Bekalan makanan cukup sepanjang Monsun Timur Laut - Mohamad
Mohamad menyaksikan pelepasan vesel tangkapan tuna berkapasiti tinggi dan bertaraf antarabangsa di Dermaga Bagan Dalam, Butterworth. - Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
BUTTERWORTH: Kerajaan akan menggunakan segala sumber yang ada untuk memastikan rakyat mendapat bekalan makanan mencukupi sepanjang negara berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac tahun depan. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata walaupun tidak dapat memberi jaminan 100 peratus namun berbekalkan pengalaman yang ada, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan berikhtiar untuk memastikan bekalan makanan mencukupi. Katanya, segala persediaan menghadapi MTL juga sudah dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya semua jentera bersiap sedia. "Tapi sejauh mana bencana itu menimpa (kita tidak pasti) walaupun kita lihat awalnya (kehadiran MTL) agak teruk seperti mana yang berlaku di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Hujan yang menyebabkan banyak banjir kilat malah Parlimen pun tertangguh setengah jam, namun dari sudut persediaan kita (KPKM) memang ada. "Mencukupi (bekalan makanan) atau tidak, saya yakin dengan pengalaman yang ada kita akan berikhtiar untuk bagi cukup," katanya ketika diminta mengulas persediaan KPKM memastikan sekuriti makanan mencukupi ketika menghadapi MTL. Terdahulu Mohamad menyaksikan pendaratan 75 tan ikan tuna hasil tangkapan oleh syarikat tempatan, Alpha Ocean Resources Bhd Group (AORB Group). Syarikat itu melakukan penangkapan ikan tuna tiga kali setahun dan ini merupakan yang ketiga untuk tahun ini dengan hasil tangkapan dieksport ke Jepun, Singapura, Vietnam, Thailand dan Amerika Syarikat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1313706/bekalan-makanan-cukup-sepanjang-monsun-timur-laut-mohamad
|