KKM akan dedah laporan siasatan kematian pakar patologi Hospital Lahad Datu
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjawab soalan ketika waktu pertanyaan- pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah disyaki dibuli, sejurus ia diselesaikan kelak. Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit, jika terbukti ada unsur buli dalam kes berkenaan, biarpun dapatan jawatankuasa bebas mungkin mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian pakar itu. "Pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital kendalian KKM di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain, biarpun dia ketika itu sudah berpangkat Jusa. Tindakan ini hasil sisastan jawatankuasa bebas berkaitan buli, sebelum ini. "Justeru, saya lebih gemar mengambil sikap untuk mendedahkan dapatan ini atas prinsip akauntibiliti dan ketelusan dan mustahak untuk ia dilakukan sedemikian supaya semua pihak dapat mengambil iktibar, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen.
"Kita perlu tahu perkara ini secara terperinci bagi memastikan dasar baharu yang digubal nanti boleh berpandukan maklumat tepat," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai kesediaan KKM mendedahkan hasil siasatan kes terbabit, sekurang-kurangnya kepada Dewan Rakyat. Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah, ditubuhkan pada 10 Oktober lalu sejurus siasatan dalaman ke atas kes kematian pakar patalogi Hospital Lahad Datu, selesai dilaksanakan KKM. Katanya, pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan terperinci secara bebas dan inklusif, seterusnya menganalisis semua input daripada siasatan dijalankan serta mengenal pasti punca kes kematian dan mengesahkan, sama ada benar wujud perlakuan buli. Pasukan berkenaan juga akan menyediakan laporan lengkap berhubung hasil siasatan dan penelitian dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penubuhannya. "KKM tidak berkompromi dengan isu buli. Berdasarkan aduan kes buli sebelum ini, KKM mengambil sikap tegas dan telus dengan melaporkan hasil siasatan sejurus selesai," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312060/kkm-akan-dedah-laporan-siasatan-kematian-pakar-patologi-hospital
|