Tiada siaran langsung Piala AFF di RTM
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) bersama peserta Kejohanan Sepak Penalti Piala YB Fahmi Fadzil di IWK Eco Park @ Pantai Dalam hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aksi Piala AFF 2024 yang akan mula membuka tirainya 8 Disember ini tidak dapat ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen RTM (RTM). Perkembangan itu disahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menjelaskan kos untuk tayangan secara langsung bagi perlawanan itu terlalu tinggi sekali gus mereka terpaksa melupakan perkara itu untuk edisi kali ini. "Dahulu kita beli satu siaran saja iaitu Piala AFF pada hujung 2022. Saya difahamkan pemegang hak siaran Piala AFF tak mahu jual satu saluran saja namun perlu ambil lima saluran sukan. "Kos terlalu tinggi untuk Piala AFF. Inilah keadaan kita pada waktu ini dan kita tak mampu kerana luar daripada bajet.
"Jika dilihat kembali, kos dahulu beli dalam RM1.7 juta namun sekarang minta dalam RM14 juta untuk lima saluran sukan. (Ia) terlalu mahal," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Penalti Piala YB Tuan Ahmad Fahmi Fadzil di Padang Bola Sepak IWK Eco Park, Pantai Dalam, hari ini. Sebagai rekod, Piala AFF edisi kali ini menyaksikan skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand; Singapura, Kemboja dan juga Timor-Leste. Kumpulan B pula menampilkan naib juara edisi 2022; Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar serta Laos. Skuad bimbingan Pau Marti Vicente akan membuka kempen menentang Kemboja di tempat lawan, 8 Disember ini.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/11/1330868/tiada-siaran-langsung-piala-aff-di-rtm
|