|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 116 ~
Ilmu Tapak Pasir Merah
"Saya tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya.
Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.
"Tetapi saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang secara tidak langsung membuka rahsia ddirinya.
"Saya pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari memperkemaskan silanya.
"Itu untuk ilmu apa, Haji?" soal datuk.
"Untuk melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas Haji Taslim Singasari. Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat kepala warna merah.
Arwah Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'. Khasiat dari ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena hentam itu akan muntah darah segar.
Ketika mangsanya mengeletek kesakitan ASK menghilangkan diri dan berada di tempat lain. ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.
Selain dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'. Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang, maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.
"Ini ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji mata Haji Taslim Singasari meraut wajah datuk yang sudah mula berkedut itu.
"Entahlah, setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang benar." Datuk memberikan pengakuan.
Dalam bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi. Sebaik saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut. Kunsi Kandut dihukum mati kerana kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.
Kunsi Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan. Maka dalam penjara dia diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya. Tetapi Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.
Hasil dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut, sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK. Saya terfikir, mungkinkah dua insan ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.
"Saya tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun.
Berjalan dari sudut ke sudut di ruang tengah.
"Ada anak muridnya?" tanya datuk.
Haji Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.
"Ada." Jawab Haji Taslim Singasari selamba.
"Dimana, Haji?"
"Saya tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.
"Hum..." datuk mengeluh kehampaan.
Buat beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.
Saya segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal. Ada pula yang tidak logik! Ah semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada datuk dan Haji Taslim Singasari.
"Kalaulah benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini tidak merebak ke mana-mana," datuk memberikan cadangan.
"Ya, kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan agama," sahut Haji Taslim Singasari.
"Kita berjanji," kata datuk.
"Ya, saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.
"Awak mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak, sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan telapak tangan datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
Saya tergamam, bila melihat datuk agak terkejut. Datuk terus mengerutkan dahinya, saya kira datuk seperti keberatan untuk memenuhi permintaan Haji Taslim Singasari.
“Bila haji nak pergi?”
“Tiga empat hari lagi.”
Datuk menyentuh ujung kening kirinya dengan jari telunkuk kanan. Haji Taslim Singasari menggaru-garu pangkal telinganya yang tidak gatal. Ekor matanya masih tertumpu kea rah saya.
“Begini haji.”
Haji Taslim SIngasari segera memalingkan wajahnya ke arah datuk. Mereka bertukar senyuman untuk seketika.
“Apa dia?” Soal Haji Taslim Singasari .
“Kalau begitu, biar saya balik ke kampung dulu. Dah lama sangat saya tinggalkan orang rumah”
“Dah tua-tua begini rindu lagi ke?” Usik Haji Taslim SIngasari seiring dengan ketawa sinis.
“Bukan apa-apa, adat bersuami bertanggungjawab pada makan minum isteri, kesihatannya juga perlu diperhatikan. Hidup jangan mementingkan diri sendiri, tak mahu memikirkan kebajikan isteri, itu bukan suamai yang baik,” tutur datuk. Saya lihat Haji Taslim Singasari menganggukkan kepala.
“Cakap awak tu betul, kita harus menjadi suami yang baik mengikut hukum hakam Islam,” Haji Taslim SIngasari memberikan semangat.
“Hajat tu memang begitu” celah datuk.
“Saya tak menghalang, terpulanglah kepada awak. Saya sedia menanti awak” itulah kata-kata yang datuk nantikan dari Haji Taslim SIngasari.
“Awak ikhlas ke Haji?”
“Saya ikhlas”
“Ke mana kita nak pergi sebenarnya Haji, boleh tak awak beritahu tujuan sebenarnya Haji nak mengajak saya ke situ, bila orang kampung bertanya, senang saya nak menjawabnya,” tutur datuk dengan tenang.
Lagi sekali saya lihat Haji Taslim Singasari tersenyum sinis.
“Awak ni selalu menggunakan nama orang rumah, katakan saja awak yang nak tahu,” dalam senyum Haji Taslim Singasari menyindir datuk.
“Dua-dua boleh pakai” sahut datuk.
“Begini,” Haji Taslim mengemaskan silanya,
“Saya ajak ke kampung saya supaya awak boleh berkenalan dengan orang tempat saya”
“Itu saja,” wajah datuk nampak kesal.
Haji Taslim dapat membaca apa yang tersirat dalam hati datuk dan dia terus bersuara lagi.
“Kita pergi sebuah kampung yang aneh, saya nak ajak awak tangkap hantu hidup-hidup”
“Awak ni cakap betul atau nak bergurau dengan saya” datuk minta kepastian.
Saya juga terkejut mendengar cakap Haji Taslim itu.
“Saya tak bergurau, saya tak berbohong,” Haji Taslim memperlihatkan kesungguhannya.
Saya dan datuk saling berpandangan.
“Hantu apa yang nak ditangkap?” datuk tatap wajah Haji Taslim.
Begitu juga dengan saya.
“Nak tangkap hantu susu”
Saya jegilkan mata bila mendengar Haji Taslim. Entah mengapa secara mendadak saja bulu roma saya terus berdiri.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
“Hei, macam cerita budak-budak je” kali ini giliran datuk tersenyum sinis kearah Haji Taslim.
Ternyata Haji Taslim kurang senang dengan kata-kata yang diluahkan datuk.
“Benar kawan, sudah dua tiga orang dah menyampaikan cerita tu pada saya. Khabarnya cerita tu dah tersebar luas seluruh pulau ini. Saya sendiri belum dapat menentukansejauh mana benarnya cerita tersebut,” Haji Taslim merenung muka datuk. Saya lihat datuk masih lagi tersenyum sinis, mungkin datuk berfikir, mana ada hantu susu dalam dunia yang serba moden ini.
Beberapa saat yang panjang, tiada ungkapan kata yang lahir dari kelopak bibir kami. Suasana terasa amat sepi sekali. Bunyi deru angn di luar tidak seganas tadi.
Suara lolongan anjing kadang-kadang tenggelam. Begitu juga dengan suara burung hantu. Tubuh, saya peluk erat-erat dan dagu saya menggeletar menahan kedinginan malam yang kian tua.
“Agaknya perkara yang sebutkan ini ada kaitan dengan sahabat awak yang mati tu?” datuk ajukan pertanyaan kepada Haji Taslim.
Saya lihat Haji Taslim menegakkan badannya. Dia terus menggelengkan kepala. Tidak mahu menjawab pertanyaan datuk.
“Kalua bukan dirinya, boleh jadi anak muridnya” datuk terus memancing jawapan dari Haji Taslim.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Melihat dari gerak geri air mukanya, Haji Taslim seperti bersetuju dengan apa yang datuk tuturkan. Jerat datuk mengena, fikir saya dalam hati.
“Setahu saya, semasa dia menuntut dulu, tak pernah dia bercerita yang dia menuntut ilmu yang semacam itu.” Tanpa saya duga Haji Taslim mahu membuka mulut.
Dia bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibukanya luas-luas. Saya menjadi cemas, takut perkara buruk berulang lagi. Haji Taslim menatap kegelapan malam seketika.
Daun jendela dirapatkan kembali. Dengan tenang Haji Taslim melangkah kearah saya dan duduk bersila di atas lantai.
“Agaknya dia memang menuntut, tapi tak beritahu awak. Kalau diberitahu awak, nanti awak melarang dia,” kata datuk.
“Boleh jadi cakap awak betul.” Balas Haji Taslim dengan tenang,
“Boleh jadi ada orang lain yang mengamalkan ilmu itu” tambahnya.
Kata-kata yang diluahkan oleh Haji Taslimmmebuat keraguan bersarang dalam dada saya. Dia masih melindungi dan mempertahankan arwah sahabatnya.
Saya menelan air liur dan membuat rumusan yang Haji Taslim perlu diawasi dengan cermat. Mana tahu, dalam diam-diam dia akan menjadi pemusnah pada diri saya dan datuk.
“Orang yang sudah tiada, usah dikaitkan dengan kejahatan di kulit dunia,” tutur Haji Taslim lagi, memperkuatkan keraguan dalam hati saya.
“Saya tidak berniat buruk terhadap arwah, saya cuma meluahkan pendapat dan pandangan aje,” datuk bertindak membersihkan dirinya dengan span.
Semoga tidak ada tanggapan buruk haji Taslim terhadap dirinya.
“say faham, awak bercakap sekadar ingat-mengingati,” Haji Taslim terus menepuk bahu kanan datuk.
“Cakap awak tu memang ada manfaatya. Kena fikir bersama, barangkali ada kebenarannya.” Haji Taslim menggeliat dan akhirnya memicit ibu jari kaki kanannya.
“Pada hemat saya, setiap perkara buruk mesti ditentang, terutaman yang mnyesatkan iman,” cetus datuk dengan cara mendadak saja.
“Betul, memang betul,” Haji Taslim menjengilkan matanya ke arah datuk.
“Tapi kerja macam tu tak mudah, banyak cabaranya, Haji,” tingkah datuk sambil meraba hujung dagunya.
Saya terdengar sesuatu di tingkap. Mata pun saya arahkan ke situ.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
Tak ada apa-apa, Cuma angin saja, kamu cepat sangat takut”, Haji Taslim menujukan kata-kata kepada saya, rupa-rupanya dia dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.
“Apa yang awak katakan tadi, cuba ulang sekali lagi,” Haji Taslim mengarahkan jari telunjuknya ke arah datuk.
“Banyak cabarannya, bukan kerja mudah”, ulang datuk lagi.
“Ya, sebab itulah kita memrlukan kawan yang berilmu. Dua ilmu dari dua kawan, kita satukan untuk menentang kejahatan, saya memang memerlukan awak dalam hal ni,” wajah Haji Taslim nampak riang sekali.
“Saya tak sehebat mana, Haji. Kalau Allah mengizinkan, jadilah ia. Kalau tidak, hampa melayang,” datuk tetap macam selalu, suka merendah diri.
“Sudah lah tu, hidup kalau terlalu merendah diri, ti dak juga baik. Sekarang saya dah terangkan tujuan sebenar. Senanglah awak bercakap dengan orang rumah.”
“Nampaknya begitulah Haji,” sanggah datuk.
Mereka berbalas ketawa, dan ketawa mereka berhenti secara mengejut.
Biji mata mereka tertumpu kea rah tingkap yang terbuka sendiri.
Ada lengan sebesar batang kelapa terjulur di tingkap. Jumlah jari cuma empat sahaja. Ibu jarinya bengkok macam ibu kunyit. Semua jejari itu berbulu dan dilekati tanah warna kekuningan.
Di lengan itu penuh dengan bulu berwarna hitam, tidak ubah seperti lengan mawas (king kong), terdengar bunyi orang menarik dan melepaskan nafas dalam keadaan yang amat penat. Rumah yang kami duduki terasa bergegar. Seluruh tubuh saya menggeletar.
“Syaitan apa tu Haji?”
“Sudah lama dia tak datang, kenapa malam ni dia datang” Haji Taslim seperti merungut.
Datuk merenung kea rah anak mata saya, dari renungannya, bagai ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada saya.
“Makhluk peliharaan awak, Haji?”
“Rasanya iman saya belum tergugat lagi.”
“Jadi, dia datang ni untuk siapa?” tingkah datuk
Haji Taslim mempamerkan kemarahan di wajah. Hatinya kurang senang dengan pertanyaan yang bertalu-talu.
“Saya tak mahu menjawab pertanyaan awak, cari sendiri jawapannya” nada suara Haji Taslim mula meninggi.
Dia genggam penumbuk. Matanya tertumpu kea rah lengan yang sedang bergerak ke sana ke mari atas bendul tingkap. Jejarinya sekejpa terbuka sekejap tertutup.
“Peliharaan arwah, Haji?”
Haji Taslim mengangukkan kepala.
“Masa arwah ada, kerap dia datang”
Haji Taslim mengangukkan kepala.
“Minta makanan,” soal datuk lagi.
Tiada jawapan dari Haji Taslim kecuali anggukan kepala.
Mungkin bosan dengan Haji Taslim yang main angguk-angguk kepala saja, datuk terus berhenti bertanya. Matanya ditumpukan kepada lengan di bendul tingkap. Saya ikut apa yang datuk lakukan. Dari hujung jari jemari itu, darah keluar lalu menitik ke atas lantai.
Anehnya apabila saya merenung ke tempat darah itu menitik, tidak ada kesan darah. Entah ke mana darah itu menghilang. Mustahil meresap ke dalam papan lantai. Kelopak mata Haji taslim tidak berkelip merenung kea rah tangan berbulu yang bergerak bebas di atas bendul tingkap. Bunyi hembusan nafas bertambah kuat dan hebat.
Saya menjadi resah. Tetapi rasa takut agak berkurangan keranan datuk ada di sisi saya. Lolongan anjing yang tadi jarang kedengaran, kini sudah bertalu-talu, begitu juga dengan suara burung hantu yang bersorak, deruan angin mula kedengaran.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
“Masa arwah hidup dulu, dia beri makan darah binatang?” soal datuk pada Haji Taslim.
Jawapan yang diperolehi ialah anggukan.
“Darah ayam”
Haji Taslim mengangguk.
“Darah manusia,”
Angguk juga yang diperolehi.
“Pernah beri darahnya sendiri yang dikeluarkan dari salah satu urat di bawah ketiak,” sambung datuk.
Macam tadi juga, tidak sepatah kata keluar dari mulut Haji Taslim. Dia terus main angguk kepala, macam belatuk patuk batang buruk.
Rumah bergegar lagi seperti digoncang sesuatu. Suara orang ketawa dan mengilai mulai kedengaran. Haji Taslim ubah tumpuan kearah datuk.
“Ambilkan bilah buluh yang saya selitkan di dinding belakang awak,” itu arahan yang dikeluarkan pada datuk.
Tanpa membuang masa datuk bangun dan mencabut salah satu bilah buluh yang terselit di dinding. Datuk segera serahkan pada Haji Taslim.
“Rasanya, waktu subuh dah dekat,” nada suara Haji Taslim kini bagai mengandungi harapan yang besar.
“Saya rasa pun begitu, dah dekat benar waktunya,” balas datuk penuh keyakinan.
Haji Taslim terus melurut bilah buluh kering dua tiga kali. Kedua bilah buluh itu memang sudah ditajamkan. Saya lihat Haji Taslim mengukur seluruh bilah dengan kuku jari kirinya.
“Nak buat apa?” mendadak datuk menyoal.
Tiada jawapan dari Haji Taslim. Sesekali, saya bagaikan terlihat kemunculan wajah yang mengerikan di tingkap.
Wajah itu mengeluarkan cahaya kekuningan, kulitnya berkedut dengan rambut berwarna kemerah-merahan menutup wajahnya. Dari celah-celah rambut itu terdapat sepasang mata yang memancar cahaya hijau. Bulat sebesar telur burung puyuh. Sorotan cahayanya cukup jauh, macam sorotan cahaya lampu picit.
Haji Taslim kali ini mnegubah kedudukannya. Kali ini dia duduk bersila. Bilah buluh diletakkan di antara kedua tempurung lututnya. Sepasang tangannya terus memeluk tubuh. Kelopak bibirnya mula bergerak.
“Kita mulakan sekarang,” perlahan-lahan Haji Taslim memusingkan lehernya ke kanan, iaitu kearah datuk. Mata mereka bertembung.
“Maksud Haji?”
“Menghancurkan apa jua peninggalan arwah. Menjahanamkan semua sahabat-sahabatnya,” nada suara yang mengutuskan kemarahan dari dalam sanubari Haji Taslim.
“Mahu bantuan dari saya, Haji,”
“Niat memang begitu, tapi ikhlaskah awak menolong saya. Jangan disalahkan saya kalau ada hal-hal yang buruk datang kemudian.” Haji Taslim Taslim besuara tanpan melihat wajah datuk. Matanya terus tertumpu pada lengan di atas bendul
Saya mula terdengar bermacam-macam bunyi. Ada suara beruang, kucing dan tempikan gajah. Dan saya yakin suara-suara aneh itu hanya datang kepada saya. Kalau Haji Taslim mendengarnya, pasti dia meberi komen. Begitu juga datuk.
“Bersedia”
Cukup lantang suara Haji Taslim. Pergerakkan tubuhnya sungguh pantas. Tahu-tahu dia sudah berdiri dengan bilah buluh ditangan. Bersedia untuk melunturkan buluh yang tajam kerah lengan berbulu yang tersidai di atas bendul tingkap.
“Apa mesti saya buat, Haji?”
“Melafazkan kalimah Allah Huakbar, bila bilah buluh itu melekat pada daging syaitan itu. Tetapi kalau terdengar suara azan Subuh masa buluh ini menikam lengan ganjil tu, tak payah ucap Allahu Akbar.”
“Baiklah, Haji”
Haji Taslim menarik dan menahan nafas. Bila nafasnya dilepaskan bilah buluh pun dilunturkan kea rah lengan berbulu. Lunturan tepat pada sasarannya. Bilah buluh lekat di situ, jejari empat saya lihat relai dari tangan. Semua melayang dan meluru kea rah Haji Taslim. Saya terdengar suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat. Rumah kembali bergegar.
Datuk saya lihat seperti orang kena pukau. Dia tidak dapat berkata sepatah pun. Matanya, tidak bergeral melihat jari-jari bagaikan terbang menerkam Haji Taslim bersama cahaya kemilau macam cahaya kelip-kelip.
Haji Taslim terpaksa menggerakkan bilah buluh ke kiri dan ke kanan. Hanya itu sahaja yang dapat dilakukan mengelakkan diri dari diserang oleh jejari yang empat.
Dalam suasana yang kacau bilau itu, terdengar suara azan berkumandang di udara. Rumah yang bergegar terus berhenti. Datuk yang terpukau terus tersedak. Suara binatang yang memekakkan telinga saya terus hilang.
Empat jejari yang mahu menujah muka Haji Taslim terus lesap entah ke mana. Keadaaan kembali normal.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
“Masih ada bahaya yang lebih besar lagi,” ucap Haji Taslim.
Dia terus mendekati. Gema azan sudah pun berakhir. Haji Taslim menarik tangan datuk ke arah jendela.
“Tanah, darah dan kain putih,” kata saya dengan rasa terkejut yang amat sangat bila melihat kesan tanah kubur, darah dan kain putih yang terlekat pada bendul jendela.
Saya merenung wajah Haji Taslim. Saya mohon penjelasan daripadanya.
“Kain putih yang melekat pada bendul tu, kain kafan,” jelas Haji Taslim
Darah saya tersirap
“Tanah tu, agaknya tanah dari kubur,” celah datuk
“Memang tanah kubur,” jawab Haji Taslim.
“Darah tu, darah apa, Pak Haji,” tanya saya.
“Itu saya tak tahu. Boleh jadi darah ayam atau darah binatang lain,” Haji Taslim tesus menggosok pangkal
hidungnya beberapa kali.
“Sudahlah, bila hari cerah, kita periksa,” tiba-tiba sahaja datuk memberikan pendapat, ternyata pendapatnya diterima oleh Haji Taslim.
Kami segera ke perigi dan mandi. Setelah itu kami menunaikan sembahyang Subuh dan imamnya ialah Haji Taslim. Selesai sembahyang Subuh, kami terus berwirid panjang hingga matahari muncul di kaki langit.
Dan pagi itu, setelah menemani datuk bermandi embun, saya terus pulang ke rumah Haji Taslim.
“Datuk kamu kemana, Tamar?”
Itu yang Haji Taslim ajukan, bila melihat wajah saya terjenggul di pintu.
“Di belakang,” jawab saya.
“Sarapan dah siap,” sambung Haji Taslim lagi. Saya anggukkan kepala. Lalu ke ruang dapur mencuci tangan.
Kemudian saya duduk bersila menghadapi hidangan pagi.
Hati kecil saya mengkagumi kecekapan Haji Taslim. Walaupun sudah tua. Tetapi masih mampu menyediakan sarapan dengan segera.
Dia buat air kopi panas, pisang goreng malah ada tiga pinggan nasi lemak. Semuanya dibuat sendiri tanpa bantuan saya dan datuk.
“Berat sangat untuk makan pagi,” tegur datuk yang muncul secara mendadak. Haji Taslim tersenyum.
“Awak nak berjalan jauh, perut mesti diisi dengan kejap, baru seronok berjalan,” sahut Haji Taslim.
“Memang sudah menjadi kebiasaaan, berjalan atau tidak, makan pagi sekadar mengalas perut.”
“Kalau begitu, banyak sangat saya masak ni,” Haji Taslim tuang kopi di dalam cawan.
“Kira-kira begitulah, Haji.”
“Tak apa, boleh buat bekal awak berdua,” Haji Taslim sudah menemui jalan bagi mengatasi masalah tersebut.
Datuk terus anggukkan kepala.
Ternyata sarapan pagi itu amat menyelerakan, satu pinggan nasi lemak habis masuk perut saya. Bila saya mahu menyentuh pisang goreng, telapak tangan datuk segera jatuh ke atas pergelangan tangan saya. Cepat-cepat saya toleh ke wajah datuk.
“Kamu sudah cukup kenyang, jangan ikutkan nafsu. Makan sekadar untuk kenyang, jangan berlebih-lebihan.”
“Biarlah si Tamar tu merasa goreng pisang saya,” Haji Taslim minta laluan.
Hati saya riang kerana ada manusia yang mahu mempertahankan saya.
“Tak apa, dia boleh rasa goreng pisang yang awak bekalkan tu, dalam perjalanan nanti,” ternyata datuk tetap mahu mempertahankan konsep makan sekadar untu kenyang yang sudah menjadi darah daging dalam dirinya.
Dan konsep itu mahu diserapkan kedalam diri saya pula.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
“Mahu mengajar supaya cucu awak patuh kepada awak?”
“Ya, kalau tak dibentuk dari sekarang, bila lagi?” jawab datuk dan terus menghirup air kopi terkahir.
Dia basuh tangan dan minta bantuan Haji Taslim membungkus nasi lemak dengan daun pisang yang dibalut dengan upih.
Alasan datuk, kenapa dia meminta Haji Taslim berbuat demikian ialah, supaya nasi lemak ituterus panas dan bau wanginya tidak mudah hilang. Rupanya, dalam hal ini, pendapat datuk dan Haji Taslim tidak bercanggah.
Selain dari perkara yang disebutkan tadi, ada khasiat lain yang tersembunyi. Menurut Haji Taslim nasi yang dibalut dengan daun pisang atau upih, bila dimakan dapat mengurangkan lemak dalam perut serta mengeluarkan angin dan dapat menghilangkan lenguh-lenguh badan. Sejauh mana kebenaran kata-kata Haji Taslim tidak dapat saya pasti. Dan Datuk pula tidak menafikan.
“Selamat jalan”.Suara Haji Taslim parau.
Dia terus berpeluk-pelukan dengan datuk di kaki tangga. Saya yang nakal terus menuju kea rah jendela tempat lengan aneh tersadai malam tadi.
Saya periksa tanah dikawasan tingkap. Apa yang saya temui ialah kesan darah dan tulang temulang. Saya segera berlari ke kaki tangga mendapatkan Haji Taslim dan datuk. Kedua-duanya saya ajak datang ke kawasan bawah tingkap. Saya tunjukkan apa yang saya temui di situ.
“Memang begitu, setiap kali benda ganjil ni datang, dia mesti membawa tulang. Tulang-tulang mesti hancur jadi macam kapur bila terkena matahari,” Haji Taslim terus mencangkung.
Matanya menatap tulang-tulang berserakan.
“Kalau tak silap saya, tulang-tulang ni, tulang binatang besar,” datuk memberikan pendapat.
“Memang benar apa yang awak cakap tu,” pintas Haji Taslim,
“Dulu saya pernah terjumpa tulang kaki manusia,” tambah Haji Taslim.
Mata saya dan datuk terbeliak mendengar penjelasan Haji Taslim. Saya jadi seram.
“Serbuk tulang ni, kalau terkena kaki atau mana-mana bahagian tubuh, boleh bawa penyakit,” Haji Taslim buka rahsia,
“Kulit boleh jadi gatal, bila digaru lama-lama akan keluar air dan seluruh badan luka-luka,” lanjut Haji Taslim.
“Macam mana awak tahu Haji?” tanya datuk.
“Arwah yang beritahu, dia pernah mengenakan serbuk tulang itu pada kucing, bulu kucing terbakar dan kulitnya mengelupas.
Tak sampai dua jam kucing tu mati. Ini sebenarnya racun, digunakan oleh mahaguru ilmu hitam untuk menewskan musuhnya.” Haji Taslim berhenti bercakap.
Dia terus bangun dan menatap wajah datuk.
“Arwah mahu menggunakan serbuk tulang ni untuk menjahanamkan awak, tetapi, belum sempat saya menahannya, dia sendiri keberatan menggunakannya. Itulah kehebatan awak,” Haji Taslim menepuk bahu kanan datuk dua tiga kali.
Kemudian dia mengajak datuk menuju ke kaki tangga. Kerana bimbang saya akan menyentuh tulang-tulang yang ada di situ, saya disuruh datuk berjalan dahulu. Cakap datuk segera saya patuhi.
“Macam mana awak nak menghilangkan tulang yang jadi serbuk bila kena matahari,” datuk erus merisik rahsia dari Haji Taslim.
“Arwah ada memberi saya cara dan petuanya,”
“Macam mana?”
“Kenapa, awak nak tahu ke? Saya ingat awak tak usahlah tau.”
“Begini Haji, tahu tu lebih baik daripada tak tahu,” tutur datuk dengan tenang.
Haji Taslim berhenti melangkah dan mendongakan muka ke langit melihat matahari pagi yang mula melepasi pucuk pokok kelapa dara.
“Bila sinar matahari ini sampai ke tanah di bawah tingkap. Semua tulang-tulang yang kita tengok tadi hancur jadi serbuk,” Haji Taslim kedutkan dahi dan dia berhenti menatap matahari yang kian keras melemparkan cahayanya di setiap sudut kampung.
Langkah yang terhenti diteruskan sehingga sampai ke kaki tangga.
“Petua tadi macam mana?” datuk mendesak.
“Petua apa?” Haji Taslim terkejut,
Sepasang matanya merenung kea rah tepi sawah sambilkan kedutkan kening dan dahi. Dia seperti mengingati sesuatu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 117 ~
Kena Serbuk Tulang Manusia
“Oh! Ya,” Haji Taslim seperti bertempik,
“Saya terlupa,saya terlupa, saya terlupa,” ucapnya berkali-kali seperti menyesali dirinya.
Datuk turut tesenyum. Memang datuk tidak menduga secepat itu, Haji Taslim terlupakan perkara yang diperkatakan. Barangkali Pak Haji yang satu ini terlalu menumpukan selurh daya fikirnya pada perkara tulang di abwah rumahnya, barangkali, dia mencari jalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, bila dia berada di rumah itu seorang diri. Fikir saya di dalam hati.
“Petua dia, begini,” Haji Taslim merapati datuk.
Ditariknya tangan datuk agar duduk di bangku yang berada tidak jauh di kaki tangga.
Sinar matahari mula menyentuh tulang bumbung rumah. Suara beburung pagi berkicau garang.
“Petuanya, mudah je, curahkan minyak kelapa masak kea atas serbuk tulang,” kata Haji Taslim.
“Itu saja, saya fikir ada perkara lain,” ujar datuk sambil senyum.
Dan kali ini Haji Taslim arahkan sepasang matanya kea rah muka datuk. Tiba-tiba dia anggukan kepala seraya berkata.
“Memang betul, bukan itu saja,”
Datuk menarik nafas panjang. Dari wajahnya tergambar kepuasan dan keinginan amat sangat untuk mengetahui rahsia selanjutnya. Datuk tumpukan perhatian pada kelopak bibir Haji Taslim.
“Minyak kelapa tu, mestiah dari kelapa gading yang kita buat sendiri. Minyak kelapa itu diisikan dalam botol sesudah dibacakan yasin selama tujuh malam Jumaat,” Haji Taslim terus membuka rahsia. Datuk anggukkan kepala.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
Haji Taslim Singasari terus bangun. Tetapi, datuk masih bertahan di bangku. Keberatan untuk bangun dan bermenung panjang, macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dua tiga kali datuk dongakkan kepala ke langit sambil mengedutkan dahinya.
"Pelik, macam tak masuk di akal Haji," itu yang terpancut dari kelopak bibir datuk.
Haji Taslim Singasari jegilkan biji mata ke arah datuk.
"Apa dia yang pelik tu?"
"Mengapa si arwah tu, mahu menceritakan kelemahan dirinya pada awak. Saya kira arwah tu tersilap."
"Hmm..." Haji Taslim Singasari mengeluh kecil. Dia melangkah ke arah tangga dan duduk di anak tangga kedua.
Sinar matahari menjamah wajahnya, sebahagian dari sinar matahari itu menghala ke tanah di bawah tingkap yang terdapat serakan tulang. Datuk terus mengawasi gerak-geri Haji Taslim Singasari. Demikian juga dengan saya.
Haji Taslim Singasari bangun. Dia melangkah ke arah datuk dan lalu berdiri di depan datuk sambil memeluk tubuh.
"Bukan apa-apa," Haji Taslim Singasari memulakan bicara dengan wajah yang serius,
"kalau dia tak beritahu, akhirnya saya tahu juga," tambahnya lagi.
"Siapa yang beritahu awak?" potong datuk.
"Guru saya boleh beritahu."
"Patutlah arwah buka rahsia, kerana dia tahu ada orang lebih handal darinya."
"Bukan pasal tu," sanggah Haji Taslim Singasari sambil merenung tanah di kaki.
Sinar matahari kian terik.
"Kalau bukan pasal tu, pasal apa." desak datuk dengan nada suara yang agak keras.
Saya segera mendekati mereka. Duduk di sebelah datuk. Saya ingin mengikuti cerita selanjutnya dengan terperinci.
"Arwah mahu menunjukkan yang dirinya jujur dalam bersahabat. Dia beritahu dulu, sebelum orang lain beritahu," jelas Haji Taslim Singasari.
Datuk mengigit bibir.
"Apa pendapat Haji tentang sikapnya tu?" soal datuk lagi.
Saya terus memasang telinga dalam sinar matahari yang kian keras itu.
"Dia memang jahat, tetapi kejujurannya dalam persahabatan tak ada orang yang boleh menandinginya. Setianya pada sahabat sampai mati,” terpamer rasa bangga di wajah Haji Taslim Singasari.
Kedua belah tangannya yang memeluk tubuh segera dijatuhkan.
"Saya tetap mohon pada Allah setiap kali lepas sembahyang, minta dosa arwah diampunkan dan rohnya tidak diseksa," ungkap Haji Taslim Singasari lagi.
Wajahnya nampak sedih sekali.
Tanpa tangguh-tangguh lagi, datuk terus berdiri. Tubuh Haji Taslim Singasari terus dipeluknya dengan erat sekali. Perbuatan datuk itu amat mengejutkan Haji Taslim Singasari.
"Saya bersama Haji, sebagai orang Islam kita harus mendoakan kesejahteraan orang yang seagama dengan kita, tidak kira yang hidup atau yang mati," ucap datuk dalam nada suara yan tersekat-sekat.
Mereka terus berdakapan dalam jangka waktu yang agak panjang. Bila mereka berhenti bercakap barulah hati saya terasa lapang.
"Aduhhh!!!"
Seketul batu sebesar penumbuk mengenai rusuk sebelah kiri saya. Tidak tahu dari arah mana batu itu dibalingkan kepada saya. Apa yang pasti, sakitnya bukan kepalang. Haji Taslim Singasari dan datuk segera menghampiri saya. Baju saya segera dibukakan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
"Lebam sebesar penumbuk," kata datuk.
"Mana batunya?" tanya Haji Taslim Singasari.
Saya segera menuju ke arah batu di tanah.
Haji Taslim Singasari segera menyentuh batu itu, tetapi segera dilepaskannya ke bumi. Wajahnya nampak berkerut menahan kesakitan.
"Kenapa Haji?" tanya datuk.
"Batunya panas, macam bara api," jawab Haji Taslim Singasari.
Dia terus membongkok mengambil dan menggenggam tanah. Setelah membaca sesuatu, genggaman tanah itu segera dilemparkan ke arah batu. Saya lihat batu itu berasap dan terus mengecil sebesar telur ayam jantan.
Datuk terus mengambil sehelai daun paku rawan. Datuk ramas hingga hancur dan mengeluarkan air. Datuk membaca beberapa ayat dari Al-Quran, kemudian air atau lendir dari daun itu disapukan ke bahagian tubuh saya yang lebam. Terasa sejuk macam ketul ais yang ditekankan di situ.
Bila datuk lekapkan telapak tangannya, bahagian kulit yang lebam itu terasa amat panas sekali. Saya tidak menahan air mata dari mengalir di pipi.
"Hei, tak malu orang jantan menangis," sindir datuk dan dia berhenti menekapkan telapak tangannya ke bahagian tubuh yang lebam itu.
"Apa rasanya sekarang," tanya datuk lagi.
"Tak ada apa-apa," sahut saya lalu merenung ke arah tubuh yang kena batu itu.
Daging yang lebam membiru sudah tiada lagi. Sudah pulih seperti sediakala.
Baju segera saya sarungkan ke tubuh. Tetapi, Haji Taslim Singasari masih menbelek-belek batu hitam sebesar telur ayam jantan itu dari beberapa sudut. Haji Taslim Singasari masih tidak berani menyentuhnya.
"Apa yang ditengok, buang saja Haji."
"Ini bukan sebarang batu."
"Habis, batu dari langit?" datuk berjenaka bersama ketawa tetapi Haji Taslim Singasari tidak memperlihatkan reaksi gelihati dengan telatah datuk.
Dia kelihatan serius sekali. Matanya tidak berkedip melihat batu kecil yang dipanah matahari.
"Cuba renung batu tu lama-lama," kata Haji Taslim Singasari dalam nada suara yang keras.
Mata saya dan datuk segera tertumpu ke arah batu kecil. Bila direnung agak lama ternyata batu itu bukan berwarna hitam, tetapi berwarna kemerah-merahan macam bara api dan mengeluarkan percikan cahaya yang berwarna kebiru-biruan.
"Batu apa ni, Haji?"
"Inilah batu petir yang sudah dijadikan batu tuju-tuju untuk menjahanamkan manusia, batu ini sudah dipuja," jelas Haji Taslim Singasari.
"Apa yang mesti kita buat Haji."
"Terpaksa dihancurkan menjadi pasir," suara Haji Taslim Singasari merendah.
Dia menarik nafas panjang dua tiga kali.
Haji Taslim Singasari dongakkan kepala melihat matahari dan awan gemawan di langit. Beberapa ekor burung gagak yang entah dari mana datangnya berlegar-legar di bumbung rumah Haji Taslim Singasari sambil berbunyi dengan nyaringnya. Haji Taslim Singasari ubah pandangan, merenung dikakinya sejenak. Saya dan datuk berpandangan.
"Ahemmmmm..."
Haji Taslim Singasari berdehem lalu merenung tajam ke arah saya dan datuk. Dia angkat tangan kanannya separas bahu, memberi isyarat supaya kami beredar dari sisi batu hitam yang aneh itu. Kami diarahkan supaya duduk di atas batang buruk di hujung halaman rumahnya.
Apa yang diarahkan oleh Haji Taslim Singasari segera saya patuhi tanpa ada rasa takut atau curiga. Sebabnya bukan apa-apa, semuanya berlaku di waktu siang dan cuaca pula terang benderang. Kalau waktu malam, memang wajarlah saya merasa takut atau curiga. Waktu siang syaitan dan hantu tidak wujud. Semuanya sedang tidur nyenyak. Demikianlah pada anggapan saya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
Saya dan datuk terkejut, bila melihat Haji Taslim Singasari berlari dengan kencangnya kearah saya dan datuk. Bagaikan kilat kami bangun.
"Ikut saya," tutur Haji Taslim Singasari.
"Ke mana?" soal datuk.
"Ikut apa yang saya buat."
"Baiklah Haji."
Haji Taslim Singasari segera berlari sambil membongkokkan tubuh. Saya dan datuk juga ikut berlari seperti itu menuju ke arah batu hitam kecil. Kami kelilingi batu hitam dalam keadaan membongkok.
"Cukup, berhenti di situ," suara Haji Taslim Singasari nyaring sekali.
Saya dan datuk akur dengan perintahnya itu. Berdiri dalam keadaan membongkok memang menyeksakan. Sinar matahari yang kian menyengat membuat dahi dan badan saya berpeluh. Tetapi saya lihat datuk masih dalam keadaan yang tenang dan stabil.
"Tegakkan badan, lepas itu melangkah tujuh tapak ke belakang dan berdiri di situ," datang lagi arahan dari Haji Taslim Singasari.
Apa yang diperintahnya segera dipatuhi. Saya dan datuk menanti perintah selanjutnya dari Haji Taslim Singasari.
Lima minit masa berlalu, tidak ada sebarang arahan dikeluarkan. Haji Taslim mendekati datuk membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Kemudian dia mendekati saya pula.
"Sekarang kami sudah berdiri membelakangi batu hitam, tumpukan perhatian zahir batin pada Allah yang Maha Besar. Kita semua minta tolong pada-Nya," itu yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari pada saya.
Dan saya yakin, kata-kata yang sama juga diungkapkannya pada datuk.
Haji Taslim Singasari kembali berdiri di tempat asalnya. Kerana saya membelakanginya, saya tidak tahu apa yang dilakukannya. Saya terdengar bunyi telapak tangan menampar pipi seseorang. Saya segera menoleh ke arah Haji Taslim Singasari, dia sedang berdepan dengan sesuatu yang aneh. Sukar untuk saya mentakrifkan benda tersebut, samada manusia atau binatang. Rupa dan bentuknya sukar sekali untuk ditentukan.
Apa yang pasti, bentuknya hitam dan besar. Tingginya melebihi paras kelapa dara. Besar tubuhnya lebih kurang tiga empat pemeluk pangkal balak. Kakinya, sebesar batang kelapa. Semuanya muncul dalam bentuk yang samar-samar menghala ke arah Haji Taslim Singasari.
Apa yang menakjubkan saya, Haji Taslim Singasari bersilat sendirian di tengah panas. Menepis kiri, menepis kanan. Sesekali Haji Taslim Singasari melompat tinggi dan kalanya berguling di bumi.
Setelah melihat gerak-geri Haji Taslim Singasari yang serba pantas dan cekap itu, ternyata dia mencampur-adukkan Silat Bangau Putih dengan Silat Harimau Betina Mati Anak. Setiap buah silat yang dilepaskan oleh Haji Taslim Singasari terkena sasaran yang dituruti dengan suara orang mengeluh dan mengaduh.
Saya mengigit bibir, saya cuma mendengar suara orang tetapi batang tubuhnya tidak kelihatan langsung. Dan bebayang hitam terus wujud di depan Haji Taslim Singasari dalam keadaan yang tidak jelas. Dalam keadaan saya terpegun kehairanan itu, Haji Taslim Singasari terus mengulingkan tubuhnya di tanah menuju ke arah saya. Sebaik saja sampai di kaki saya, dia terus bangun.
"Jangan renung saya, tumpukan perhatian ke depan. Jangan tengok saya. Mohon perlindungan dari Allah," itu yang dituturkan oleh Haji Taslim Singasari. Saya segera memalingkan wajah ke depan. Pada saat itu juga muncul di depan saya seorang lelaki tua yang sudah bongkok. Rambutnya yang putih terdampar atas dua sayap bahu. Janggut putihnya yang panjang menyentuh bumi.
Bila saya menggerakkan kedua belah bibir untuk mengucapkan salam, orang tua di depan saya terus menghayunkan tongkatnya ke arah kaki saya. Cepat-cepat saya melompat lalu melepaskan satu tumbukan ke bahunya. Tetapi tidak kena sasaran kerana orang tua itu mengelak dengan cepatnya lalu hilang dari pandangan saya.
"Bantu saya."
Saya dan datuk memalingkan muka ke arah suara tersebut. Haji Taslim Singasari sedang bekerja keras menghalang orang tua bongkok dari mencapai batu hitam.
"Bantu saya."
Ulang Haji Taslim Singasari. Bebayang hitam yang menakutkan itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya segera meluru ke arah Haji Taslim Singasari, tiba-tiba datuk menerpa ke arah saya lalu menghalang perjalanan saya dengan menjatuhkan saya ke bumi.
Tuhan saja yang mengetahui sakitnya jatuh ke tanah. Saya cuba bangun tetapi tidak terdaya. Datuk menekan bahu kanan saya dengan jari kelingkingnya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
"Kenapa tuk?"
"Kamu tak layak campur tangan dalam urusan ini, kamu mesti belajar lagi."
"Pak Haji tu mesti ditolong tuk."
"Biar aku yang menguruskannya," kata datuk lalu memisahkan hujung jari dari kulit bahu kanan saya.
Barulah tubuh saya bertenaga dan boleh digerakkan. Masa hujung jarinya menjamah bahu, seluruh badan terasa kebas dan seakan-akan lumpuh. Tidak berfungsi langsung.
HUJUNG
Mana ada logiknya sentuhan hujung jari kelingking boleh memberhentikan pegerakkan tubuh. Jadi, sudah pasti sentuhan yang dilakukan oleh datuk bukan sentuhan sebarangan. Bukan sekadar sentuh tetapi tenaga lain yang mengiringi sentuhan itu.
"Kamu duduk diam-diam di sini, Tamar," datuk mengingatkan saya dalam panas terik.
Seluruh badan saya sudah dibasahi peluh. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan anggukkan kepala tanda patuh pada perintahnya.
Dengan tenang datuk melangkah menuju ke arah Haji Taslim Singasari lalu berdiri dalam jarak dua tiga kaki dari arah belakang Haji Taslim Singasari.
"Apa boleh saya tolong Haji?"
"Awak bacalah surah yang boleh menjahanamkan syaitan."
"Saya cuba setakat yang saya boleh," jawab datuk lalu memeluk tubuh dengan sepasang mata merenung tajam ke arah orang tua bongkok bersama janggut yang menyentuh bumi.
Orang tua itu menujah-nujahkan tongkatnya ke arah Haji Taslim Singasari dengan sekali-sekala merebahkan badannya untuk mancapai batu hitam kecil tersebut.
Setiap kali orang tua bongkok itu berusaha mengambil batu hitam, Haji Taslim Singasari pasti melangkah setapak ke depan dengan mulut yang berkumat-kumit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Rupanya, setiap kali Haji Taslim Singasari melangkah, datuk juga melangkah dalam arah yang berlawanan.
Dan akhirnya orang tua bongkok yang tidak berubah tempat berada di tengah-tengah antara datuk dan Haji Taslim Singasari. Bila menyedari dirinya berada dalam keadaan terdesak, orang tua itu terus menghilangkan diri.
Datuk dan Haji Taslim Singasari saling berpandangan. Apa yang jelas, di wajah Haji Taslim Singasari tergambar kepuasan yang amat sangat. Datuk renung ke arah batu hitam yang kecil itu sejenak. Dia menggigit bibir.
"Pernah awak jumpa dengan orang tua itu sebelum ini, Haji," sambil meyapu peluh didahi, datuk ajukan pertanyaan.
"Pernah. Ada dua kali, masa arwah hidup. Orang tua tu datang jumpa arwah waktu Maghrib. Saya beri salam, dia tak jawab, bila terdengar suara azan Maghrib orang tua tu hilangkan diri," itu penjelasan Haji Taslim Singasari.
Datuk anggukkan kepala.
Haji Taslim Singasari mengedutkan dahi luasnya sambil menggosok hujung jari beberapa kali. Saya segera berlari ke bawah pohon mempelam telur. Saya tidak sanggup berjemur lama-lama di tengah panas yang terik.
"Dia datang ke rumah awak buat apa, Haji?" terdengar suara datuk agak keras.
"Jumpa tuannya."
"Maksud Haji, si mati tu."
"Yalah, siapa lagi."
"Pernah dia berlawan dengan awak, Haji."
"Tak pernah, cuma hari ni dia buat perangai. Saya tahu benda tu nak cari perlindungan dan mahu menjadikan saya tuan barunya," cukup tenang Haji Taslim Singasari menuturkan kata-kata tersebut.
Kemudian dia menyuruh datuk duduk mencangkung menghadapi batu kecil. Haji Taslim Singasari mengamati saya.
"Kamu juga duduk mencangkung mengadap batu tu," kata Haji Taslim Singasari sebaik sahaja saya mendekatinya.
Cakapnya itu segera dipatuhi. Dan Haji Taslim Singasari sendiri turut duduk mencangkung menghadap batu hitam kecil.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
"Batu ni, kalau tak dimusnahkan, banyak orang yang binasa. Terutama awak," Haji Taslim Singasari menghalakan jari telunjuknya ke arah datuk.
Serta merta saya lihat wajah datuk berubah.
"Kenapa pula, Haji?"
"Arwah pernah mahu menggunakan batu ini untuk ditujukan pada awak, kalau kena kulit awak seluruh badan jadi hitam."
"Kenapa dia nak buat perkara tu pada saya," datuk minta kepastian. Haji Taslim Singasari tidak memberikan penjelasan yang konkrit.
"Saya sendiri pun tak tahu, kenapa perkara itu tak jadi dibuatnya pada awak. Ada juga dia beritahu saya, yang dia mahu menyuruh orang suruhannya yang taat pada perintah ketua, walaupun ketuanya sudah mati," Haji Taslim Singasari memberikan penjelasan untuk kali kedua.
Satu keterangan yang dapat meyakinkan hati saya dan datuk.
Perlahan-lahan Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kanannya. Dengan jari-jemari yang terkembang, telapak tangannya terus jatuh atas bahu datuk. Dan jari-jemari itu mencengkam erat kulit bahu datuk.
"Sekarang," Haji Taslim Singasari segera memisahkan telapak tangannya dengan bahu datuk,
"Sekarang kita mulakan tugas, batu hitam ini mesti dihancurkan," sambung Haji Taslim singasari lagi dengan wajah yang serius.
"Bagaimana caranya?" mendadak datuk menyoal.
"Sabar dulu sahabat, apa yang kita lihat tadi, semuanya bayang-bayang. Kita bertiga saja yang nampak. Orang lain tak nampak."
"Kenapa orang lain tak nampak?" secara spontan saya mengajukan pertanyaan.
Buat beberapa detik Haji Taslim Singasari buat tidak kisah dengan apa yang saya tuturkan. Dia terus menepuk dada bumi sebanyak tujuh kali berturut-turut.
"Ha! Begini," cukup lantang suara Haji Taslim Singasari. Matanya merenung bumi, "sebabnya cukup mudah, aku ni sahabat karib arwah, kamu dan datuk kamu, musuh ketatnya.
Dia datang kerana mahu menjadikan aku tuan barunya. Dia juga mahu membinasakan kamu dan datuk kamu," lanjut Haji Taslim Singasari.
Dia juga menyuruh saya dan datuk mengepal tanah. Semua yang disuruhnya kami patuhi.
"Bangun."
Saya dan datuk segera bangun.
"Ikut saya, bila saya campakkan tanah ke batu hitam, awak berdua ikut sama. Kena campak sampai tujuh kali berturut-turut. Ingat, kita mesti ambil tanah serentak dan membalingnya serentak, sebelum dibaling ke batu baca Qul' aa'uzubirobbinnas..." selesai saja haji Taslim Singasari memberi penerangan datuk kenyitkan mata ke arah saya.
Kenyitan mata itu bermaksud supaya saya jangan merasa takut atau gentar. Hadapi saja apa yang datang, kecuali bila sudah terdesak barulah meminta pertolongan darinya.
"Bersedia."
Haji Taslim Singasari menjeling tajam ke arah datuk dan saya.
"Lontarkan."
Haji Taslim Singasari terus memulakan, lalu diikuti oleh saya dan datuk. Baru enam kali dilontarkan tanah ke batu hitam yang kecil itu, terdengar satu letupan yang tidak berapa kuat tetapi mengganggu kerja-kerja yang kami lakukan.
"Teruskan."
Datang ingatan dari Haji Taslim Singasari. Lontaran tanah berjalan terus. Genap tujuh kali dilontar terdengar lagi letupan yang tidak menyenangkan. Batu hitam kecil bertukar warna menjadi kekuning-kuningan. Dikelilingi api yang entah dari mana datangnya. Saya juga melihat asap nipis berada di permukaan batu itu.
Tanpa memberitahu apa-apa pada kami, Haji Taslim Singasari terus membongkok mengambil segenggam tanah (untuk kali yang kelapan). Saya dan datuk berpandangan kerana menyedari yang Haji Taslim Singasari sudah melanggar syarat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 118 ~
Bayang Hitam Datang Lagi
"Kamu berdua ragu dengan aku," Haji Taslim Singasari renung muka datuk dan saya.
Cepat-cepat saya dan datuk gelengkan kepala. Mata Haji Taslim Singasari terpaku ke wajah kami sejenak, seolah-olah membaca apa yang tersirat dalam kalbu saya dan datuk. Haji Taslim Singasari segera berdiri dan anggukkan kepalanya perlahan-lahan.
"Yang kelapan ini, biar aku uruskan. Dalam keadaan sekarang tidak semuanya boleh aku beritahu, bila dah selesai baru aku cakap," keterangan itu memang melegakan hati saya dan datuk.
Haji Taslim Singasari terus mengkepal-kepalkan tanah dalam telapak tangannya. Dia terus membuka silat, kira-kira dua tiga minit lamanya. Haji Taslim Singasari berhenti dari bersilat. Berdiri lurus sambil memeluk tubuhnya erat-erat.
"Jangan tegur apa yang aku buat."
Datang lagi ingatan dari Haji Taslim Singasari. Dia buka ketayap putih di kepala dan mengeluarkan blangkon (songkok orang Jawa yang dibuat dari kain batik yang bahagian belakangnya terdapat benjolan) dari saku baju butang lima. Blangkon diletakkan atas kepala dan baju yang dipakai terus dibuka, dihamparkan atas tanah. Haji Taslim Singasari terus bersila di situ.
Dalam panahan matahari yang keras itu, saya lihat badan Haji Taslim Singasari berpeluh. Perutnya yang agak buncit kelihatan seperti terlekap pada pahanya.
"Bantu saya, kalau saya rebah."
Kata Haji Taslim Singasari itu terus terpahat dalam sanubari saya. Datuk saya lihat terus anggukkan kepala. Tetapi, kerdipan matanya dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari.
"Caranya mudah untuk menolong saya. Bila saya rebah, ambil apa juga ranting yang berdaun, pukulkan ke tubuh saya tujuh kali berturut-turut bersama dengan selawat," Haji Taslim Singasari bersuara lagi.
Macam tadi juga, datuk tetap anggukkan kepala.
"Dengan izin Allah, kamu terus labur."
Tanpa membuang masa, Haji Taslim Singasari terus melontarkan tanah yang dalam genggamannya ke batu hitam yang berasap. Sebaik saja tanah dari lontaran ke lapan itu terkena batu hitam, warna kekuningan di batu bertukar menjadi putih. Api yang mengelilinginya terus hilang dan asap nipis juga turut hilang.
"Ah..."
Saya terkejut. Dalam keadaan cuaca yang panas terik itu, saya terlihat samar-samar sesusuk tubuh lelaki yang tingginya lebih dari tujuh kaki, berbadan besar.
Berdiri membelakangi saya tetapi menghadapi Haji Taslim Singasari. Batu hitam yang penuh misteri itu berada betul-betul di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar itu.
"Allah juga yang Berkuasa, syaitan, jin dan manusia adalah ciptaannya. Tertakluk pada-Nya. Pada Allah juga aku memohon perlindungan," sambil bercakap Haji Taslim Singasari bangun perlahan-lahan.
Dalam keadaan separuh berdiri, dia terus menepuk tangannya. Kemudian dia duduk bersila kembali.
"Prappp..."
Tujuh kali Haji Taslim Singasari menepuk tangannya. Selesai bertepuk tangan terdengar bunyi letupan yang beruntun. Batu hitam di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar mula bergerak, berpusing sambil mengeluarkan cahaya api. Dan letupan yang beruntun itu datangnya dari batu kecil itu, bunyinya macam mercun. Perkara itu terjadi lebih kurang lima minit.
Kawasan tempat kami berdiri dipenuhi dengan asap tebal berwarna hitam. Bau kemenyan terus menusuk lubang hidung, saya terbatuk dua tiga kali. Asap tebal yang hitam itu berubah warna menjadi kelabu dan kian menipis. Dan akhirnya terus hilang. Bayang lelaki berbadan besar tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan batu hitam, tempatnya sudah digantikan dengan timbunan debu-debu halus yang menyerupai tepung gandum.
"Hal ini sudah selesai," tutur Haji Taslim Singasari pada datuk. Dua tiga kali bahu datuk ditepuknya. Debu di tempat batu hitam itu segera ditutup oleh Haji Taslim Singasari, dia menyarungkan baju butang lima ke tubuh. Menyimpan blangkon ke dalam saku dan mengenakan ketayap putih ke kepalanya.
"Kalau begitu biarlah kami beransur dulu," beritahu datuk pada Haji Taslim Singasari.
Waktu datuk mahu memulakan langkah ada bayangan hitam legam seakan-akan melintasi depan datuk. Langkah datuk terhenti.
"Haji nampak apa yang saya nampak."
"Nampak, laknat tu mahu menghancurkan saya, bila dia gagal menjadikan saya tuannya."
"Perlukan bantuan saya Haji...?"
"Tak..." Haji Taslim Singasari tidak dapat meneruskan kata-katanya.
Dia diganggu oleh kemunculan seekor monyet besar berwarna hitam. Tidak ada siapa yang tahu dari arah mana monyet itu muncul.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
Monyet itu merenung ke arah Haji Taslim Singasari, menunjukkan rasa benci dan marah sambil memperlihatkan gigi tajamnya yang putih. Monyet besar itu menderam dan bersedia mahu menerkam ke arah Haji Taslim Singasari.
"Hei beruk."
Mendadak saja datuk bertempik dengan lantang sekali. Saya terperanjat, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari. Mungkin marah kerana diganggu, beruk besar itu segera mengalihkan perhatian ke arah datuk. Bersedia untuk menerkam dan merebahkan datuk.
"Kamu rapat kamu jahanam beruk."
"Gggrr..." beruk besar bersuara sambil kedua belah tangannya menepuk dadanya yang berbulu hitam lebat, buat beberapa kali.
"Haa..."
Datuk menyergah sambil menghalakan buku lima ke arahnya. Dan datuk mengacah untuk menerkam ke arahnya. Ternyata beruk itu tidak mudah digertak atau ditakut-takutkan.
Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kirinya separas puting tetek sebelah kiri. Menjatuhkan perlahan-lahan dalam tiga tahap. Datuk memahami isyarat itu. Apa yang datuk lakukan seterusnya ialah, melangkah setapak ke depan sambil bersuara:
"Kamu rapat kamu jahanam."
"Rapat sahabat, rapat," Haji Taslim Singasari memberikan semangat.
"Serang dia datuk, serang," saya pula mencelah. Gabungan suara saya dengan Haji Taslim Singasari menjadikan suasana sekitar gamat sekali.
Dengan serta merta beruk besar itu membelakangi datuk. Kemudian dengan tidak semena-mena beruk besar itu lari ke arah sebelah kanan, masuk ke hutan kecil di situ. Semua pepohon di situ jadi perhatian saya. Dedahan dari pepohon tersebut nampak bergoyang. Beberapa helai daun muda berguguran, akibat digayuti oleh beruk besar. Anehnya! Beruk besar itu tidak kelihatan langsung. Entah ke mana ghaibnya.
Beburung yang tadi bernyanyi sambil berehat di reranting pokok segera berterbangan ke arah lain. Dedaun muda makin banyak yang berguguran. Bunyi dahan yang berlaga sama sendiri akibat di pijak oleh sesuatu jelas kedengaran. Suara beruk jantan juga dapat saya dengar tetapi, beruknya tidak kelihatan langsung.
"Pedulikan semuanya itu."
Itu yang dituturkan oleh datuk pada saya. Dengan rasa kesal saya alihkan pandangan ke arah datuk dan Haji Taslim Singasari.
"Ya, pedulikan semuanya itu," Haji Taslim Singasari menyokong pendapat datuk. Kami beredar ke arah kaki tangga. Kulit muka saya mula terasa pedih akibat dipanggang oleh sinar matahari yang kian terik. Datuk segera hulurkan tangan pada Haji Taslim Singasari.
"Terima kasih atas kerjasama awak," suara Haji Taslim Singasari agak tersangkut-sangkut. Datuk tunduk merenung tanah. Mungkin menahan kesedihan.
"Apa, haji boleh menghadapi semua masalah seorang diri."
"Saya cuba. Percayalah Allah lebih berkuasa atas segala-galanya. Cukuplah pertolongan yang awak beri," Haji Taslim Singasari memeluk tubuh datuk. Mereka berpeluk-pelukan sebentar. Kemudian tanpa disangka-sangka, Haji Taslim Singasari terus memeluk tubuh saya. Kepala saya digosoknya berkali-kali.
"Belajar dari datuk kamu," itu pesanannya untuk saya. Dan apa yang mampu saya lakukan ialah menganggukkan kepala beberapa kali. Datuk tersenyum dan Haji Taslim Singasari ketawa kecil. penuh bangga dan simpati.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
"Kalau begitu, biarlah kami berangkat dulu."
"Ya, silakan sahabat. Selamat jalan Tamar. Dengar cakap datuk kamu. Bila datuk kamu datang lagi ke sini, kamu mesti ke mari," saya kira tekanan nada suara begitu bersahaja sekali, orang tua yang banyak pengalaman itu menyembunyikan rasa hiba. Dan beberapa minit kemudian, saya dan datuk terus meninggalkan halaman rumah Haji Taslim Singasari.
Terima kasih Haji Taslim Singasari, terlalu banyak pengalaman yang saya rangkum ketika berlabuh di rumahmu. Semuanya ini akan saya jadikan teladan dan pedoman untuk masa akan datang. Sesungguhnya, engkau telah memberikan sesuatu yang tidak saya terfikirkan, sejak menjejakkan kaki di bumi Balik Pulau ini, bisik batin saya bersama langkah yang teratur.
Sesekali, saya toleh ke arah rumah Haji Taslim Singasari yang kian jauh saya tinggalkan.
"Cepat melangkah tu, buat apa toleh-toleh ke belakang, kamu bukan tak tahu, hari tengah panas terik," datuk seperti merungut. Saya tidak memberikan sebarang komen, selain dari mempercepatkan langkah.
Datuk membuat kejutan lagi, saya kira perjalanan terus kepada matlamatnya. Apa yang saya duga ternyata tidak tepat sama sekali. Datuk masih dengan perangai lamanya. Singgah di mana saja yang diingininya, terutama di rumah kenalan yang dianggapnya sebagai sahabat.
Begitulah datuk, dalam perjalanan menuju ke bandar dia singgah sebentar di rumah Pak Imam. Kedatangan datuk dan saya disambut dengan penuh hormat. Kami dihidangkan dengan air kopi dan kuih buah melaka.
"Makan tengah hari di sini," pelawa Pak Imam.
"Tak payahlah. kami nak cepat sampai ke Tanjung," datuk memberikan alasan, Pak Imam renung ke arah jam yang tergantung di dinding rumahnya.
"Baru pukul sebelas," kata Pak Imam, "Makan tengah hari, lepas Zuhur bertolaklah, orang rumah saya nak masak gulai ikan puyu, sambal buah macang, cicah dengan pucuk sanglang," begitu bersemangat Pak Imam bersuara.
"Lain kali saja, Pak Imam," datuk terus menolak.
"Ini permintaan saya, lain kali tu belum tentu dapat. Entah ada umur kita entah tidak," rayu Pak Imam.
"Kalau itu hajat Pak Imam, saya terimalah."
Senyuman yang panjang pun terukir di kelopak bibir Pak Imam. Diwajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat. Tetamunya tidak menghampakan harapannya.
Saat datuk menceritakan pengalaman aneh yang dialaminya ketika berada di rumah Haji Taslim Singasari, saya minta kebenaran darinya untuk berjalan di tanah dengan alasan untuk menghilangkan jemu.
Permintaan saya diperkenankan oleh datuk. Kepalang gembiranya hati saya dan kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Secara curi-curi saya meninjau ke arah rumah Masitah, anak saudara Pak Imam.
Lagi sekali hati saya dibungai kegembiraan, ada tanda-tanda yang menunjukkan hajat saya akan terkabul. Memang menjadi harapan saya, sebelum meninggalkan bumi Balik Pulau, saya mahu menatap wajah dan senyuman Masitah.
Didorong oleh keinginan mahu menatap wajah Masitah, saya pun mula terhendap-hendap dan menyusup di bawah pokok manggis yang berdaun lebat.
Saya sandarkan badan di situ sambil menarik nafas kelegaan. Secara tidak disangka-sangka saya terpandangkan Masitah yang sedang menjemur kain di ampaian. Sinaran matahari yang memancar keras, membuatkan kulit muka Masitah jadi kemerah-merahan.
Saya mula langkah ke arah pokok langsat pula. Jarak saya dengan Masitah tidaklah begitu jauh. Tetapi, saya masih enggan memperlihatkan diri, masih bersembunyi di balik pokok langsat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
"Syyyyhhhhh..."
Saya segera membunyikan isyarat, cepat-cepat Masitah angkat kepala, renung kiri, renung kanan dengan pandangan yang liar. Dia berhenti menjemur kain dan wajahnya nampak cemas sedikit. Masitah renung ke arah pokok langsat dan saya segera menunjukkan diri.
Masitah buat tidak peduli dengan saya. Dia terus jemur kain. Saya melangkah lagi, jarak saya dengan Masitah bertambah dekat dan saya pun jual senyum padanya. Hati saya bertambah sakit. Masitah buat tak kisah.
"Saya nak balik."
"Baliklah, kenapa bagi tahu saya. Datang dulu tak bagi tahu saya pun," hati saya bertambah sakit mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Masitah.
"Sombong sangat ni," kata saya lagi.
Masitah menjeling tajam ke arah saya bersama sebuah senyum yang sukar ditafsirkan maknanya. Apakah itu senyuman suka atau benci?
Badan saya berpeluh, bukan kerana panas, tetapi kerana rasa takut. Takut kalau gadis Balik Pulau yang kaya dengan adat ketimuran itu memecahkan rahsia. Memberitahu kaum keluarganya tentang perangai saya yang buruk. Kalaulah hal ini terjadi, lambat laun perkara itu akan sampai juga ke pengetahuan datuk dan saya terpaksa menanggung malu yang bukan kepalang.
Dalam keadaan yang resah gelisah itu, saya dapat satu akal. Saya keluarkan pensil dan selembar kertas dari dalam saku seluar saya. Tujuan saya bawa kertas itu untuk mencatatkan alamat Masitah. Bila melihat pada sikap Masitah yang lain itu, ternyata apa yang saya inginkan, tidak akan terlaksana. Saya harus bertindak segera sebelum kehampaan menjelma.
"Heiii..."
Saya segera mengangkat tangan ke arah Masitah yang merenung tajam ke arah saya. Masitah yang sedang mengembangkan kain jemuran terakhir segera menggelengkan kepala. Tidak bersedia mahu mematuhi permintaan saya. Masitah segera sidai kain terakhir. Kemudian dia melangkah ke arah rumahnya. Hati saya berdebar tidak tentu arah.
"Hiss nantilah dulu."
Sengaja saya tinggikan suara. Masitah tak jadi melangkah. Segera menoleh ke arah saya sambil mengangkatkan kepalanya dua tiga kali. Dia seolah-olah mengajukan pertanyaan: Ada apa?
Reaksi yang saya berikan ialah dengan menunjukkan kertas dan pensil ke arahnya. Masitah senyum. Dengan tergesa-gesa saya menuliskan nama dan alamat pada kertas. Saya selitkan kertas itu pada ranting keduduk bercabang tiga.
"Jangan lupa ambil tau," kata saya.
Tidak ada jawapan dari Masitah. Tetapi apa yang jelas dia mengangguk. Ertinya, dia bersedia mematuhi arahan dari saya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
Saya kira tugas besar dan berat telah saya laksanakan. Cepat-cepat saya tinggalkan pokok langsat, melangkah tenang menuju ke rumah Pak Imam. Entah macam mana, saya tersepak seketul kayu. Saya tidak dapat mengimbangi tubuh. Saya terjatuh, bunyi tubuh menghempap bumi dan reranting kering dapat didengar oleh Pak Imam dan datuk. Mereka segera menuju ke muka pintu dan merenung ke arah saya yang tergesa-gesa bangun.
"Apa yang kamu cari dalam semak samun tu, Tamar," datuk yang berdiri di ambang pintu mengemukan pertanyaan. Dia bersedia mahu melangkah turun.
"Tak payah turun, dia tak apa-apa," Pak Imam menahan.
Datuk duduk kembali.
"Apa yang kamu cari di situ?" datang lagi pertanyaan dari datuk. Ternyata datuk tidak puas hati. Pertanyaannya saya tidak jawab.
"Tadi saya nampak biawak di situ, saya terus kejar," jawapan untuk melepaskan batuk ditangga, saya berikan pada datuk. Pak Imam terasa sangsi dengan jawapan yang saya berikan. Ini dapat saya baca melalui memek mukanya.
"Disini jarang ada biawak, entahlah pula hari ni ada biawak," suara isteri Pak Imam lantang dari arah dapur. Kata-kata itu saya rasakan seperti menyindir saya. Dengan muka yang tebal saya berdiri di kaki tangga.
"Sudahlah Tamar, naik saja ke rumah," Pak Imam cuba menghilangkan rasa serba salah dalam diri saya. Dengan tenang saya naik ke rumah. Duduk di sudut, menghala ke dapur. Apa yang saya buat, semuanya tidak kena, saya rasa Pak Imam bagaikan tahu dengan apa yang telah saya lakukan.
Begitu cepat masa berlalu.Tepat jam dua belas lebih, hidangan makan tengah hari pun tersedia. Semuanya amat menyelerakan. Lepas makan dihidangkan pula pengat pisang.
"Sempat awak buat semuanya ini," kata Pak Imam bila melihat isterinya mengatur piring pengat pisang di depannya.
"Bukan saya yang buat," kata isteri Pak Imam.
"Kalau bukan awak, siapa yang buat?"
"Masitah, dia ada di dapur tolong membasuh."
"Hum..." kata Pak Imam dan terus menikmati pengat pisang abu, "Sedap, makanlah Tamar, apa malu-malu. Si Masitah buat pengat memang handal," sambung Pak Imam sambil merenung ke arah saya. Lagi sekali, saya tersipu dengan sikap Pak Imam itu. Saya rasakan dia menyindir saya lagi.
"Ah, banyak sangat ni," kata saya dalam usaha menghilangkan rasa serba salah.
"Rasa dulu, lepas tu mesti kamu makan sampai habis," tanpa diduga datuk bersuara. Datuk terus menikmati pengat pisang.
Datuk dan Pak Imam sudah pun menikmati pengat pisang dari hasil kerja Masitah. Saya masih belum memulakannya.
"Silakan," tutur Pak Imam.
"Cepat Tamar, kita nak balik jauh," datuk pula seperti mendesak. Dan saya pun memulakannya. Memang sedap. Dalam saya asyik menikmati pengat pisang, saya terdengar suara Masitah. Cepat-cepat saya panggungkan kepala lalu merenung ke dapur.
Masitah, bentak batin saya setelah melihat kelibatnya di ruang dapur. Bila saya mahu merenung untuk kedua kalinya, datuk mula berdehem.
"Kau nak balik Masitah," terdengar suara isteri Pak Imam.
"Ya," pasti itu suara masitah.
"Malam ni datang lepas Isyak, Pak Imam nak ajar kita tentang rukun sembahyang," terdengar lagi suara isteri Pak Imam.
"Saya datang, emak juga datang," sahut Masitah.
Hati saya bagaikan digaru-garu mahu segera bangun dan berdiri di muka tingkap mahu melihat Masitah yang ayu melangkah pulang kerumahnya. Sebagai anak muda yang ada maruah dan harga diri, sudah tentu perkara semacam itu tidak dapat saya lakukan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
"Kita sembahyang di masjid," Pak Imam memberikan cadangan, setelah berehat lebih dari setengah jam (selepas makan tengah hari). Masa berehat yang setengah jam itu dipenuhi dengan perbincangan dan perdebatan berhubung dengan perkara agama dari datuk dan Pak Imam. Secara tidak langsung pengetahuan saya turut bertambah. Setidak-tidaknya saya mengerti beberapa patah perkataan Arab.
"Saya setuju," datuk memberikan kata putus. Memang sudah direncanakan setelah menunaikan fardhu Zuhur, saya dan datuk akan meneruskan perjalanan ke Tanjung. Segala beg dan barang datuk terpaksa dibawa bersama. Masa saya menyarungkan sepatu, saya terus mencuri pandangan ke arah rumah Masitah. Perkara itu saya lakukan dengan hati-hati dan teliti sekali. Jangan sampai dapat dikesan oleh Pak Imam atau datuk.
Saya masih beruntung, mata saya masih dapat menangkap bentuk tubuh Masitah berdiri di balik perdu durian yang berada di sempadan antara tanah milik ayahnya dengan tanah milik Pak Imam. Masitah memakai baju kurung merah dengan kain warna coklat. Dia merenung ke arah saya.
Dengan keadaan tertunduk kerana mengikat tali kasut, saya terus menjeling ke arah Masitah dengan ekor mata. Entah mengapa gadis yang berkulit putih itu benar-benar mempengaruhi hati saya.
Meskipun loghat Pulau Pinang yang diucapkannya sering membuat saya tersenyum panjang. Mungkin kerana tidak mahu menunggu saya yang mengambil masa agak lama mengikat tali kasut, datuk dan Pak Imam beredar menuju ke kepala jalan.
Ini peluang yang cukup baik. Saya segera tegakkan tubuh dan merenung dengan tepatnya ke arah Masitah. Paling menggembirakan hati, Masitah tidak lagi berdiri di balik pokok durian. Dia berdiri di tengah lapang. Saya lambaikan tangan kearahnya. Lambaian saya dibalasnya.
"Balik dulu," kata saya.
Masitah tidak menjawab. Dia cuma senyum sambil mengerak-gerakkan tangan yang membawa makna yang dia akan menulis surat kepada saya berpandukan pada alamat yang saya berikan padanya.
"Bagus."
Tutur saya sambil menegakkan ibu jari.
"Aheeemmm."
Saya segera angkat kepala. Renung ke arah tingkap sebelah kanan. Isteri Pak Imam berdiri di situ. Tanpa berkata apa-apa, saya terus berlari ke arah datuk dan Pak Imam yang berdiri di kepala jalan.
Sampai di kepala jalan, saya toleh ke arah pokok durian. Masitah sudah ghaib. Agaknya, dia melarikan diri kerana tidak mahu perbuatannya dikesan oleh isteri Pak Imam. Sepanjang perjalanan menuju ke masjid, hati saya menyanyi riang.
Setelah menunaikan sembahyang Zuhur, Pak Imam menghantar saya dan datuk ke perhentian bas Balik Pulau. Datuk meninggalkan pesan pada Pak Imam supaya mempengaruhi Mat Prai, agar dia sering pergi ke masjid, selalu membuat sedekah dan amal jariah. Nampaknya, pesanan itu disambut oleh Pak Imam dengan baik sekali.
"Dengan izin Allah, saya cuba tunaikan. Itupun kalau dia datang ke sini."
"Saya faham, saya mahu bila dia balik bercuti atau datang ke sini di musim durian, dia mesti buat amal ibadah, jangan mengejar duit saja. Kalau Pak Imam tak menegurnya, siapa lagi yang nak diharapkan," kata datuk.
Bas pun bergerak meninggalkan perhentian. Dalam perjalanan yang membosankan itu, saya terus berangan-angan, menikmati zaman kegemilangan bersama Masitah.
Saya bayangkan yang kami berlari di gigi pantai. Membiarkan buih-buih ombak menyentuh kaki. Kemudian, kami terjun ke laut lalu berenang melawan ombak. Angan-angan yang tidak bertepi itu terus membungsung tinggi dalam kepala saya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 119 ~
Diganggu Monyet Besar
Akhirnya saya terlena. Tidak tahu apa yang terjadi, samada di dalam perut bas atau di luar. Saya terjaga bila bahu saya digoncang oleh datuk berkali-kali. Bila saya buka mata, perut bas sudah kosong. Pemandu dan penjual tiket sudah berada di sebuah warung.
"Bangun, kamu tidur macam orang mati."
Saya diam. Tidak memberikan sebarang komentar atas kata-kata yang datuk luahkan. Dalam keadaan yang lesu saya terus bangun sambil menggosok-gosok kelopak mata.
"Kalau dah makan tak sedarkan dunia, inilah akibatnya kena angin bas terus tertidur, macam anjing mampus," datuk terus merungut.
Macam tadi juga, saya tidak berani bersuara. Terus melangkah menuju ke pintu bas. Bila berada di luar baru terasa panas. Saya dan datuk terus menuju ke pengkalan. Dari situ kami menaiki feri menuju ke tanah besar.
Datuk membatalkan hasratnya untuk mengunjungi rumah Mat Prai kerana kesuntukan masa. Kerana kesuntukan masa juga, datuk naik teksi menuju ke Taiping. Dari Taiping menuju ke kampung baru naik bas. Menjelang Maghrib kami sampai di rumah.
Nenek menyambut kepulangan kami dengan wajah yang riang. Dia menyambut buah tangan dari datuk yang dibeli di bandar Taiping. Datuk juga sembahyang Asar di Taiping. Saya ingat sebelum menaiki bas, datuk pergi membeli belah di kedai yang menjual buah-buahan. Datuk juga membeli beberapa helai kain pelikat dan dua helai kain batik untuk nenek. Hadiah-hadiah itu membuat nenek gembira.
Seperti selalu, setiap kali pulang dari perjalanan yang jauh, pasti saya menceritakan pada nenek hal-hal yang dialami. Dan malam itu, secara kebetulan saya tidak ikut datuk berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid. Datuk memang ada mengajak saya kerana ada guru agama mengajar Tauhid tetapi saya menolak dengan alasan penat. Alasan itu dapat diterima oleh datuk.
Selepas menunaikan fardhu Isyak, saya terus mendekati nenek yang duduk bersila di tengah ruang. Cukup tenang nenek mengunyah sirih. Bibir kecutnya nampak merah. Saya pun bercerita padanya tentang apa yang dialami ketika berada di Pulau Pinang. Bila sampai bahagian cerita yang menakutkan, wajah nenek nampak cemas. Bila ada kisah lucu nenek ketawa.
"Tapi Tamar."
Nenek behenti mengunyah sirih. Tepak sirih yang berada di hujung lutut segera ditolaknya ke tepi. Matanya merenung tajam ke arah saya. Debaran cemas bersama perasaan ingin tahu mula menyelubungi hati saya.
"Kenapa nek?"
Nenek tersenyum. Masih keberatan untuk menceritakan sesuatu pada saya. Dia terus mengunyah sirih dengan seenak-enaknya.
"Kenapa nek?"
"Masa kamu sama datuk tak ada di rumah ni, nenek tak pernah merasa aman. Belum pernah nenek berdepan dengan masalah yang sepelik ni, pada hal dulu datuk kamu keluar sampai berbulan-bulan, tak ada yang mengacau. Tapi kali ini, lain macam pula," nenek memulakan ceritanya.
Bila saya mendekatinya, nenek tidak meneruskan cerritanya. Ini membuat saya resah.
"Apa yang nek nak ceritakan ni," saya mula mendesak.
Nenek lunjurkan kedua belah kakinya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|