KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengucapkan tahniah kepada Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaannya menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini.
"Alhamdulillah, pingat emas pertama untuk kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022! Tahniah Mohamad Aniq Kasdan yang cemerlang dengan angkatan keseluruhan 249 kilogram (kg) bagi memberi pingat pertama negara.
"Lebih manis, pencapaian Aniq ini merupakan rekod kejohanan yang baharu serta penampilan pertama beliau di kejohanan terbesar dunia," katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Ismail Sabri turut berharap atlet Malaysia akan terus menyumbang lebih banyak pingat buat negara.
Terdahulu, Mohamad Aniq, 20, menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.
Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg. – BERNAMA