Banjir kilat akibat perubahan Monsun Timur Laut -Ketua Pesuruhjaya APM
Anggota Penyelamat Pantai sedang melakukan pertunjukan menyelamat mangsa yang lemas di pantai. NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
PORT DICKSON: Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku sekarang berpunca daripada peralihan Monsun Barat Daya (MBD) kepada Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan angin kencang berserta ribut dan hujan lebat terutama pada sebelah petang. Susulan itu, orang ramai terutama mereka yang berada di kawasan mudah banjir perlu lebih peka dengan perubahan cuaca yang menyebabkan berlaku bencana itu di beberapa kawasan di seluruh negara. Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed, berkata kejadian banjir kilat yang berlaku menyebabkan pihaknya setakat ini membantu memindahkan 4,150 mangsa daripada 1,120 keluarga ke 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri. Beliau berkata, APM juga sentiasa bersiap siaga menghadapi sebatang bencana termasuk tanah runtuh susulan perubahan cuaca itu bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
"Kejadian banjir kilat berlaku akibat perubahan monsun dan kita berharap orang ramai sentiasa peka dengan perubahan cuaca di kawasan mereka. "Kita cuma berharap hujan lebat itu tidak menyebabkan berlaku tanah runtuh atau pokok tumbang, yang boleh menjejaskan keselamatan awam," katanya selepas Majlis Penutup Civil Defence Beach Lifeguard Conference (CDLC) di Pantai Batu 5, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid. Mengulas kejadian tanah runtuh di Bukit Melawati yang berlaku kelmarin, Aminurrahim berkata, pihaknya memindahkan tujuh keluarga ke PPS berdekatan dan menasihatkan mereka tidak pulang ke rumah dalam masa terdekat. Beliau berkata, langkah itu perlu susulan keadaan cuaca masih tidak menentu pada masa ini terutama pada waktu malam. "Buat masa ini kita berpendapat keadaan masih belum selamat untuk mereka pulang ke rumah masing-masing. Kita jangan ambil mudah, sebaliknya perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana keadaan cuaca tidak menentu," katanya. Sementara itu, Khairus berkata, orang ramai yang mahu bergerak ke mana-mana lokasi dinasihat menggunakan kemudahan aplikasi Mycuaca bagi mengetahui keadaan di lokasi terbabit. "Mycuaca boleh dimuat turun secara percuma. Ia memberikan maklumat berhubung ramalan cuaca dan panduan ketika berdepan dengan keadaan cuaca tertentu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312068/banjir-kilat-akibat-perubahan-monsun-timur-laut-ketua-pesuruhjaya
|