Pengasuh abai kanak-kanak didakwa di mahkamah
Siti Salwa (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak lelaki berusia setahun di taska di Pertam Jaya tahun lalu. NSTP/ Meor Riduwan.
MELAKA: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan pengabaian terhadap seorang kanak-kanak lelaki di taska pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Siti Salwa Rezuan, 35, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Salwa sebagai guru tadika kepada kanak-kanak berusia setahun, didakwa mengabaikan atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taska Permata Riang Ria, Taman Pertam Jaya, Semabok, di daerah Melaka Tengah, di sini, pada jam 2.30 petang 27 Oktober 2023.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin dan Siti Salwa diwakili peguam Mohd Nazri Abd Hamid. Nor Asnini menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, namun Mohd Nazri merayu dikurangkan kepada RM5,000 kerana tertuduh hanya pengasuh di rumah, manakala suaminya bekerja di kilang dengan pendapatan RM1,500 serta perlu menanggung keluarga. Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu saksi dan mangsa serta menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306140/pengasuh-abai-kanak-kanak-didakwa-di-mahkamah
|