KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada Mahkamah Tinggi menerima pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion, akan terjawab esok.
Keputusan itu dibuat kira-kira seminggu selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Najib kini menjalani hukumannya di Penjara Kajang.
Jika Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan menerima pembelaan itu,
Rosmah yang juga digelar First Lady Of Malaysia akan dibebaskan daripada tiga tuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1.5 juta serta RM5 juta berkaitan projek berkenaan.
Penjara hingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan jika bersalah
Sebaliknya, jika pembelaannya tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan, Rosmah berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun bagi setiap tuduhan dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagaimanapun beliau boleh memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu dan merayu di Mahkamah Rayuan.
Rosmah yang penuh beremosi dan tidak dapat menahan sebak ketika membela diri pada 5 Oktober 2021, menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah pendakwaan terpilih dan pendakwaan bertindak zalim, kejam serta berniat jahat.
Jelasnya,
pendakwaan menutup mata terhadap kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Tan Sri Madinah Mohamed dan Datuk Seri Alias Ahmad yang menggantikan Madinah.
Rosmah dalam pembelaannya berkata, sepatutnya semua individu berkenaan termasuk bekas pegawai khas suaminya, Datuk Rizal Mansor dan Pengarah Urusan Jepak ketika itu, Saidi Abang Samsuddin yang diambil tindakan, sebaliknya pendakwaan memilih memanggil mereka sebagai saksi di mana Rizal pula yang didakwa pada mulanya kemudian dibebaskan untuk menjadi antara saksi utama.
Rosmah persoal dua 'butler' yang didakwa terima duit tak dipanggil mahkamah
Antara pembelaan Rosmah yang lain adalah, Rizal berbohong apabila mendakwa wang RM6.5 juta diletak dalam empat beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Disember 2016 dan ke rumahnya di Langgak Duta pada 7 September 2017.
Menurutnya, beliau tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan Saidi melalui Rizal kepadanya dalam dua bagasi di Seri Perdana dan tuduhan Rizal bahawa bagasi itu diserahkan kepada dua 'butler' dan kemudiannya diserahkan kepadanya adalah tidak benar dan mengaibkan.
Turut dipersoalkan, adalah tindakan pendakwaan yang disifatkan melakukan penganiayaan terhadapnya kerana gagal memanggil butler itu untuk memberikan keterangan. Rosmah menegaskan itu dengan jelas menunjukkan pendakwaan mengetahui kejadian berkenaan tidak pernah berlaku.
Ketika memerintahkan Rosmah membela diri pada 18 Februari tahun lalu, Mohamed Zaini turut memutuskan bahawa rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "Can I advise you something?" turut diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes berkenaan.
Rakaman audio itu dipercayai sebagai sebahagian daripada perbualan di antara Rosmah dan Najib yang dimainkan oleh pihak pendakwaan ketika perbicaraan.
Rosmah berhadapan tiga tuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1.5 juta serta RM5 juta berkaitan projek solar hibrid di Sarawak. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Pendakwaan nyatakan pendakwaan terhadap Rosmah berjaya dibuktikan
Pendakwaan dalam hujah mereka sebaliknya menyatakan bahawa tuduhan terhadap Rosmah sudah berjaya dibuktikan dan untuk diputuskan oleh mahkamah tanpa sebarang keraguan munasabah. Ini adalah kerana pembelaan Rosmah adalah penafian kosong semata-mata dan tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Menurut pendakwaan, Rosmah menafikan dakwaan bahawa beliau mengarahkan Rizal untuk meminta rasuah bagi dirinya, namun persoalannya adakah Rizal mempunyai kedudukan yang cukup besar dari segi politik untuk membuat tuntutan itu bagi dirinya sendiri.
Jelas pendakwaan, tidak mungkin Rizal membuat tuntutan itu kerana Rosmah mempunyai kedudukan yang tinggi dan berdasarkan fakta dalam kata-katanya sendiri bahawa dia "tidur dengan PM".
Jika dilihat kepada keseluruhan keadaan termasuk faktor risiko, pendakwaan sekali lagi mengulangi adalah sangat tidak mungkin Rizal menggunakan nama Rosmah semata-mata bagi dirinya.
Malah, menurut pendakwaan, fakta bahawa Rosmah menggunakan Rizal untuk meminta rasuah adalah konsisten dengan modus operandinya, malah menyatakan Rosmah boleh sahaja pergi ke balai polis dan membuat laporan.
Pendakwaan juga bersetuju dengan Rosmah yang menyatakan beliau bukanlah seseorang yang bodoh ketika disoal balas, di mana pendakwaan menegaskan Rosmah bukannya bodoh apabila menggunakan Rizal untuk mendapatkan rasuah.
Menurut pendakwa raya, Rosmah terlalu bijak dan licik untuk membuat tuntutan itu bagi dirinya sendiri dan atas sebab itu, ia (pendakwaan) menyatakan bahawa kenyataan pembelaan Rosmah tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keterangan saksi iaitu Rizal, Saidi dan rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah.
Tiada sebab saksi mengada-adakan kes terhadap Rosmah
Berhubung isu motif, pendakwaan berhujah dengan menimbulkan persoalan mengapa Rizal, Saidi dan Rayyan berpakat untuk "mengenakan" tertuduh seperti yang didakwa oleh Rosmah, yang turut mendakwa bahawa semua saksi adalah pesalah dan mereka berbuat demikian untuk melepaskan diri daripada kesalahan mereka.
Pendakwaan berkata, jika dilihat kepada keadaan secara keseluruhannya, versi tertuduh tidak masuk akal kerana tiada sebab bagi Saidi dan Rayyan mengada-adakan kes terhadap tertuduh, yang mana ia boleh dilihat melalui bukti cara kutipan RM1.5 juta daripada bank dan kemudian diserahkan kepada tertuduh.
Katanya, apa yang berlaku melalui kejadian itu seperti dijelaskan oleh Saidi, menangkis tanggapan bahawa saksi itu mereka cerita untuk mengaitkan tertuduh.