|
TIGA hari membuka twitter, akaun CahayaAsmawi memperoleh lebih 3,000 pengikut. Jumlah itu, cukup membuktikan kehadiran bintang yang pernah menerima jolokan Raja SMS itu, Asmawi Ani, 31, dirindui peminat.
“Kebanyakan mereka bertanya khabar dan projek terkini sedang saya rencanakan. Malah, tidak kurang juga mengajukan soalan ke mana saya menghilang.
“Saya tidak menghilang sebenarnya cuma kini sibuk dengan rakaman album Asma Ul Husna selain menerbitkan drama,” katanya.
Ujar Mawi, kewujudan twitter sudah lama diketahui, tetapi tidak pernah berkesempatan mengikutinya kerana dia sendiri seorang individu yang tidak begitu gemar bercerita aktiviti setiap hari kepada umum, lebih-lebih lagi sesuatu yang tiada kaitan dengan urusan kerja.
“Namun, pendirian saya berubah selepas mendapat nasihat rakan artis, Hafiz Hamidun yang meyakinkan saya bahawa twitter sebuah medium sosial yang paling berkesan ketika ini untuk mempromosikan kerjaya seni, selain berkomunikasi dengan peminat.
“Lalu saya akur membukanya. Tidak dinafikan sebagai artis kita perlu selalu mengikuti perkemba–ngan semasa dan sentiasa perlu ada inisiatif mengembangkan kerjaya dengan memasarkan produk melalui pelbagai medium.
“Pada awalnya agak terkial-kial juga, tetapi sekarang semakin seronok,” katanya ditemui di studio rakaman @ Arteffects Studio, Damansara Perdana, Jumaat lalu.
Pada pertemuan itu, Mawi terikat dengan proses akhir rakaman album terbarunya, Asma Ul Husna yang menampilkan Hafiz Hamidun sebagai komposer dan penggubah juga merangkap produser bersama menerusi album itu.
Sesi rakaman yang berlangsung selama empat kali bagi menyiapkan keseluruhan album itu dilakukan di studio milik Hafiz sendiri.
Bercerita mengenai kelainan album Asma Ul Husna yang dihasilkannya berbanding produk album yang pernah menampilkan alunan sama, pelantun lagu Kian itu, memaklumkan albumnya bakal membawa pendengar menerokai bacaan Asma Ul Husna menerusi pelbagai keindahan irama dengan bacaan yang jelas serta tepat.
“Asma Ul Husna, adalah nama-nama Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran di mana pada tiap-tiap nama itu mempunyai khasiatnya masing-masing.
“Keindahan alunan Asma Al Husna juga pernah dirakamkan pendakwah, penyanyi nasyid termasuk penyanyi pop di serata dunia. Di sinilah cabarannya untuk saya mencari kelainan dalam menyampaikan Asma Al Husna, namun masih mengekalkan keindahannya.
“Sudut kreatif saya serahkan pada Hafiz dan ternyata berjaya menghasilkan pelbagai melodi indah daripada balada hingga ke rancak, namun bersesuaian pengertian nama 99 nama Allah.
“Biasanya Asma Al Husna dialunkan secara penuh, tetapi album ini hanya menampilkan 11 nama Allah bagi setiap sembilan lagu. Manakala trek ke-10, barulah ia dinyanyikan secara penuh.
“Alasan kami berbuat begitu, kerana ramai yang tidak dapat menghafal Asma Ul Husna dengan baik. Dengan pembaharuan yang dilakukan ini, pendengar bukan saja dapat mempelajari nama Allah dengan jelas bahkan, saya sendiri sebagai penyanyi sendiri lebih teliti dalam setiap bacaan, mengambil serius panjang dan pendek ayat.
“Bukan sekadar menyebut, tetapi mereka juga akan faham maksudnya. Kalau ikutkan perancangan saya, dua tahun sudah mahu menghasilkan album Asma Ul Husna dalam bahasa rumi namun pengertiannya sangat besar, ada maksud yang berulang selain perlu diterjemahkan maksudnya secara mendalam,” katanya mengenai album yang dijangka dipasarkan sebelum Ramadan itu.
------------
kagum berjemaah sat  |
|