PRK DUN Mahkota: Proses pengundian berjalan lancar
KLUANG: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membabitkan 61,274 pengundi berjalan lancar setakat ini tanpa sebarang insiden tidak diingini. Ketika ini semua 20 pusat pengundian yang dibuka jam 8 pagi tadi sudah ditiutup sepenuhnya. Rata-rata pengundi mengambil peluang keluar awal mengundi bagi mengelak kesulitan memandangkan cuaca tidak menentu dan kerap hujan pada sebelah petang. Menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), bandar Kluang mulai hujan jam 4.20 petang, setelah cuaca baik pada sebelah pagi.
Tinjauan mendapati, kebanyakan pengundi mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa ketika beratur menunaikan tanggungjawab terbabit. Bagaimanapun, proses pengundian sebelah petang iaitu dua jam sebelum pusat ditutup agak perlahan memandangkan hujan lebat. Selepas proses pengundian tamat, semua peti undi dibawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke pusat penjumlahan undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini. PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. Undi awal bagi PRK itu berlangsung Selasa lalu, membabitkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis, selain 607 kertas undi pos dikeluarkan pada 15 September.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304115/prk-dun-mahkota-proses-pengundian-berjalan-lancar
|