Siti Saleha calon Bintang Asia Terbaik - Malaysia
KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Saleha meluahkan rasa teruja apabila namanya muncul antara calon Bintang Asia Terbaik - Malaysia pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 yang bakal berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 25 September ini. Berkongsi perasaan mengenai kejayaan awalnya itu, Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha memberitahu, dia tercalon menerusi drama Tonton Original Series berjudul SeOfis yang ditayangkan di platform digital itu Januari lalu. "Pengurus beritahu TV3/Tonton mencalonkan nama saya untuk anugerah ini beberapa bulan lalu. Selain saya, ada juga beberapa nama pelakon lain yang turut dicalonkan. "Pemenang berdasarkan undian global peminat menerusi aplikasi Idol Champ. Masa mula-mula diberitahu, saya susah juga nak percaya.
"Tapi selepas membuat kaji selidik, barulah saya tahu yang anugerah ini sudah lama wujud. Sangat menakjubkan bila nama saya tercalon dalam acara anugerah bertaraf antarabangsa seperti ini," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Untuk kategori itu, Siti Saleha turut bersaing dengan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Ditanya apakah berharap trofi kemenangan bakal menjadi miliknya, calon kategori Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 itu lebih selesa bersikap merendah diri apabila menyifatkan pencalonan itu sudah cukup untuk membuat dirinya berasa bangga. "Tercalon pun sudah cukup untuk membuatkan saya rasa seperti pemenang. Amat penting sebenarnya untuk kita bersikap merendah diri. "Saya melihat pencalonan ini sebagai satu peluang besar untuk saya kembangkan lagi bakat lakonan. "Walaupun sekadar finalis itu sudah memadai kerana dapat juga saya beramah mesra dan bergambar kenangan dengan calon dari negara serantau lain," ungkap Siti Saleha yang bakal berangkat ke negara K-Pop itu malam ini. Selain SeOfis, satu lagi drama yang turut dicalonkan adalah Dough lakonan Syafiq Kyle. Sementara itu, wakil TV3/Tonton, Muhammad Taqyuddin Kamil menyifatkan pencalonan pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 34 itu sebagai menghantar isyarat negara mempunyai ramai pelakon berbakat besar yang boleh diketengahkan ke luar negara. "Kami percaya industri seni tempatan mampu melahirkan lebih ramai bakat seperti Siti Saleha yang mendapat pengiktirafan di luar negara. "Dengan fokus yang semakin meningkat pada penghasilan karya berkualiti, program latihan yang sistematik dan sokongan daripada pelbagai pihak, kami yakin bahawa bakat tempatan dapat berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1302018/siti-saleha-calon-bintang-asia-terbaik-malaysia
|