PLDTD tumpu latihan transformasi anggota secara individu
Suhaimi Mohd. Zuki menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota Tentera Darat Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun PLDTD di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
TELOK KEMANG 14 Feb. - Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) akan memberi tumpuan khusus untuk mentransformasikan anggotanya secara individu ke arah menempa kecemerlangan sekali gus menjadikan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai sebuah organisasi yang disegani dan diyakini.
Panglima PLDTD, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat Panglima Tentera Darat bagi memberikan pengkhususan terhadap kemahiran anggota menerusi proses latihan yang disediakan.
''Untuk itu kita menerapkan sistem latihan yang kontemporari dan akan ditentukan keberkesanannya melalui pemantauan latihan secara dalaman dan luaran. Ia dilaksanakan bagi memastikan anggota sentiasa bersedia untuk bertempur dan menjalankan tugas mengikut keperluan dan keadaan semasa. Berlatih seperti mana kita bertempur.
''Usaha transformasi itu juga secara tidak langsung berupaya menanam ciri kepimpinan dalam setiap anggota yang sentiasa bertanggungjawab melaksanakan tugas sejajar dengan pangkat dan jawatan untuk bersama-sama mendokong aspirasi pemerintah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Perintah Ulungnya sempena Perbarisan Ulang Tahun PLDTD ke-20 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan Latihan, Brigedier Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat.
Pada majlis tersebut, Suhaimi menerima tabik hormat daripada 4,600 anggota TDM termasuk 231 pegawainya yang menyertai perbarisan sempena sambutan ulang tahun berkenaan.
Mengulas berhubung sambutan itu, beliau memberitahu, buat julung kalinya sambutan ulang tahun PLDTD ke-20 itu diadakan di Port Dickson di mana sebelum ini dijalankan di Kuala Lumpur.
''Ini adalah seiring dengan pengisytiharan Port Dicskon sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas pengiktirafan ini termasuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah bersama-sama memberi penghargaan dan bantuan kepada TDM untuk merealisasikan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat," ujarnya
Pelbagai aktiviti menarik meriahkan Hari Tentera Darat
ANGGOTA tentera membuat latihan bersama pancaragam gabungan ATM sebagai persiapan menyambut sambutan Hari Tentera Darat Ke-81 di Pantai Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
TELOK KEMANG 28 Feb. - Kehangatan sambutan Hari Tentera Darat yang ke-81 dirasai apabila seluruh anggota terlibat giat menjalankan latihan persiapan di Bandar Tentera Darat, dekat sini bagi meraikan sambutan dua hari itu pada esok dan Ahad ini.
Pegawai Perhubungan Awam Markas ATM, Mejar Zahrullail Hidayat berkata, sambutan akan dimulakan di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) esok dengan upacara perbarisan.
"Seramai 2,000 anggota tentera akan terlibat dalam kawad perbarisan sempena sambutan ini meliputi 1,600 anggota Tentera Darat, 200 anggota Tentera Laut dan 200 anggota Tentera Udara.
"Hari ini kesemua mereka masih giat berlatih termasuk anggota pancaragam bagi memeriahkan upacara perbarisan esok," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jelasnya, sambutan tersebut melibatkan hampir 5,000 warga tentera meliputi pelbagai pangkat dan dijangka 5,000 pengunjung yang terdiri daripada orang awam menghadiri sambutan dua hari itu.
"Sementara itu, sambutan diteruskan pada hari Ahad yang akan dijalankan di Pantai Saujana Batu 4, dekat sini.
"Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk demonstrasi perang, pertunjukan jet pejuang dan kapal perang," ujarnya.
Katanya, sambutan itu turut menyaksikan 200 warga tentera yang terlibat dalam operasi Lahad Datu, Sabah dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara.
Sambutan tersebut akan dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, panglima pelbagai unit dan warga tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pelbagai pangkat.
Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya, Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Datuk Sulaiman Keling (tiga dari kiri) bergambar bersama Pegawai Bersekutu yang terdiri daripada barisan artis selepas menyematkan Pangkat Pegawai Kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya baru-baru ini.
BULAN ini genaplah usia Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu 63 tahun setelah ditubuhkan pada Mac 1951. Semasa penubuhannya, KDN dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Kini terdapat pelbagai agensi di bawah KDN yang menjadi tulang belakang keselamatan dan ketenteraman negara.
Sejak penubuhannya, kakitangan KDN pernah melalui pelbagai situasi pahit getir dan cabaran dalam menangani pelbagai cabaran berkaitan politik, sosio-ekonomi, jenayah, komunisme, pembentukan Malaysia, peristiwa 13 Mei 1969, kumpulan ekstremisme dan pencerobohan.
Bagaimanapun semuanya itu dapat ditangani berkat usaha pemimpin dan pegawai-pegawai terdahulu serta termasuk mereka yang masih berada di kementerian tersebut pada masa kini.
Kini, terdapat beberapa cabaran baharu di bawah tanggungjawab KDN seperti menangani kebanjiran pendatang asing, globalisasi dunia tanpa sempadan, jenayah kekerasan, persepsi negatif, perundangan yang relevan, pemulihan dan koreksional, penguatkuasaan dan integriti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di majlis Perhimpunan Bulanan pegawai dan kakitangan KDN di Putrajaya, baru-baru ini, meminta warganya memberi komitmen tinggi dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita perlu melakukan perubahan bersifat strategik, dinamik, fleksibel, pantas dan berimpak tinggi di samping mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam.
“Semua pengalaman dan cabaran yang ditempuhi perlu sentiasa menjadi ingatan serta panduan ketika kita merancang dan menghadapi cabaran-cabaran yang sedang dan akan datang," katanya.
Mengulas kejayaan agensi di bawah KDN, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya melancarkan Op Cantas Khas bagi membanteras jenayah berat dan dadah.
Pelaksanaan Op Cantas Khas oleh PDRM mulai 17 Ogos 2013 dan penubuhan Pasukan Khas Taktikal Dan Risikan Narkotik (STING) pada 30 Januari lalu merupakan bukti komitmen pasukan itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan itu.
Sementara sasaran pengambilan 50,000 anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) dalam tempoh lima tahun merupakan inisiatif pengembangan pasukan sukarelawan yang sangat murni.
“Bagi pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), mereka berjaya mencatat penurunan sebanyak 9.4% kesalahan-kesalahan pecah amanah, penipuan, salahguna harta dengan curang, jenayah siber, pemalsuan dokumen dan wang palsu," ujarnya.
Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Aloyah Mamat di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang sekali gus mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut.
“Dalam masa yang sama, seluruh warga Imigresen perlu sedar, misi utama jabatan itu berteraskan kepada dua matlamat penting iaitu menegakkan dan menguatkuasakan undang-undang Imigresen secara menyeluruh tanpa diskriminasi dan mempersiapkan negara terhadap ancaman melalui pintu-pintu masuk pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Kata beliau, walau sepantas mana pengeluaran pasport berjaya dikeluarkan atau sekilas mana pelepasan pemeriksaan paspot terhadap warga asing di KLIA tetapi penguatkuasaan undang-undang Imigresen perlu menjadi keutamaan.
Bagi Jabatan Penjara yang berjaya mengekalkan kadar residivis pada paras 7.6 peratus pada 2013 iaitu di bawah sasaran yang ditetapkan sebanyak 10 peratus, Ahmad Zahid berkata, pencapaian itu membanggakan.
Selain itu, katanya, Program Penjara Industri Fasa ke-2 di Penjara Tapah akan dimulakan bagi membekalkan keperluan banduan bagi institusi penjara di utara.
“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula berjaya mengekalkan sebanyak 88.71 peratus orang kena pengawasan yang memenuhi kriteria pematuhan bagi program rawatan dan pemulihan dalam komuniti.
“Agensi ini memulakan Perkhidmatan Klinik Bergerak Rawat dan Pulih secara percubaan pada 4 Februari lalu di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor.
“Dalam usaha mempelbagaikan kaedah transformasi, pendekatan rawatan, pemulihan dan koreksional, tindakan tegas dan berkesan juga tidak harus diabai khususnya berkaitan kemasukan bahan-bahan yang dilarang ke dalam institusi," ujarnya.
Ahmad Zahid menegaskan, tiada gunanya KDN melaporkan jumlah perkhidmatan yang tinggi sedangkan bilangan yang sembuh daripada penagihan dan yang terbabit semula dalam kancah sosial dan jenayah masih tinggi.
“Hal ini perlu dititikberat semua warga penjara dan AADK kerana membabitkan persepsi rakyat terhadap KDN pada masa hadapan khususnya kes jenayah ragut dan kekerasan terhadap ahli keluarga," ujarnya.
Beliau turut berbangga di atas pencapaian Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kerana mengutamakan kesiapsiagaan awam dalam perkhidmatan sukarelanya.
“Saya sentiasa komited memastikan dasar keselamatan negara melibatkan agensi sukarelawan sebagai benteng ketiga pertahanan negara. Ini termasuklah Jabatan Sukarelawan Negara (RELA)," tegas Ahmad Zahid.
Ujarnya, kedua-dua jabatan itu merupakan antara aset perang saraf terpenting di bawah KDN yang berkesan sekiranya kaedah baharu dalam menyediakan peralatan, infrastruktur dan latihan profesional dan kemaskini disediakan bagi memastikan kesinambungan sokongan terhadap pasukan sukarelawan di bawah payung KDN.
“Latihan Pasukan Menangani Bencana (CMT) RELA yang melibatkan 7,800 anggota dan bekalan Pakaian Operasi Digital (POD) merupakan implikasi positif yang dapat melonjakkan semangat anggota-anggota sukarelawan dan patut dibangga.
“ada kesempatan itu juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada RELA sempena sambutan hari ulang tahunnya yang ke 42 dan pelancaran logo integriti Rela baru-baru ini," katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berjaya memastikan setiap pemohon mendapat Mykad masing-masing dalam tempuh 24 jam di 15 ibu pejabat negerinya dan menambah 15 lagi pusat percetakan tercanggih di pejabat cawangannya yang terpilih.
Beliau mengalu-alukan inisiatif JPN yang memulakan pemantauan dan pemeriksaan berkaitan perbelanjaan peruntukkan geran kerajaan yang dilaksanakan persatuan-persatuan penduduk mulai awal tahun ini.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini menegaskan bahawa beliau mahu rakyat semua memberikan perhatian yang lebih tinggi terhadap keamanan dan keharmonian negara.
Beliau berkata, sebagai warga KDN, kakitangan kementerian itu perlu peka terhadap sebarang isu yang berkaitan dengan cabaran-cabaran.
“Tiada gunanya jika rakyat berbangga dengan kejayaan diri sendiri, walhal tiang seri negara yakni keamanan yang dikecapi hancur lebur," katanya.
Beliau berkata, 2014 akan menjadi tahun permulaan perubahan paradigma KDN setelah memahami dengan lebih jelas proses kerja di kementerian berkenaan.
PANTAI tumpuan pelancong di Port Dickson menjadi tumpuan orang ramai hujung minggu lalu apabila Tentera Darat Malaysia (TDM) mengadakan Demonstrasi Keupayaan pasukan itu di Pantai Saujana pada 2 Mac lalu sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-81 tahun ini.
Sehari sebelum itu, Perbarisan Sambutan Ulang Tahun TDM ke-81 telah diadakan di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).
Pada perbarisan berkenaan, sebanyak 2,000 anggota tentera terlibat merangkumi 1,600 anggota TDM, 200 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 200 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sambutan tahun ini adalah kali kedua diadakan di Port Dickson yang mendapat status Bandar Tentera Darat seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 September 2009.
Port Dickson merupakan tempat bersejarah bagi TDM kerana ia menjadi tempat lahir Briged Pertama Tentera Darat pada 1 Mac 1933 dengan pelantikan 25 anak Melayu oleh tentera British.
Turut diadakan sempena sambutan tahun ini adalah pertandingan golf, tahlil dan solat Jumaat, majlis BBQ dan majlis jamuan makan besar-besaran mulai 26 Februari lalu sehingga 2 Mac lalu.
Dalam perutusannya semasa perbarisan di Pusasda, Panglima TDM, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, TDM telah berkembang dengan pesat dan cemerlang menabur bakti kepada masyarakat serta menjulang panji-panji di persada dunia.
Katanya, ia jelas kelihatan menerusi pelbagai misi dan gerakan bagi mempertahankan kedaulatan dan memartabatkan maruah negara sejak Perang Dunia Kedua sehingga pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah setahun lalu.
“Tentera Darat turut menyerlah dalam penglibatan misi keamanan dunia sejagat baik di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahupun misi kemanusiaan di Namibia, Somalia, Kemboja, Bosnia-Herzegovina, Timor Leste dan Lebanon.
“Kita juga telah diberikan kepercayaan mengetuai Pasukan Pemantau Antarabangsa-Mindanao (IMT) di Mindanao, Filipina. Malah pasukan perubatan kita turut menabur bakti di seluruh pelosok benua termasuk di Afghanistan," katanya.
Sementara itu, lebih 10,000 orang pengunjung terpegun menyaksikan Demonstrasi Keupayaan TDM yang bermula kira-kira pukul 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.
Turut hadir menyaksikan demonstrasi itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima TDM, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Roslan Saad; Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman dan para pegawai kanan tentera.
Selain itu, penasihat tentera dari 10 negara asing seperti Indonesia, Nigeria, Poland, Korea Selatan, Turki dan Amerika Syarikat turut menyaksikan acara tersebut.
Demonstrasi itu bertujuan memperlihatkan kekuatan serta keupayaan TDM mempertahankan kedaulatan negara.
Gabungan dua pasukan elit yang sememangnya digeruni iaitu 21 Grup Gerak Khas (GGK) dan 10 Briged Para memperagakan kekuatan TDM dalam demonstrasi 'Amphibious Landing Force’.
Acara itu melibatkan sebanyak 57 pegawai dan 599 anggota lain-lain pangkat TDM yang dibantu oleh anggota dan aset TLDM dan TUDM.
la dimulakan dengan orientasi kubu musuh, orientasi kapal TLDM, orientasi helikopter Agusta dan eksesais bersama tentera luar.
Selepas demonstrasi itu berakhir, Perbarisan Memperingati Peristiwa Lahad Datu diadakan bagi memperingati dan mengenang jasa serta pengorbanan para perwira negara yang terlibat dalam peristiwa berdarah itu.
Kontinjen perbarisan terdiri daripada 2,000 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.
Daripada jumlah itu, sebanyak 200 anggota telah menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) yang disampaikan oleh Mohamad dan Zulkifeli.
Turut dilangsungkan semasa demonstrasi itu ialah program menderma darah bertujuan mengisi tabung Pusat Darah Negara.
MELIHAT Demonstrasi Keupayaan bersempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-81 baru-baru ini mampu menimbulkan perasaan bangga dan teruja melihat kesegakan dan kekemasan perbarisan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM). Port Dickson yang mendapat status Bandar Tentera Darat menjadi saksi peristiwa bersejarah itu. 81 tahun yang lalu di tempat keramat inilah 25 orang anak muda Melayu dengan semangat yang membara telah menyahut seruan ibu pertiwi mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini. Di sinilah lahirnya sejarah kelahiran Briged Pertama Tentera Darat pada 1 Mac 1933.
Sepanjang tempoh ini, Tentera Darat telah mencurahkan bakti dalam pelbagai misi dan gerakan bagi mempertahankan kedaulatan dan memartabatkan maruah negara. Daripada Perang Dunia Kedua, konfrontasi, darurat, ancaman anasir komunis mahupun pencerobohan di Lahad Datu telah mendewasakan Tentera Darat.
Nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini tidak datang bergolek. Semuanya dibina oleh pengorbanan yang tidak terhitung nilainya. Banyak roh bercerai jasad gugur sebagai bunga bangsa, isteri pula menjadi balu dan anak menjadi yatim piatu. Tidak kurang juga yang cedera kekal hilang upaya. Mereka ini gadaikan jiwa raga demi maruah, demi negara.
Kesungguhan mereka mempertahankan negara serta mengorbankan jiwa dan raga dapat dilihat semasa sesi Demonstrasi Keupayaan, tanpa sebarang perasaan takut dan gentar serta penuh kesungguhan. Melihat gabungan dua pasukan elit, 21 Grup Gerak Khas (GGK) dan 10 Briged Para ketika demonstrasi Amphibious Landing Force amat mendebarkan.
Terpegun apabila menyaksikan suasana seakan-akan di medan peperangan sebenar. Jika apa yang ditonton pengunjung sudah terasa risikonya, inikan pula ketika suasana medan pertempuran.
Letupan demi letupan yang kedengaran membuatkan jantung pengunjung berdebar sepanjang berlangsungnya Demonstrasi Keupayaan yang membuatkan pengunjung menyedari betapa tingginya risiko yang perlu digalas oleh anggota Tentera Darat.
Demonstrasi Keupayaan TDM yang berlangsung selama sejam itu melibatkan seramai 57 pegawai dan 599 anggota lain-lain pangkat TDM. Ia turut dibantu oleh anggota dan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Negara ini dibina oleh keringat dan darah perwira dan pahlawan Tentera Darat. Sebagai pewaris, anggota Tentera Darat kini memikul tanggungjawab menentukan negara terus berdaulat. Mereka telah menzahirkan sumpah dan lafaz keramat untuk memelihara, menjaga dan mempertahankan negara ini dengan darah dan mempertarungkan jiwa raga. Inilah sumpah dan ikrar Tentera Darat.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada Perbarisan Pentauliahan Diraja 61 Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek Ke-76 di Kolej Tentera Darat (KTD) di Kem Segenting dekat Port Dickson
PORT DICKSON - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini mengingatkan pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar memelihara imej tentera bagi memastikan pasukan itu kekal mulia di mata masyarakat.
Titah baginda untuk itu mereka perlu sentiasa mematuhi disiplin ketenteraan selain menjaga tingkah laku agar tidak mencemarkan imej dan reputasi ATM.
Baginda turut menggesa pegawai kadet ATM agar terus mengejar ilmu bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.
Walaupun negara dalam keadaan aman sekarang, ancaman boleh datang pada bila-bila masa dari dalam dan luar negara dalam pelbagai bentuk, titah baginda sempena Perbarisan Pentauliahan Diraja 61 pegawai kadet tauliah jangka pendek ke-76 di Kolej Tentera Darat (KTD) di sini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat itu. Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan nMenteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tuanku Abdul Halim turut menasihati pegawai kadet berkenaan agar mencontohi kecemerlangan perwira terdahulu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua mencemar duli berangkat menyempurnakan istiadat perbarisan pentauliahan diraja itu yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Nor Ikhmar Madarsa.
Nor Ikhmar kemudian diumum sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik manakala Pegawai Rendah Muda Mohamad Shafiq Ramzan dinobat Penuntut Terbaik Kemahiran Ketenteraan.
Kumpulan pegawai kadet itu ialah yang terakhir diurus selia oleh KTD yang akan distrukturkan semula menjadi Akademi Tentera Darat.
Turut diadakan hari ini adalah acara penurunan bendera KTD sebagai simbolik penstrukturan semula kolej. Bendera itu kemudian dipersembah kepada Tuanku Abdul Halim oleh Komandan KTD Kolonel Abdul Aziz Ahmad.
PORT DICKSON – Demonstrasi keupayaan tentera darat sempena ulang tahun pertama peristiwa Lahad Datu berjaya menarik perhatian hampir 15,000 pengunjung.
Demonstrasi yang diadakan di Pantai Saujana Port Dickson Bandar Tentera Darat dan berlangsung selama satu jam itu turut mempamerkan beberapa formasi ketangkasan serta kekuatan Angkatan Tentera Darat Malaysia yang menggabungkan dua pasukan elit iaitu pasukan 21 Grup Gerak Khas (GGK) dan 10 Briged Para.
Dua pasukan sudah diuji semasa melaksanakan operasi di Timor Leste, Lubnan dan terbaharu di Lahad Datu.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Demonstrasi Keupayaan Tentera Darat dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-81.
“Demonstrasi ini merupakan salah satu aktiviti dalam pengisian kalendar Bandar Tentera Darat.
“Ia juga bersempena satu tahun terlaksananya Ops Daulat yang mana kita perlu sentiasa mengingati perjuangan anggota tentera yang mempertaruhkan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara," katanya yang turut memberitahu ATM akan terus melaksanakan program ketenteraan seperti ini pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Tentera Darat berkata, program ketenteraan seperti ini memang sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat.
“Bersesuaian dengan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan program seperti ini pada masa datang.
"Program seperti ini juga secara tidak langsung dapat mengangkat imej Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat,” katanya.
Demonstrasi ini melibatkan 57 pegawai dan 599 anggota lain-lain pangkat Tentera Darat dengan dibantu oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Demonstrasi dimulakan dengan Orientasi Kubu Musuh, Orientasi Kapal TLDM, Orientasi Helikopter Agusta dan juga aksesais bersama tentera luar.
Selingan seperti tujuh letupan selama 15 saat, 14 letupan dalam air selama 15 saat, tembakan tabir asap turut memberi impak keberkesanannya ke atas penonton.
Setiap impak letupan dapat dirasai terus oleh semua penonton yang hadir menyaksikan demonstrasi berkenaan.
Orang ramai juga dipertontonkan dengan serangan mendebarkan di mana pasukan pendaratan yang berkekuatan 1 batalion diatur gerak dengan tiga gelombang serangan.
Gelombang pertama ialah menyelamatkan pantai, gelombang kedua adalah melancarkan serangan dan gelombang terakhir meneruskan serangan seterusnya menawan kedudukan musuh untuk dijadikan pangkalan.
Dalam majlis sama turut diadakan acara perbarisan Lahad Datu dan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (KDN) kepada 200 anggota tentera bagi mengenang serta memperingati peristiwa Lahad Datu.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
BERMULA dengan seramai 25 anak Melayu dipilih menyertai latihan rekrut dalam Kompeni Percubaan bertempat di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira 81 tahun lalu, bilangan tersebut berkembang dan menjadi tonggak pembentukan Tentera Darat Malaysia pada hari ini.
Peranan pasukan ini bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah membantu polis dan pihak berkuasa dalam memelihara ketenteraman awam serta operasi anti-keganasan, selain melaksanakan operasi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjadikannya pasukan yang sangat kredibel.
Ikuti wawancara bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral DATUK RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR berhubung matlamat dan perancangan pasukan sempena sambutan ulang tahun Hari Tentera Darat ke-81 hari ini.
Bagaimana PTD melihat perkembangan pasukan Tentera Darat Malaysia dalam tempoh 81 tahun penubuhannya?
PTD: Sejak penubuhan Tentera Darat Malaysia pada 1933, kita sebenarnya melalui pelbagai situasi mematangkan pasukan. Dalam tentera darat usia 81 tahun itu belum ‘tua’ sebaliknya dianggap matang.
Kita melalui antaranya perang dunia kedua, konfrontasi, darurat serta merasai bahang peperangan Vietnam serta kejatuhan Kemboja. Testimoni terakhir kejayaan tentera darat adalah pencerobohan di Lahad Datu. Jika diukur dari situ, pasukan ini terbukti sudah matang.
Selain itu, tentera darat banyak terbabit dalam misi-misi pengaman bangsa-bangsa bersatu rentetan banyak negara seperti Somalia, Bosnia dan Lubnan terlibat dalam peperangan saudara. Di dalam misi pengaman bangsa-bangsa bersatu inilah, kita diberi pengiktirafan tertinggi.
Kita pernah menggerakkan satu kumpulan tentera terdiri daripada anggota-anggota perubatan ke Afghanistan untuk memberikan bantuan di sana dan memperoleh pengiktirafan bukan sahaja daripada negara-negara terlibat dalam operasi itu tetapi juga daripada rakyat dan kerajaan Afghanistan.
Jika dilihat, kita sebenarnya sudah meninggalkan kesan atau nama di Afrika, Asia Selatan, Asia Tenggara termasuk Eropah. Saya berharap ini memberi gambaran tentang perkembangan dan pencapaian tentera darat.
Apa signifikannya tema sambutan ulang tahun kali ini, ‘Tentera Darat Teguh Siaga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Gah, ATM Perkasa’?
PTD: Secara umum, tema atau slogan dipilih boleh diterjemahkan dua bahagian iaitu visi Tentera Darat untuk memperteguh ketumbukan Darat serta memperlengkapkan kesiagaan. Apabila visi tersebut dicapai ia akan dapat melonjakkan nama ATM di persada dunia dan membantu memperkasakan ATM.
Peranan Tentera Darat sebagai sebahagian daripada ATM bukan kecil, malah ketumbukan ini merupakan nadi utama ATM. Di samping itu, Tentera Darat kekal sebagai perkhidmatan terbesar di dalam ATM.
Walaupun demikian, keperluan penglibatan operasi pada masa kini memerlukan kolaborasi dan integrasi antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan dengan pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan.
Justeru, di dalam memperteguh ketumbukan ini, Tentera Darat bukan sahaja perlu menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran tradisional, malah perlu memperlengkap diri menghadapi cabaran bukan tradisional.
Oleh yang demikian, Tentera Darat sentiasa mewujudkan dasar, perancangan strategik serta operasi bertepatan dengan kondisi operasi bersama. Bagi memperlengkapkan kesiagaan, Tentera Darat mengamalkan trilogi 3M: Manusia, Mesin dan Metode.
Keutamaan diberi kepada memperlengkapkan manusia (anggota) dengan meningkatkan kualiti sumber manusia meliputi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kompetensi. Dalam menjamin kelangsungan peningkatan perkakasan, ia sedang dan dalam proses dibangunkan/dipertingkatkan.
Selain itu, kita juga akan mewujudkan dan memperkasa pelan-pelan bersesuaian bagi memastikan Tentera Darat sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan masa depan. Kombinasi ketiga-tiga elemen tersebut ditambah dengan tahap kesiagaan tinggi membolehkan Tentera Darat mengunjurkan kuasa pada masa, tempat dan tujuan yang betul.
Transformasi ATM ke arah keseimbangan dan ketumbukan konvensional (conventional war-fighting force) diperkukuhkan dengan implementasi Pelan Strategik 4D MAF yang mengkhususkan kepada tiga kunci utama iaitu ketumbukan bersama (joint force), keutuhan saluran maklumat dan dimensi pelbagai meliputi dimensi pertempuran sub permukaan (subsurface), permukaan (surface), udara (air) dan informasi/siber.
Oleh demikian, peranan Tentera Darat penting dalam memastikan visi pasukan tercapai bagi menjamin kelangsungan transformasi ATM. Dalam memperkasakan ATM, kekuatan yang perlu berdasarkan kepada pengetahuan, perundangan, kedaulatan dan keupayaan.
Dengan mempunyai ketumbukan Tentera Darat berdaya saing dan boleh dipercayai, dapat menyumbang kepada pembinaan kekuatan ATM yang menjurus kepada tahap keyakinan rakyat dan kepercayaan negara terhadap ATM. Saya berharap slogan sambutan tahun ini dapat dihayati oleh setiap lapisan warga Tentera Darat.
Apa perancangan Tentera Darat dalam tempoh terdekat, adakah terdapat keperluan untuk menambah aset sedia ada bagi memastikan mampu menghadapi cabaran pada setiap masa?
PTD: Kita ada rancangan-rancangan untuk meningkatkan keperluan kita. Bagaimanapun, kita harus mengambil kira kekangan dan kemampuan pada kita. Atas dasar itu, Tentera Darat meletakkan keutamaan-keutamaan yang akan dibuat.
Salah satu aset adalah anggota tentera itu sendiri. Sebagai contoh, baru-baru ini sewaktu di Port Dickson kita mewujudkan satu pendekatan baharu pada latihan individu melalui kewujudan akademi kita.
Seterusnya anggota ini perlu dilatih berpegang pada prinsip ‘kita perlu bersatu’. Prinsip itu adalah sesuatu yang kuat yang perlu ada dalam diri setiap warga Tentera Darat. Selepas itu, perancangan kita adalah memperoleh peralatan canggih.
Sejak saya ambil alih pasukan, salah satu perkara menjadi keutamaan adalah menentukan kesiagaan Tentera Darat melalui peralatan sedia ada. Ini sangat penting supaya tahap siap siaga kita berada di satu tahap yang baik dan sekiranya berlaku apa-apa kita mampu bertindak sebaik mungkin.
Dalam 'wishlist' kita, ada banyak kita inginkan. Mudah-mudahan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) nanti, kita dapat realisasikan sebahagian daripadanya.
AGAK janggal dan jarang sekali kita mendengar seseorang individu boleh berjaya dalam dua kerjaya berbeza sepanjang hidup mereka.
Apatah lagi kerjaya yang diceburi tersebut melibatkan soal keselamatan negara dan terpaksa berhadapan dengan cabaran serta dugaan yang adakalanya mampu mengancam nyawa setiap mereka setiap kali bertugas.
Namun bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’, demi negara , semua dugaan serta cabaran tersebut bukan menjadi batu halangan bagi seorang Kapten dan Inspektor yang begitu sinonim dengan sifat keberanian sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis dan tentera.
Mukhtiar Singh, 81, begitulah namanya.
Pertemuan Sinar Harian Online dengan beliau baru-baru ini , membuktikan beliau begitu mencintai tanah air yang tercinta ini.
Buktinya beliau pernah berkhidmat selama 12 tahun sebagai anggota polis semasa negara diisyitiharkan darurat dan kemudiannya menyertai Askar Wataniah selama 16 tahun.
Mukhtiar yang dilahirkan di Wilayah Punjab India pada tahun 1932 telah ikut datuknya berhijrah ke negara ini ketika berusia tujuh tahun, mula ‘menjadi anak Malaysia’ sejak bergeladangan ke Malaysia.
Ketika negara diisytiharkan darurat pada tahun 1948, beliau yang ketika itu bertugas sebagai pengawal keselamatan telah direkrut dan telah diberikan senjata sebagai langkah berjaga-jaga kerana syarikat tempat mereka bekerja milik orang Inggeris.
Ketika itulah, perasaan cinta kepada Malaysia mula membenih, perasaan sayu tatkala melihat negara mula berada dalam keadaan yang tidak aman menjadikan beliau lebih bersemangat untuk menabur bakti kepada negara.
“Saya berjaya membunuh dan menawan 18 orang musuh negara.
“Itu adalah hadiah saya kepada negara tercinta ini, saya sanggup lakukan apa sahaja demi mempertahankan tanah air Malaysia yang tercinta ini,” katanya dengan penuh bangga.
Antara pengalaman lain yang sentiasa segar dalam ingatan beliau ketika menjalankan tugas adalah terpaksa keluar masuk ke dalam hutan ketika komunis mula ‘memerintah’ negara.
“Ketika itu, saya terpaksa keluar masuk ke dalam hutan selama berbulan-bulan, namun demi negara saya sanggup hadapinya, cabaran komunis sangat hebat tetapi syukur saya berjaya menghadapinya,” katanya kepada penulis sambil tersenyum penuh bangga.
BERPANTANG maut sebelum ajal. Meskipun empat kali terpijak jerangkap samar, namun nasib masih menyebelahi Azmi Ismail, 52, apabila terselamat daripada mara bahaya.
Darah perwira yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada arwah bapanya, Ismail Ariffin yang pernah berkhidmat dalam askar Melayu.
Beliau merupakan anak sulung daripada enam beradik. Selain Azmi, tiga beradiknya turut berkhidmat dalam pasukan keselamatan termasuk dua daripadanya dalam bidang kepolisan dan seorang lagi terlibat secara separuh masa dalam askar wataniah.
Beliau mula berkhidmat dalam bidang ketenteraan pada 1980 sewaktu usianya 18 tahun di Sekolah Pegawai Kadet Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan ditauliahkan sebagai leftenan muda setahun selepas itu.
Beliau kemudian memulakan tugas di Sandakan, diikuti Pulau Pinang, Ipoh dan Sg Besi sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1992.
Sepanjang 27 tahun perkhidmatan, beliau menyertai beberapa operasi antaranya Ops Setia, Ops Sedar Gubir dan Ops Kota Ecoh.
Penumpuan tugas Ismail adalah lebih kepada mengawal penyusupan (pencerobohan) di pintu sempadan terutamanya dari negara Filipina dan Indonesia.
Ketika itu komunis masih dalam usaha memperluaskan jajahannya sebelum menyerah diri pada 1990 melalui peletakan senjata.
Rakan cedera parah
Menceritakan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan Ismail adalah detik cemas bertembung dengan komunis dalam Ops Kota Ecoh di Tasik Banding Perak pada 1983.
“Pasukan kami masuk ke kawasan operasi komunis dan saling berbalas tembakan selama beberapa minit dengan jarak 400 meter sewaktu membuat rondaan dalam kumpulan kecil.
“Alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang kecederaan sewaktu berbalas tembakan dan berjaya memberi tekanan kepada musuh,” katanya kepada Sinar Harian.
Satu insiden semasa Ops Gubir pula katanya, seorang rakannya mengalami kecederaan putus kaki sehingga paras lutut selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh musuh bagi tujuan melemahkan
semangat anggota tentera.
Pengalamannya itu menyebabkan beliau terpilih untuk melatih pegawai dan anggota Askar Wataniah di Ipoh di pertengahan 1986 hingga 1988.
“Pada 1988 hingga 1992, saya diberi kepercayaan menyertai Batalion Istiadat Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di kem Sungai Besi.
“Saya tamat kontrak perkhidmatan pada Januari 1992 dan ditauliahkan pingat kebaktian,” katanya.
Tiga asas tentera
Didikan ala tentera yang diterimanya sejak kecil menjadi sebati dalam jiwanya dan diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Tak ada yang tak boleh, tak ada yang tak ada dan tak ada yang tak tahu adalah tiga asas dalam tentera iaitu perlu melaksanakan setiap tugasan dengan baik walaupun dengan kemudahan yang minima.
“Sama ada dalam ketenteraan mahupun pentadbiran dalam sektor swasta matlamatnya adalah sama iaitu mencapai kejayaan dan tiada yang mustahil di dunia,” katanya.
Sejurus tamat perkhidmatan pengalamannya digunakan dengan terlibat dalam beberapa syarikat swasta di bahagian keselamatan termasuklah di Tan Chong Holdings, Bank Hong Leong, Avon dan kini sebagai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang.
Ismail yang dahulunya banyak menghabiskan masa di hutan, menyebabkan masa bersama keluarga kini sangat dihargai.
Beliau melahirkan perasaan syukur kerana mempunyai isteri yang memahami tugasnya dan mengambil peranan membesarkan empat anaknya.
Tambahan pula, kata Ismail, anak bongsunya dilihat terdorong mengikuti jejak langkahnya, aktif dalam sukan lasak dan berminat dalam program penyiasatan serta bercita-cita menceburi forensik sains.
KUALA LUMPUR 31 Mac - Kawasan pencarian baharu pesawat MH370 yang lebih hampir dengan Perth, Australia membolehkan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi menyertai pencarian antarabangsa pesawat tersebut.
Bahagian Hal Ehwal Awam ATM dalam satu kenyataan memberitahu, kawasan baharu berkenaan membolehkan aset-aset pasukan itu beroperasi dengan lebih lama di kawasan pencarian.
Katanya, dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama-sama dengan 49 krew tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, Perth kelmarin untuk menyertai enam buah negara dalam usaha pencarian berkenaan.
"Yang turut menyertai pencarian ini, sebuah kapal frigat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapal Diraja (KD) Lekiu berserta sebuah helikopter Super Lynx dengan kekuatan seramai 159 anggota.
"Kapal sedang dalam pelayaran dan dijangka tiba hari ini di Her Majesty's Auxilary Ship (HMAS) Stirling, Garden Islands, Perth untuk tujuan ulang bekal. Jangka masa tiba kapal di lokasi pencarian ialah pada 3 April depan," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, ATM yang merupakan nadi utama dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, khususnya TLDM dan TUDM telah menggerakkan aset masing-masing sejak 8 Mac lalu.
"Usaha-usaha murni ATM akan diteruskan selagi ia diperlukan kerajaan," jelas kenyataan itu.
Pengemblengan usaha dan tenaga ATM dengan kerjasama 26 negara-negara luar untuk mencari MH370 kata kenyataan itu, merupakan sejarah dalam industri penerbangan dunia.
Tugas-tugas menyelaras operasi udara serta maritim sejak 8 Mac lalu telah membuktikan kemampuan yang ada dan sehubungan itu, ATM sentiasa komited dalam usaha menyokong manifestasi serta wawasan kerajaan demi kemakmuran rakyat.
Selain melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan negara, kenyataan itu menyatakan, ATM akan terus melibatkan dirinya dalam sebarang pembangunan negara.
PEGAWAI Laksana KD Lekiu TLDM, Leftenan Komander Yusakmizal Mohd Yusuf (kanan) bersalaman dengan Komander Tentera Laut Diraja Australia, Brian Chase di Pangkalan Tentera Diraja Laut Australia, HMAS Stirling, Rockingham, Perth, semalam.
ROCKINGHAM, Perth 1 April - Kapal Diraja KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) HMAS Stirling di sini semalam akan menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.
KD Lekiu yang berukuran 106 meter dan merupakan salah sebuah daripada dua aset dalam Skuadron Frigat Ke-23 TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak tiba pukul 9 pagi semalam selepas menempuh perjalanan selama 11 hari bermula 21 Mac lalu.
Mempunyai kekuatan sebanyak 160 anggota dan pegawai, KD Lekiu yang dipimpin Pegawai Pemerintahnya, Komander Jamsari Tahir akan menjalankan operasi mengesan pesawat MH370 di perairan Lautan Hindi sama ada pagi esok atau lusa.
"KD Lekiu akan menyertai operasi mencari di kawasan perairan yang terletak 1,000 kilometer dari timur laut Perth menggunakan aset serta kelengkapan yang kita miliki termasuk sebuah helikopter Super Lynx.
"Sepanjang operasi itu iaitu tiga hari perjalanan pergi balik ke pangkalan dan lapan hari operasi mencari, kami akan berkomunikasi dengan kapal RAN HMAS Success dan pusat kawalan kami di Lumut bagi mengetahui lokasi pergerakan kapal ini," kata Jamsari ketika ditemui pemberita Malaysia di HMAS Stirling di sini hari ini.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sebelum ini memberitahu, pasukan itu bersedia menggerakkan lebih banyak aset bagi membantu mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menurut Abdul Aziz, TLDM sebelum ini menggerakkan enam buah kapal dan tiga helikopter menyertai operasi pencarian di koridor selatan.
Jamsari berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi oleh kapal yang berkelajuan 28 knots ini adalah keadaan cuaca tidak menentu, ombak besar yang mampu mencecah ketinggian tujuh meter serta suhu yang sejuk.
"Bagaimanapun semua ini akan kami tempuhi dan semua anak kapal KD Lekiu memohon doa rakyat Malaysia untuk mempermudahkan usaha mencari serta mendoakan keselamatan semua anak kapal," katanya.
Ketibaan KD Lekiu menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu beberapa buah negara yang menyertai operasi mencari di Lautan Hindi yang diketuai pihak berkuasa Australia.
Sabtu lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar dua pesawat Hercules C-130 ke sini untuk menyertai operasi pencarian tersebut.
Selain KD Lekiu, Skuadron Frigat Ke-23 TLDM mempunyai sebuah lagi kapal iaitu KD Jebat. KD Lekiu merupakan aset moden dalam armada TLDM.
Kapal seberat 1,845 tan itu dilancarkan pada Disember 1994 dan dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Jamsari memberitahu, pihaknya berharap mereka dapat memperoleh petunjuk terbaru bagi mengetahui lokasi di mana pesawat MAS itu berada.
"Kami sedar cabaran yang bakal ditempuh. Namun bagi saya dan anak kapal, semua cabaran itu harus dihadapi kerana tugas utama kami adalah mencari pesawat MH370 dalam apa jua keadaan," katanya sambil memberitahu ini merupakan kali pertama KD Lekiu menempuhi perjalanan di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi pencarian pesawat berkenaan.
KOTA KINABALU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia untuk menambah kekuatannya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Pada masa sama katanya, Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 yang melibatkan kerjasama ketiga-tiga cabang utama ATM iaitu tentera darat, udara dan laut yang berpangkalan di Tawau akan dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan Ops Pasir.
"Antaranya ialah menambah anggota serta menambah dan memulih aset pertahanan, khususnya aset-aset strategik, bagi memastikan pertahanan dan keselamatan negara berkesan dan tidak mudah dibolosi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau membuat tinjauan di beberapa pulau peranginan berhampiran sempadan antarabangsa antaranya Pulau Danawan, Pandanan dan Pulau Pom Pom yang menjadi lokasi pembunuhan dan penculikan pelancong Taiwan pada November lepas.
Ketika berada di Pulau Pom Pom, Abdul Rahim meluangkan masa menemui anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dipertanggungjawab mengawal keselamatan pulau itu serta warga kerja resort dan pelancong.
Menurut Abdul Rahim, rata-rata pelancong yang beliau temui berasa gembira berada di pulau itu dan tidak risau dengan insiden penculikan yang berlaku beberapa bulan lepas.
"Pihak pengurusan resort telah memberi kerjasama dan menambah banyak kemudahan berkawal kepada pasukan PGA di kawasan resort termasuk membina menara tinjau yang baharu. Didapati juga sebuah lagi resort sedang dibina di Pulau Pom Pom oleh pengusaha berbeza," katanya.
Abdul Rahim mengulangi ingatan kepada penduduk tempatan di kawasan terlibat supaya terus bekerjasama kepada anggota pertahanan dan keselamatan dengan menyalurkan maklumat yang tepat, selain tidak bersekongkol dengan pihak yang cuba menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
Abdul Aziz (dua, kiri) bertukar dokumen persefahaman dengan Ahmad Ramli sambil disaksikan Abdul Rahim (tiga, kiri) dan Lodin (tiga, kanan).
BOUSTEAD Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) menerusi syarikat sekutunya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjalinkan kerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam membangunkan dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam bidang kejuruteraan maritim.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan BHIC, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata, perjanjian ini akan membolehkan BNS menggunakan kepakaran tiga pegawai TLDM yang akan dipinjamkan daripada perkhidmatan tentera untuk berkhidmat secara sementara di BNS.
"Pegawai itu akan berkhidmat selama dua tahun dan selepas itu mereka akan digantikan dengan pegawai lain daripada TLDM.
"ketiga-tiga pegawai itu akan mengisi kekosongan di jabatan sokongan penambahbaikan berterusan dan jabatan pengeluaran," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman bersama TLDM di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Pengerusi BHIC Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Pengarah Operasi BHIC Laksamana Datuk Yahya Hashim dan Ketua Staf Sumber Manusia TLDM Datuk Sabri Zali.
Menurutnya, BHIC percaya kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan akan membolehkan penambahbaikan dan memantapkan lagi operasi syarikat dan industri maritim secara amnya.
Sementara itu, Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kerjasama itu adalah inisiatif perkongsian strategik yang pertama bagi kedua-dua pihak dalam jangka panjang.
"Kerjasama ini tidak hanya tertumpu kepada pembangunan sumber manusia tetapi juga melibatkan penyelidikan bagi membangunkan teknologi baharu dan penambahbaikan teknologi sedia ada untuk pembangunan industri maritim negara," katanya.
Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Tan Sri Rodzali Daud (dua, kiri) bersama pegawai-pegawai kanan TUDM memerhatikan gambar-gambar mantan Panglima TUDM selepas merasmikan Muzium Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK), Besut di Besut, semalam. - Foto Bernama
BESUT - Pelbagai peralatan dan bahan sejarah Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) kini dipamerkan di Muzium Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) di sini, yang dibuka mulai semalam.
Muzium itu, yang pembukaannya dirasmikan Panglima Tentera Udara Tan Sri Dato Sri Rodzali Daud, telah diilhamkan bekas pengerusi muzium Leftenan Kolonel Azhar Mohamad.
Kini, ia dinaungi bekas Komandan PUGK Brigadier Jeneral Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Komandan PUGK, Kolonel Zahani Zainal Abidin hari ini berkata, muzium itu ditempatkan di bahagian teknikal PUGK dengan bangunan asalnya ialah bekas mahkamah tentera.
Muzium itu terbahagi kepada tiga galeri yang merangkumi bahan-bahan sejarah PUGK dan TUDM, auditorium dan bahan pameran Aerospace Technology System Corporation (ATSC) dan Hitech Padu, katanya kepada pemberita.
"Selain itu, muzium ini juga mempamerkan pesawat pemintas F-5E yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kebanggaan negara dan merupakan jet pejuang yang terpenting dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa.
"Pakaian tentera udara sejak Perang Dunia kedua, peralatan teknikal dan persenjataan pesawat tempur pelbagai peranan Sukhoi SU-30MKM buatan Rusia dan peralatan khusus skuadron di Pangkalan Udara juga dipamerkan," katanya.
Zahani berkata buat permulaan, muzium itu dibuka kepada pelajar sekolah.
Closing Ceremony of RMAF Commando Course Series 21/14
31 RMAF PASKAU candidates have successfully concluded their basic commando training on April 9 at Batu Hampar, Bukit Jugra near Banting, Selangor. As a mark of the completion of their basic training, the candidates were bestowed with the coveted blue beret, symbolising their entry to the RMAF elite unit.
LU (Lasykar Udara, an equivalent to RAF aircraftman) Syed Johari Syed Sohor from the RMAF Regiment was selected as the Best Commando Candidate of the course.
Security forces detained four Filipinos after they intercepted a pump boat loaded with empty jerrycans near Pom Pom Island off Semporna on April 14.
The four individuals aged between 27 and 45 were involved in smuggling activities and were attempting to enter Malaysian waters early morning.
Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) director general Datuk Mohammad Mentek said marine police and special task force personnel stopped them at 0400H.
“Based on investigation, the four individuals works as a fishermen and they came from Sitangkai island (in the southern Philippines).
“They were heading towards Kampung Batu near Kampung Simunul,” he said in a statement.
Mohammad said the individuals would purchase subsidised goods at Semporna town before returning to Sitangkai to sell them.
Security forces also seized 45,000 pesos (about RM3,300) from the individuals.
The Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) should be retained to protect the Eastern Sabah borders, said Minister in Prime Minister’s Department Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan, who dismissed claims on ESSCOM’s alleged failure, told the Dewan Rakyat on April 10 that ESSCOM had prevented intrusions similar to the Lahad Datu incident, which happened in March last year.
He said ESSCOM had fulfilled its main goal which was to prevent the recurrence of armed intrusion into Sabah’s east coast.
“ESSCOM director-general Datuk Mohammad Mentek said that ESSCOM was successful because it had prevented further armed intrusions.
“The recent kidnapping in Semporna was a transborder crime, and the kidnappers might have planned everything. Even the Sabah government had said that an insider may have been involved,” Shahidan said in reply to Azmin Ali (PKR-Gombak).
Azmin had asked the prime minister to state the efforts and measures taken by the security forces to strengthen operations of ESSCOM.
Shahidan said all the eight resorts located within the 11 islands in Sabah’s east coast had security personnel, except for Singamata Adventures and Reef Resort, where a Chinese and a Filipino national were kidnapped.
“Singamata Resort is only seven minutes away from Semporna. The kidnappers might have arranged their plans to ensure that they could abduct these two people quickly.
He said the government would increase security personnel in ESSCOM and there were already plans to add 11 battalions to the area.
“We will add five from the armed forces and six from the police, to the current battalions of two and three respectively but this will take some time.
“We will increase the security forces in Sabah, and they will do their best, God willing.”
On April 4, Mohammad Mentek said ESSCOM security forces had on March 26 detected five boats that were attempting to enter Semporna waters, saying that four of them were successfully repelled.
An Arleigh-Burke class destroyer, USS Kidd (DDG-100) has made a port call to Malaysia beginning from April 13 till April 18. Unlike what has been done in the past, the US Navy ship does not berthed at the Port Klang Cruise Center (PKCC) which is linked with Glenn Marine Group. Instead, the Northport was selected as the ship’s berthing location.
USS Kidd was one of two destroyers deployed by the Seventh Fleet to assist the Malaysian authorities in its search for the missing Malaysia Airlines (MAS) jetliner of Flight MH 370 over the South China Sea, the Straits of Melaka and the Indian Ocean.
Following latest development which indicate that the Being 777-200ER’s flight path ended in the southern Indian Ocean near to Australia, it was decided that the two destroyers were withdrawn from the search operation as it is more feasible to use Navy’s aircraft flying out of the nearest shore base in Perth.