JOHOR BAHRU – Perbuatan kejam seorang peniaga yang memukul bekas isterinya sehingga cedera parah tiga tahun lalu dan mangsa kini terlantar koma berbalas apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun.
Hakim Hazeelia Muhammad membuat keputusan itu ke atas Rosmaini Abd. Raof, 41, selepas pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Mahkamah turut menolak permohonan barisan peguam tertuduh diketuai Kamal Hisham Ja’afar untuk menangguhkan hukuman sehingga rayuan dibuat ke Mahkamah Tinggi.
Hukuman penjara ke atas Rosmaini bermula hari ini.
Pada 3 November lalu, keputusan akhir kes pembelaan itu terpaksa ditangguhkan selepas Rosmaini gagal hadir ke mahkamah atas alasan dimasukkan ke wad hospital kerana tidak sihat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh diwakili Kamal Hisham, Mohd. Salleh Togimin dan Aina Kamilah Zalizan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini didakwa telah memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki ke belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu masih isteri ketiganya, sehingga mangsa cedera parah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi 4 Mei 2021.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Jahidah yang merupakan seorang penjawat awam telah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban telah membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Feb 2023.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/09/bekas-suami-jahidah-dijel-10-tahun/