Kerajaan iktiraf jasa, sumbangan Daim kepada negara - PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kepada negara terutama ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata, beliau menerima perkhabaran pemergian Daim ketika tiba Lima, Peru. "Saya menerima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham. "Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Allahyarham Daim yang menerima rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya sejak dua minggu lalu disahkan meninggal dunia pada 8.21 pagi tadi. Jenazah bekas Menteri Kewangan itu dibawa pulang ke rumahnya di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1. Allahyarham yang dilahirkan di Kedah pada 29 April 1938 pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323380/kerajaan-iktiraf-jasa-sumbangan-daim-kepada-negara-pm
|