Enggan berpisah, Fattah masih sayangkan Fazura
SHAH ALAM: Peguam syarie mewakili Fattah Amin, Zulkifli Che Yong memaklumkan, anak guamnya belum bersetuju untuk melepaskan isteri, Nur Fazura ketika sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi. Zulkifli berkata, tidak wajar untuk anak guamnya menyatakan sebarang fakta di sebaliknya kerana ia akan memprejudiskan kes yang sedang berlangsung ketika ini. "Saya ingin menjelaskan secara umum mengenai kenyataan dikeluarkan kepada kami selepas ditanya oleh pihak mahkamah. "Setakat ini, Fattah belum bersedia atau bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya. Ini kerana, usaha sedang dilakukan untuk memuktamadkan terma bagi menyelesaikan isu.
"Adalah perlu menyelesaikan terma berkenaan sekiranya mahu isu ini diselesaikan secara baik agar tidak dipanjangkan lagi perkara yang belum selesai," katanya ditemui selepas prosiding kes perceraian Fattah dan Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi. Pada masa sama, Zulkifli berkata, perbicaraan selanjutnya akan berlangsung pada 7 Oktober depan. "Jadi, saya berdoa kepada agar kedua pihak dapat selesaikan secara baik dan terma persetujuan dapat dimuktamadkan. "Sekiranya demikian, pihak defendan (Fattah) akan menyatakan pendirian pada tarikh 7 Oktober ini mengenai pendiriannya untuk perceraian secara baik," katanya. Sementara itu, Fattah menegaskan, dia masih berpegang dengan kenyataan dikeluarkan bahawa masih menyayangi Fazura. Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing. Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen. Pada 13 September lalu, BH melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini. Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial. Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. End
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1302688/enggan-berpisah-fattah-masih-sayangkan-fazura
|