KPM guna Kit Program Transisi Tahun 1, Modul PRISMA bagi kanak-kanak rumah amal GISBH
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) untuk kanak-kanak rumah amal GISB Holdings (GISBH), yang sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa, bermula Selasa lalu. KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program pendidikan itu, yang membabitkan 68 guru, dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak terbabit bagi mengelakkan keciciran pembelajaran. KPM yang turut bekerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan, dua program itu juga bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. "Kit ini memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi dan numerasi.
"Modul yang digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran mengernai potensi diri, serta memupuk keseimbangan dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan mereka dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu," katanya.
Selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, KPM komited untuk memastikan kanak-kanak terbabit mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306088/kpm-guna-kit-program-transisi-tahun-1-modul-prisma-bagi-kanak-kanak
|