|
Edited by mamanoni at 3-11-2024 10:08 PM
Pada ketika produk Duck meningkat naik, jadi kegilaan kepada pengemarnya.
Saya kenal Duck sebagai produk yang diasaskan Vivy dan suaminya. Begitu juga Fashion Valet, platfom fesyen e-dagang yang diasaskan pasangan ini.
Aura perniagaan pasangan ini bukan biasa-biasa, pada ketika memuncak umpama satu empayar jenama fesyen produk tempatan di Malaysia. Sehingga menarik ramai pelabur.
Walaupun harga tudung itu, ada yang mencecah ratusan ringgit. Duck menghasilkan stail dan design tersendiri. Paling utama, Duck ada peminat dan pelanggan sendiri.
Peminat Duck pula jenis yang setia, kalau kita komen tentang harga, mereka kata "Beli Duck tak rugi. Boleh jual semula. Kalau jual semula, ada design mahal dari harga beli. Tambah lagi kalau Limited Edition. Samalah kalau beli produk LV, jual ada harga".
Begitulah hujah peminat setia Duck tetapi dah tentulah berbeza perbandingan jenama antarabangsa dengan tempatan. Tambah pula, perbandingan fabrik yang telah diguna pakai beserta cara penggunaan, dicucuk pin dan bekas make up dan peluh dibandingkan produk tas tangan.
Perbandingan tak sesuai tetapi bila hujah ini digunapakai bagi menjustifikasi pembelian jenama Duck oleh peminatnya, saya malas hendak berhujah lanjut. Faham semangat kesetiaan peminat atau pembeli.
Untungnya produk Duck ini kerana Duck telah berjaya menghasilkan pelanggan yang setia. Loyal customer. Bukan semua jenama tempatan tiba-tiba jadi sensasi seperti Duck atau platform FV.
Mana-mana produk yang ada loyal customer begini, bertuahlah. Selalunya banyak produk jenama antarabangsa ada pelanggan yang setia.
Saya ambil contoh Apple. Pembeli setia, ini tidak kisah lagi harga, jual lah berapa ribu ringgit. Tidak kisah beratur berapa jam atau sehari sebelum pelancaran produk, demi untuk menjadi paling awal membeli produk kesayangan mereka.
Saya berkali-kali fikir tentang produk Apple, bukanlah tidak boleh tunggu sebulan lagi untuk memiliki model baru, dah lah harganya boleh capai sehingga belasan ribu ringgit.
Pada saya, duit keluar, masa terbazir beratur, tenaga keluar. Eloklah kalau hendak beli apabila produk ini sudah tak berlumba-lumba di pasaran. Yang kalut-kalut ni kenapa?
Sehingga hari ini saya tak faham kegilaan 'hype' ini tetapi tak sama dengan pelanggan setia, perasaan bangga paling awal memiliki dan paling laju sekali. Jangan tunggu sehingga produk telah jadi 'basi'.
Pelanggan setia ini, merekalah umpama jurucakap, mereka ini umpama 'army', mereka ini yang memberikan testimoni, mereka inilah yang sanggup berdebat untuk jenama tanpa upah, mereka inilah sanggup berpanas dan menanti pelancaran produk.
Mereka inilah sanggup 'battle' pembelian online. Semuanya tanpa upah tetapi demi jenama kesayangan. Pada saya, betapa setianya mereka ini, syarikat jenama dan pengasasnya juga ada tanggungjawab menjaga mereka.
Banyak saya belajar tentang loyal customer ini dari buku 'Start With Why' oleh Simon Sinek. Mereka lahir dari hasil usaha syarikat jenama yang bertungkus-lumus menaikkan jenama mereka dari segi misi, visi, kepimpinan, teknologi sehinggakan sekecil-kecil perkara.
Bertuahlah ada jenama yang sememangnya mendapat tempat dihati pelanggan setia. Bukan semua jenama begini, ada yang bertahun-tahun cuba pelbagai kaedah mendapat 'loyal customer' tetapi gagal.
Langkah seterusnya, setelah sesuatu perniagaan ada 'loyal customer' begini. Jaga. Kekalkan. Tambah baik. Kembangkan. Usaha dan terus usaha. Semuanya dalam tangan jangan biar terlepas.
Jangan jadi seperti Motorola dan Nokia yang pernah menjadi peneraju dan memonopoli pasaran. Mereka gagal mengekalkan empayar sehingga digantikan jenama-jenama yang lain.
Jenama-jenama yang berjaya menguasai pasaran hari ini, kita lihat usaha mereka. Mereka mengupah dan melantik ratusan dan ribuan pasukan memastikan jenama mereka sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan setia dan bakal pelanggan. Setiap hari, mereka mencari kaedah bagaimana hendak meningkatkan perniagaan, apa permintaan pengguna.
Begitu juga dalam dunia fesyen, mereka menjaga jenama mereka supaya kekal eksklusif, mereka sentiasa mencari idea baru untuk reka bentuk, pemasaran dan macam-macam lagi. Sebab itu ada jenama 'lifestyle dan fashion' yang hampir atau lebih 100 tahun.
Dalam pada mereka mempunyai saingan jenama-jenama hebat yang lain, menjual beg tangan, menjual segala aksesori tetaplah ramai pelanggan setia walaupun ada yang sehingga puluhan atau ratusan ribu ringgit.
Persaingan dalam dunia fesyen ini macam-macam tetapi kalau jenama sudah kuat dan berkualiti dengan pelanggan setia, tak perlu risau. Sehinggakan memiliki jenama begini menunjukkan 'sosial status'.
Kalau memiliki jenama tertentu, dianggap berduit dan dipandang tinggi kerana mampu memiliki. Tambah pula sekarang umpama satu trend, menabung untuk membeli jenama begini dan ada yang sanggup berhutang secara ansuran kepada 'personal shopper'. Biar papa asal bergaya.
Jadi pada pandangan saya sejak awal Duck di pasaran, cukup bertuah. Ada pelanggan setia, dianggap sebagai memiliki sosial status. Penggunanya jadi kagum dapat memiliki produk ini. Ada 'army' nya sendiri, cukup untuk membela jenama ini kalau dipertikaikan tentang harga dan jenama.
Tambah bertuah pada saya persaingan pasaran juga, tidak perlu bersaing dengan jenama antarabangsa sangat. Berbeza dengan jenama yang menjual produk yang ada persaingan dengan jenama antarabangsa. Susah hendak mendapat tempat kadangkala.
Contoh, jenama Bonia yang menjual beg tangan, kasut dan perlu bersaing dengan produk dari jenama antarabangsa. Contoh Guess, Crocodile. Pelanggan ada pilihan untuk memilih kualiti, reka bentuk, stail, jenama.
Tambah pembeli, ada pilihan untuk membeli jenama-jenama antarabangsa yang lebih mahal dan bukan hanya dengan likungan harga jenama buatan Malaysia. Ada yang pilih hendak membeli jenama-jenama seperti Birkin, Hermes, LV, Prada dan macam-macam lagi.
Saya kira tudung, 'shawl', baju kurung dan pakaian modern tradisi Malaysia ini tiada saingan dengan jenama antarabangsa. Apa yang dipasarkan di FV ini, adalah produk-produk tempatan. Sudah ada pelanggannya sendiri. Tak perlu risau.
Malahan jenama tudung seperti Duck, pada pelangganya menunjukkan sosial status dan mereka bersedia untuk membeli dan menghabiskan ratusan ringgit tanpa saingan jenama antarabangsa yang menghadkan pelanggan pasaran Duck.
Berani saya katakan Duck antara jenama tudung yang telah memonopoli pasaran tudung 'eksklusif' di Malaysia. Tambah pula puluhan juta modal yang disuntik untuk meningkatkan pasaran jenama ini.
Pada awal Duck dan Fashion Valet ini mula naik, dengan produk dan harga serta kaedah pemasaran. Ada beberapa persoalan tentang 'sustainability' jenama, produk dan platform ini bagi jangka panjang.
Tetapi saya tidak mahu jadi orang yang skeptikal, saya tak mahu jadi si negatif yang semua benda dipertikaikan dan tidak sokong usaha-usaha dari usahawan tempatan terus maju.
Jadi kita meraikan, kita turut bangga dengan kedua-dua pasangan muda ini, terus menjadi contoh dan harapan usahawan dalam pasaran Malaysia. Semoga ramai usahawan muda seperti mereka yang maju.
Ramai orang menjadikan mereka contoh dan tauladan. Mereka dipanggil untuk berkongsi pengalaman dalam sesi-sesi ceramah. Mereka dijadikan model sehingga diberikan jawatan-jawatan. Mereka diberikan suntikan modal puluhan juta.
Sayang sekali, semalam bila saya jawapan permohonan maaf dari Fadza dan Vivy. Entah kenapa, berulang kali saya baca tetap rasa tidak puas.
Permohonan maaf dan penjelasan yang menyebabkan banyak lagi soalan yang timbul dalam kepala saya.
Tulis mereka "We attempted to expand the business too aggresively and did not sufficiently plan for rainy days". Dalam perniagaan kita tahu ada risiko. Banyak syarikat melantik penasihat, konsultan, team marketing dan macam-macam lagi untuk kita lihat pelbagai kebarangkalian. Adakah FV tiada penasihat yang hebat-hebat?
Kemudian paling saya rasa tak adil dan tidak patut, bila telah menjadi isu begini, tindakan menarik diri dari syarikat sewaktu kemelut sedang berlaku. Erm?
Saya lebih suka jenis ketua "Leaders Eat Last" oleh Simon Sinek yang dijadikan contoh, bagaimana ketua-ketua ini tidak mengutamakan diri sendiri sebagai ketua tetapi perniagaan dan anak-anak buah.
Jenis Kapten kapal yang tidak meninggalkan kapal untuk tinggal karam dan menyelamatkan diri sendiri. Sekurang-kurang usaha, barulah layak dihormati dan diangkat.
Entahlah segala jawapan yang saya rasakan tak adil kepada pelanggan setia yang bermatian-matian jenama Duck sewaktu sedang naik. Sehingga percaya membeli produk Duck ada re-sale value setanding dengan jenama antarabangsa. Tidak adil untuk pelanggan-pelangan FV.
Bukan kita tidak tahu meniaga ada untung rugi, bukan kita pertikaikan biasalah ada busines rugi juta-juta, kenapa orang tak marah.
Entahlah untuk segalanya ada sejak awal, ada pelanggan setia, ada modal berjuta tetapi mana silapnya?
Oleh Nor Zabetha |
|