Nasihat kepada orang ramai yang suka nyanyikan lagu GISBH
TUMPAT: Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad menasihatkan orang ramai supaya tidak terikut-ikut dengan lirik lagi lagu GISB Holdings (GISBH) yang didakwa membawa fahaman sesat. Katanya, tindakan itu bercanggah dengan agama Islam dan meminta supaya perbuatan menyanyikan lagu itu yang kini tular di media sosial segera dihentikan. "Lirik lagu ini umpama zikir kerana ia sudah ada ketika pengasas pertubuhan Al-Arqam, Asaari Muhammad masih hidup dan kini parodi lagu berkenaan kembali tular di media sosial. "Justeru saya menasihatkan supaya hentikannya segera kerana boleh memesongkan akidah," katanya selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan dan Anugerah MBOR Penulisan 3 Juta Kalimah Allah di SMU(A) Bustanus Saadah, Morak, di sini, hari ini.
Mutakhir ini media sosial banyak dibanjir dengan parodi ke arah lagu yang menyanjung Abuya (Asaari selaku pengasas Al-Arqam). Pada 27 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited memastikan polis menjalankan siasatan telus terhadap GISBH. Awal bulan ini, polis melancarkan tindakan besar-besaran ke atas rumah kebajikan yang dikendalikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan. Serbuan menyaksikan 402 kanak-kanak, berusia antara satu hingga 17 tahun diselamatkan daripada dakwaan eksploitasi dan penderaan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata mangsa mengalami pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan termasuk diliwat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304921/nasihat-kepada-orang-ramai-yang-suka-nyanyikan-lagu-gisbh
|