|
Strategi baharu Siti Nurhaliza
IZWAN MOHD. ISA
19 Julai 2018 2:00 AM
BIARPUN bersikap terbuka soal anak, Datuk K kini cukup prihatin terhadap perkongsian gambar Aafiyah di media sosial.
BANYAK yang direncanakan Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang tempoh lima bulan mendatang sebelum 2018 melabuhkan tirai.
Selain sibuk menguruskan anak sulungnya, Siti Aafiyah yang kini berusia empat bulan, penghibur dengan ‘cop mohor’ penyanyi nombor satu negara itu juga sedang giat mengatur semula rutin karier seninya.
Menurut Siti, jadual kerjayanya yang lompong hampir setahun selepas memberi laluan terhadap proses kehamilan dan kelahiran Aafiyah bakal terisi dengan penerbitan single baharu pada September depan.
Istimewanya, single yang masih belum diberi judul tersebut merupakan hasil ciptaan penyanyi Hael Husaini, yang juga anak didiknya sewaktu Siti bergelar Inspirer bagi program realiti Akademi Fantasia sekitar lima tahun lalu.
Tidak pernah memilih bulu, malah menyambut baik kehadiran tenaga kreatif muda, Siti berkata, beliau tertarik untuk bekerjasama dengan Hael kerana keupayaan jejaka itu untuk berdiri sama tinggi dengan penyanyi dan komposer masa kini.
Lagu Hael Husaini
“Saya akui nama Hael sedang meningkat naik. Banyak lagu ciptaannya bersama Ezra Kong berjaya memanjat carta muzik radio tempatan.
“Jadi, tidak salah jika saya bersetuju untuk bekerjasama dengan anak didik sendiri,” ujar Siti memulakan perbualan.
Bercerita mengenai pemilihan lagu tersebut, penyanyi berusia 39 tahun itu menjelaskan, beliau menerima demo lagu berkenaan beberapa bulan dan terus bersetuju untuk merakamkannya.
“Lagu tersebut sangat unik dan kedengaran sungguh berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah saya terbitkan sebelum ini.
“Ia digarap dengan sedikit elemen klasik pada muziknya dan pada masa sama berentak moden,” ujar Siti sambil menyifatkan lagu tersebut bersifat lebih segar dan terkini.
Siti bagaimanapun tidak meletakkan lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong itu sebagai penanda aras untuk albumnya yang akan datang.
Jelas beliau, pemilihan lagu biasanya dibuat mengikut kesesuaian dan kualiti yang ada pada material berkenaan.
“Saya akui menerusi album Prasasti Seni, kebanyakan lagu yang dimuatkan dicipta oleh komposer muda. Iramanya juga lebih ke hadapan jika dibandingkan dengan lagu-lagu pada masa itu.
“Namun, saya tidak mahu meletakkan sebarang konsep untuk album kali ini. Tambahan pula, ini merupakan single dan kemungkinan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album nanti, dicipta oleh komposer lama dan baharu,” katanya lagi.
Melanjutkan bicara, Siti mengakui bahawa kuasa pendengar pada waktu sekarang dimonopoli oleh golongan muda.
Tambahnya, generasi peminat juga telah bersilih ganti dan disebabkan itu beliau perlu menggarap strategi baharu untuk terus mengekalkan nilai relevan dalam industri.
Artis baharu
“Bekerjasama dengan komposer atau penyanyi muda banyak manfaatnya. Barangkali, peminat sekarang tidak pernah mendengar lagu-lagu saya yang lama.
“Jadi, apabila saya bekerjasama dengan pendatang baharu, peminat boleh menyemak semula diskografi saya yang terdahulu yang banyak dimuat naik dalam Youtube,” katanya yang baru-baru ini merakamkan lagu duet berjudul Cinta Syurga bersama Khai Bahar.
Dalam perkembangan lain, penyanyi dengan 42 pengiktirafan daripada Anugerah Industri Muzik itu bakal terbang ke Singapura menjelang September depan bagi menghadiri Anugerah Planet Muzik 2018 (APM) sebelum ke Jepun, bagi mengikuti acara Asean-Japan Music Festival edisi kedua di sana.
“Jika ada kelapangan, saya akan menghadiri APM dan selepas itu terbang ke Jepun,” katanya.
Bercakap mengenai muzik serantau, Siti baru-baru ini menerima kunjungan penyanyi kelahiran Indonesia, Tulus yang kebetulan mengadakan konsert perdana di Kuala Lumpur.
Menurut Siti, dalam pertemuan yang berlangsung di kediamannya, mereka berbincang mengenai ruang kolaborasi sama ada di atas pentas konsert dan lagu.
“Benar, saya ada berjumpa dengan Tulus bagi berbincang beberapa perkara mengenai muzik dan konsert.
“Namun, saya tidak boleh bercerita terlalu banyak kerana perancangan ini masih pada peringkat awal. Jika ada berita baik mengenai kolaborasi kami, saya akan umumkan menerusi sebuah sidang akhbar,” katanya.
Bisnes
Menyentuh mengenai bisnes kosmetiknya, SimplySiti, Siti melahirkan rasa teruja kerana jenama mekap tersebut telah pun meraikan ulang tahun kelapan.
Akui Siti, banyak ranjau dan halangan yang terpaksa dilalui sepanjang bertualang sebagai usahawan.
“Sejujurnya, saya pernah mahu mengalah dan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian tetapi disebabkan oleh kata-kata semangat dan dorongan daripada suami, saya teruskan juga.
“Alhamdulillah, sudah lapan tahun usia SimplySiti,” katanya dalam nada bangga.
Selain memperluaskan pasaran di seluruh Malaysia, rangkaian SimplySiti juga dijangka akan dibawa ke Indonesia untuk dipasarkan di sana.
“Jika segalanya berjalan lancar, produk SimplySiti boleh dibeli oleh pengguna di Indonesia tidak lama lagi,” katanya.
Ditebak dengan soalan adakah beliau pernah mengimpikan gelaran billionaire, sama seperti bintang realiti Kylie Jenner yang turut menjual kosmetik, ini jawapan Siti:
“Impian itu ada, siapa yang tidak seronok bergelar billionaire? Namun, jauh lagi perjalanan saya untuk meraih gelaran tersebut. Produk Kylie dipasarkan di seluruh dunia, manakala SimplySiti pula baru hendak menjengah pasaran Indonesia.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, kami perlu bekerja keras dan mengkaji cara pemasaran yang betul untuk SimplySiti.”
Sekat
Beralih pada perkembangan Aafiyah, Siti memberitahu yang beliau tidak mahu terlalu kerap berkongsi gambar puteri sulungnya di Instagram.
Ujar Siti, beliau dan suami mahu melihat Aafiyah membesar secara normal dan berharap agar peminat memahami.
“Saya bukan tidak mahu berkongsi gambar Aafiyah di Instagram, cuma saya tidak kerap berbuat demikian atas persetujuan bersama suami,” katanya.
Dalam pada itu, Siti turut tidak teragak-agak untuk menyekat individu yang meninggalkan komen negatif terhadap hantaran gambar atau videonya di Instagram bagi mengelakkan fitnah selain perbalahan dalam kalangan peminat.
Hal ini disebabkan oleh tindakan beberapa individu yang mempertikaikan tindakan Siti membawa Aafiyah ke sebuah spa mandian bayi dan mengajarnya berenang baru-baru ini.
“Tidak menjadi masalah jika mereka menegur dengan cara baik. Namun, jika ada yang memberi teguran berbaur negatif dan melampau, saya akan sekat akaun mereka.
“Komen negatif sebenarnya sudah menggambarkan niat sebenar seseorang itu, jadi daripada timbul perkara lain yang tidak baik, saya akan sekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti berkata, tujuan beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menghantar Aafiyah ke kelas berenang pada usia muda kerana mahu mendedahkannya terhadap ilmu asas kehidupan.
“Ketika saya kecil, keluarga saya tidak mampu untuk menghantar saya belajar berenang. Jadi, apabila sudah bergelar ibu dan berkemampuan, saya fikir belajar berenang adalah sebagai suatu keutamaan yang perlu buat Aafiah.
“Tambahan pula, ia boleh membantu Aafiyah jika berlaku kecemasan. Maklumlah, rumah kami mempunyai kolam renang yang besar. Jangan jadi seperti ibunya yang langsung tidak tahu berenang,” seloroh Siti menutup bicara. |
|