SEREMBAN – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan sesetengah peminjam institusi itu yang dilihat sengaja tidak mahu membayar pinjaman tetapi memperagakan kemewahan.
Asyraf berkata, pihak Mara tidak pernah memilih bulu sebaliknya mengambil pendekatan berunding dan prinsip ihsan kepada sesiapa yang bermasalah dalam melangsaikan hutang pinjaman.
“Saya tiada kuasa untuk melupuskan apa jua pinjaman. Tetapi kalau ada masalah datang jumpa (pihak Mara).
“Jangan pula ada masalah atau tidak ada masalah sengaja tak nak bayar tetapi memperagakan kemewahan, jadi ini saya rasa tidak adil bagi semua pihak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Asyraf Wajdi mengulas laporan media mengenai rumah pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya yang diserbu pegawai Mara susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi di antara M Rail Technics (Railtec) dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Depoh EMU KTMB di sini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas Asyraf Wajdi, tindakan mahkamah dan perundangan adalah tindakan terakhir yang harus diambil bagi memastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan.- KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/10/peraga-kemewahan-tetapi-enggan-bayar-hutang-mara-asyraf-wajdi/