[size=0.8em]COMMUNICABLE DISEASEKenyataan Media KPK 12 Disember 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 49 (4 – 10 Disember 2022) dan Situasi Bencana Banjir serta Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut 2022/2023[size=0.8em]BY DG OF HEALTH ON DECEMBER 12, 2022
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
MINGGU EPIDEMIOLOGI 49 TAHUN 2022
(4 DISEMBER – 10 DISEMBER 2022)
STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 22.1 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-49 tahun 2022 (ME 49/2022) berbanding ME 48/2022 (Rajah 1);
Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 49/2022 berbanding ME 48/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);
- Pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 23.9 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, menurun sebanyak 25.6 peratus.
Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 49/2022 berbanding ME 48/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal menurun sebanyak 9 peratus; dan
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 2 peratus.
Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus (Rajah 4) pada ME 49/2022 berbanding ME 48/2022.
PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)
Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan penurunan.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 48/2022 dan ME 49/2022 (Rajah 5):
- Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 23.3 peratus;
- Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 20.0 peratus; dan
- Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 8.3 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.
Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menurun sebanyak 13.1 peratus pada akhir ME 49/2022 berbanding ME 48/2022; iaitu dari 15,512 kepada 13,481 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas kekal 6 peratus (863 kes) seperti Rajah 6:
STATUS TERKINI KES COVID-19
Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 10 Disember 2022 (ME 49/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 5,009,767;
- Kumulatif kes sembuh: 4,954,204 kes;
- Kumulatif kes kematian: 36,753 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,161 kluster (kluster aktif: 41 kluster).
Perbandingan antara ME 48/2022 dan ME 49/2022:
- Bilangan kes sembuh pada ME 49/2022 menurun sebanyak19.5 peratus (18,405 kes kepada 14,816 kes) (Rajah 7);
- Bilangan kes baharu pada ME 49/2022 menurun sebanyak 24.9 peratus (14,558 kes kepada 10,937 kes) (Rajah 8);
- Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 24.9 peratus (14,543 kes kepada 10,923 kes); dan
- Bilangan kes import menurun sebanyak 6.7 peratus (15 kes kepada 14 kes).
- Bilangan kes kematian pada ME 49/2022 menurun sebanyak30.6 peratus (62 kes kepada 43 kes); dan
- Purata kes aktif setiap hari bagi ME 49/2022 menurun sebanyak 16.4 peratus (25,062 kes kepada 20,945 kes) (Rajah 9).
NILAI RT
Nilai RT pada ME 48/2022 adalah 0.86 (Rajah 10).
SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 49/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Sebanyak 165 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 21.2 peratus pada ME 49/2022 (Rajah 11); dan
- Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 49/2022 (Rajah 12).
SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR
Sehingga jam 9.00 pagi, 12 Disember 2022, terdapat lima (5) buah negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, dan Johor ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Kelantan (5), Terengganu (11), Pahang (11), Perak (1), dan Johor (1). Jumlah mangsa banjir keseluruhan mencatatkan peningkatan dari 659 orang hari sebelumnya kepada 2,553 orang.
Terdapat 14 kes COVID-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir semasa tempoh 11 November 2022 hingga 18 November 2022. Semua kes telah tamat menjalani isolasi dan telah pulang ke rumah masing-masing. Dari 19 November 2022 sehingga kini, tiada kes COVID-19 dikesan di kalangan mangsa banjir.
Kes penyakit berjangkit mula dipantau sejak 11 November 2022 apabila beberapa episod banjir berlaku. Secara kumulatif, sebanyak 12 kes acute gastroentritis (AGE), 207 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), lapan (8) kes konjuntivitis, 134 kes jangkitan kulit telah dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Tiada kes typhoid, kolera, leptospirosis, hand foot mouth disease (HFMD) dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir sehingga hari ini.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.
Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
- Elakkan 3S;
- Amalkan 3W;
- Amalkan TRIIS;
- Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
- Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
- Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
- Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
- Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 Disember 2022 @ 11.30 pagi