“KAMI semua kesal dan tidak dapat terima keputusan itu,” kata Fatimah Nasir, 45, ibu kepada seorang daripada mangsa kemalangan meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, 18 Februari 2017 lalu. Fatimah meluahkan kekecewaan itu berhubung keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana melepas dan membebaskan jurujual yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Menurutnya, perkara itu diluahkan semua keluarga mangsa kemalangan yang berbincang menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp ‘lapan anak syurga’ hari ini.
“Ketika berkongsi keputusan itu (pembebasan wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian), semua keluarga tidak boleh terima. “Kami akan berbincang dan berkumpul selepas ini untuk membuat sebarang keputusan seterusnya sama ada melawan semula kes itu atau sebaliknya,” katanya kepaa Harian Metro, hari ini. Fatimah berkata, kumpulan WhatsApp itu ditubuhkan sejak 2017 selepas kemalangan meragut nyawa ahli keluarga masing-masing. “Di situ, kami berkongsi semua perkara bersama ahli keluarga lapan mangsa serta tiga peguam kami. “Bermula daripada kes kemalangan itu hingga perbicaraan di mahkamah, semuanya dikongsikan bersama, ibarat satu keluarga,” katanya. Menurut Fatimah, semua keluarga mangsa kemalangan itu tidak mengetahui keputusan akan dijatuhkan di Mahkamah Majistret, hari ini. Katanya, tiada pihak, termasuk polis dan peguam yang memberitahu mereka sedangkan sebagai keluarga, mereka berhak tahu perkembangan penting kes membabitkan wanita itu sama ada bersalah atau tidak. “Kami kesal, terkilan. Sepatutnya ada wakil keluarga mendengar keputusan penuh itu, ini tidak kami hanya mengetahuinya menerusi laman sosial sebelum berbincang mengenainya di kumpulan WhatsApp lapan anak syurga,” katanya.
|