"Peningkatan UTP dalam ranking adalah bukti tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan, kerjasama industri yang kukuh serta komitmen menghasilkan graduan yang siap untuk masa depan," katanya.
Kenyataan itu menambah, penekanan universiti terhadap pembelajaran di antara disiplin dan pendidikan berasaskan pengalaman membekalkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk berkembang dalam dunia yang sentiasa berubah.
Sementara itu, Naib Canselor UTP, Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata pencapaian itu kebanggaan besar bagi seluruh komuniti UTP, mencerminkan dedikasi dan komitmen teguh fakulti, kakitangan, pelajar dan alumni universiti.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Petronas, rakan industri dan kolaborator akademik yang telah menyumbang kepada pencapaian UTP," katanya.
Beliau menekankan fokus strategik UTP adalah untuk menjadi universiti berasaskan penyelidikan sambil mengekalkan komitmennya terhadap kecemerlangan pengajaran.
Katanya, usaha meluas universiti untuk bekerjasama dengan industri dan membina perkongsian kukuh di seluruh dunia, disertai peningkatan penyelidikan translasi, membolehkan UTP menghasilkan siswazah memenuhi permintaan industri dan bersedia menghadapi masa depan.
Selaras visi untuk menjadi universiti terkemuka dalam bidang tenaga dan teknologi menjelang 2050, beliau memaklumkan, UTP akan memperkenalkan program kejuruteraan inovatif baharu.
Program itu, katanya, membekalkan pelajar dengan kemahiran antara disiplin untuk masa depan semasa THE Campus Live SE Asia yang dianjurkan oleh UTP pada 26 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
"Menyedari kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini lain, UTP sedang mengadaptasi kaedah pengajaran dan pembelajaran baharu.
"Ini untuk memastikan graduan mempunyai atribut diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah," katanya.
Ketika UTP terus menghadapi cabaran yang akan datang, beliau menekankan, fokus universiti adalah terhadap penyelidikan yang berimpak, terutamanya dalam bidang peralihan tenaga, kehidupan masa depan, kelestarian dan digitalisasi.
"Kami bekerja dengan tekun untuk memastikan penyelidikan kami bukan sahaja terkini, tetapi juga relevan, menangani cabaran global dan menawarkan penyelesaian dunia nyata yang boleh dikomersilkan.
"Dengan cara ini, kami menyumbang kepada kebaikan masyarakat dan kemajuan pengetahuan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1308646/utp-universiti-nombor-satu-malaysia-ranking-times-higher-education