Fazura tekad mahu bercerai
KUALA LUMPUR: Aktres terkenal, Nur Fazura, 41, nekad mahu bercerai dengan Fattah Amin, 33, demi maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak, Nur Fatima Aisya, 4. Melalui entri dimuat naik di Instagram (IG), Fazura memohon orang ramai mendoakan proses perceraian dilaluinya berjalan lancar. "Pada hari ini, Faz (Fazura) kekal nekad untuk meneruskan keputusan Faz sebelum ini demi maruah Faz sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz. "Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar. Terima kasih sekali lagi atas kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan Faz sekeluarga," tulis Fazura pada kapsyen gambar sedang memeluk Fatima.
Menerusi hantaran sama, Fazura turut menitipkan ucapan penghargaan buat mereka yang tidak putus memberi kata semangat. Pelakon Gol & Gincu itu menjelaskan, dia mengambil keputusan selepas mempertimbangkan masa depannya bersama Fatima. "Pertama sekali, Faz ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat, bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu lalu. "Alhamdulillah dan terima kash sekali lagi kepada semua. Keputusan yang Faz buat pada 13 September lepas bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi mendalam tentang masa hadapan Fatima dan Faz," katanya. Terdahulu, Fattah dilapor belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi. Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu pada 7 Oktober ini. Isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing. Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen. Pada 13 September lalu, BH melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini. Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial. Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1302777/fazura-tekad-mahu-bercerai
|