Rita pasrah, Syamsul malu-maluOleh KHADIJAH IBRAHIM
[email protected]
Gambar RASHID MAHFOF
SEMENJAK berkahwin empat tahun lalu sehingga mempunyai dua orang anak, kisah rumah tangga Rita Rudaini Mokhtar, 36, dan Aidil Zafuan Abd. Razak, 25, sering menjadi tajuk utama akhbar.
Selain cerita tentang kebahagian pada awal perkahwinan, kini kisah pergolakan rumah tangga mereka kerap menjadi bahan berita. Lagi pula cerita pasangan suami isteri yang dikurniakan dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna, setahun itu telah menjadi kes mahkamah.
Biar seribu dugaan datang melanda dan sering naik turun mahkamah, ia tidak pernah mengugat tumpuan Rita dalam kerjaya.
Rita yang ditemui di set penggambaran drama Ameera di Subang Bestari, baru-baru ini berkata, apa yang dilalui adalah sebahagian daripada kehidupan.
“Nak kata apa, saya perlu harungi juga. Takkan saya nak bersedih dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Hidup mesti diteruskan kerana berlakon adalah kerjaya, ini periuk nasi saya.
“Selama ini pun saya tidak pernah mencampur aduk hal rumah tangga dan kerjaya. Bila berada di set, saya memberi tumpuan pada kerja," katanya yang mementingkan kualiti dalam berkarya.
Bila ditanya bagaimana dia berhadapan dengan masyarakat kerana sebagai public figure, setiap apa yang berlaku pasti menjadi perhatian, Rita terdiam sejenak.
Selepas dilihat berfikir, Rita memberitahu tidak ada apa yang perlu dimalukan kerana baginya, dia adalah manusia biasa dan apa permasalahan yang berlaku ke atasnya turut dilalui oleh lain.
“Beza saya dengan wanita lain, mereka orang tidak kenal sedangkan saya dikenali. Bila tiba kes saya semua orang sibuk nak tahu sedangkan orang lain pun lalui pengalaman itu.
“Kalau saya asyik fikirkan malu sampai tak mahu keluar rumah, macam mana nak cari rezeki. Anak-anak takkan dapat makan. Pendek kata susah senang, saya kena berusaha sendiri melawan apa juga masalah yang datang," katanya yang melakonkan watak Ameera dalam drama tersebut.
Dalam drama arahan Murali Murat itu, dia berpasangan sebagai suami isteri dengan Syamsul Yusuf yang melakonkan watak Ameer.
Bila diusik mendapat suami muda dalam drama 25 episod untuk slot Samarinda itu, Rita sambil tersenyum berkata, kebetulan sahaja dia berlakon dengan pelakon muda.
“Ameera bukan berkahwin dengan lelaki muda, cuma watak Amer sahaja dibawa oleh orang muda. Sebelum ini pun saya pernah berpasangan dengan pelakon muda, Aqasha tapi dia nampak matang.
“Berbanding Syamsul yang berwajah babyface ni, takut tidak serasi bila berlakon bersama. Sebenarnya saya risau memikirkan tentang lakonan kerana kami tidak pernah digandingkan," akuinya.
Rita yang bakal menunaikan umrah buat kali kedua dengan keluarga termasuk anak-anak pada 23 Mei ini berharap kehidupannya akan kembali tenang selepas menunaikan umrah.
Bercerita lanjut mengenai kerjaya, Rita berkata, agak sukar berpasangan dengan Syamsul yang baru saja tampil dengan filem arahan Bohsia 2 - Jalan Kembali.
“Kami berlakon sebagai suami isteri yang sudah berkahwin selama lima tahun, mesti nampak kemesraan itu.
“Masalahnya, Syamsul pemalu sangat. Saya kata padanya, kita perlu nampak mesra semula jadi bukan dibuat-buat sebab penonton boleh perasan.
“Mula-mula Syamsul terkejut bila saya pegang dia sebab dalam skrip tidak diarah berbuat begitu.
“Bukan saya nak ambil kesempatan cuma ingin menunjukkan kemesraan sahaja agar lakonan nampak hidup," perjelasnya agar tidak disalah erti.
Namun Syamsul pada pandangan Rita masih lagi seorang pemalu dan sebab itu juga dia gemar mengusik pemuda itu ketika di lokasi.