tidak mahu apa yang dipelajarinya ditinggalkan begitu saja kerana ingin memberi tumpuan kepada rumah tangga," katanya.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 14 Mei lalu di kediaman keluarga Effy di Kuching, Sarawak. Pasangan pengantin baharu itu sekali lagi diraikan pada majlis resepsi terakhir di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor sebelum berangkat ke Gold Coast, Australia untuk berbulan madu.
"Kami memilih Gold Coast kerana saya pernah menyimpan hasrat untuk ke sana. Ketika mengikuti keluarga Effy bercuti ke Perth, tidak lama dulu, hati saya terdetik untuk kembali ke Australia dan meneroka pelbagai tarikan lain di negara itu.
"Pada mulanya, saya menyimpan angan untuk ke Istanbul kerana tertarik dengan pemandangan indah di sana. Hasrat itu bagaimanapun, terpaksa ditangguhkan dulu ekoran insiden pengeboman, baru-baru ini. Atas nasihat ramai, kami memilih untuk terlebih dulu ke Gold Coast.
"Kami akan berbulan madu selama 10 hari, sebelum terbang ke Jepun untuk menjayakan rakaman sebuah program. Saya akan kembali fokus dan bergerak aktif dalam bidang nyanyian selepas semua urusan ini selesai," kata Hafiz.
Menyentuh perkembangan kerjaya nyanyiannya, Hafiz bakal tampil dengan single terbaharu, Andai yang dicipta khas untuk isterinya. Lagu itu turut diperdengarkan kepada tetamu yang menghadiri majlis resepsinya, malam tadi. |
|