PETALING JAYA – Lapan tahun menanggung derita dipukul suami, akhirnya penyanyi dan pelakon, Elliza Razak nekad untuk menuntut cerai daripada suaminya awal tahun ini.
Menurut Elliza atau nama lengkapnya Abdul Razak, 40, dia mendakwa pernah dipukul dengan teruk bekas suaminya pada tahun 2015, namun memilih untuk meneruskan perkahwinan demi anak-anak.
“12 tahun saya bertahan hidup dengan bekas suami. Saya bukan sahaja dipukul, tetapi saya juga perlu menanggung keluarga dan juga melangsaikan hutang-hutangnya yang berbelas ribu.
“Lapan tahun saya kerja dengan syarikat penapis air mencari duit untuk menyara keluarga. Saya tinggalkan dunia hiburan selepas melahirkan anak.
“Arwah ibu dan bapa saya sampai ke akhir hayat mereka tidak tahu saya hidup menderita bersama bekas suami. Hanya kakak saya iaitu Ellina seorang yang tahu,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-17 Suria FM.
Tambah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu lagi, apa yang membuatkan dia nekad untuk bercerai adalah selepas diugut bekas suami untuk memisahkan dia dengan dua orang anak mereka.
“Dia ugut saya dia cakap jangan sampai dia buat saya tak dapat jumpa anak-anak saya lagi. Dia banyak ugut saya. Sejujurnya saya sudah penat menanggung derita.
“Saya tak kisah jika impaknya hanya pada saya seorang. Tetapi bila melibatkan anak-anak saya tidak boleh berdiam diri. Mental anak-anak saya terjejas. Sampai sekarang mereka trauma.
“Anak saya pernah lihat bapa mereka mengasari saya depan mata sewaktu dalam tempoh idah. Anak saya sampai marah bapa mereka supaya berhenti mengasari saya,” katanya sambil menahan sebak.
Enggan lagi menoleh ke belakang, Elliza kini mahu bangkit dan membuat kemunculan semula dalam industri hiburan yang dicintainya.
“Saya sangat cintakan bidang seni. Kali terakhir saya berlakon 10 tahun lalu sewaktu sedang hamil anak pertama.
“Tetapi saya rindukan bidang nyanyian. Bidang nyanyian yang membawa Saya ke dalam industri.
“Syukur alhamdulillah, saya diberikan peluang untuk menyanyikan lagu tema bagi sebuah drama untuk slot Akasia di TV3 tidak lama lagi.
Untuk rekod, Elliza dan bekas suaminya yang dikenali sebagai Khairul Adzwan Nasir berkahwin pada 11 November 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ellisya, 10 dan Emmir, 8. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/06/12-tahun-saya-bertahan-elliza-razak-dakwa-berdepan-keganasan-domestik/