LIVERPOOL - Liverpool mengundang kemarahan penyokong sendiri berikutan pembelian polisi insurans dengan syarikat gergasi insurans Amerika Syarikat, AON yang merupakan penaja baju musuh ketat, Manchester United.
Pentadbir Kop dikatakan telah meninggalkan sebuah syarikat insurans tempatan dan beralih kepada AON yang membayar 20 juta pound (RM99.25 juta) kepada United setiap tahun.
Ini bermakna, Liverpool secara tidak langsung telah menyumbang kepada perbelanjaan United yang pada musim lalu memintas pencapaian mereka dengan menjulang gelaran liga Inggeris ke-19.
Satu sumber berkata: "Ia satu langkah yang kurang bijak. Apabila penyokong Liverpool mendapat tahu perkara itu, mereka tentu berasa marah kerana kelab kesayangan emreka sedang 'membantu' United.
"Bekerjasama dengan penaja pasukan musuh ketat diibaratkan seperti menjaringkan gol sendiri.
Kelab-kelab bola sepak membeli polisi insurans yang nilainya mencecah jutaan pound untuk melindungi kepentingan seperti stadium, harta dan kemungkinan pemain mengalami kecederaan serius atau terpaksa bersara atas masalah yang tidak dapat diramal. - AGENSI