Hubungi saya berbincang, bersemuka dan saling memaafkan, selesai - JoBranko
KUALA LUMPUR: Gitaris Kumpulan Barbarik, JoBranko mempersoalkan tindakan vokalis Wings, Datuk Awie yang membangkitkan mengenai bayaran tinggi dikenakan kumpulannya dengan isu peribadi. Tegas JoBranko atau nama sebenar Abdul Zamin Abdul Kadir dakwaan harga terlalu tinggi tak sepatutnya ditimbulkan kerana ia adalah harga standard dikenakan Barbarik untuk setiap persembahan dijayakan. "Bagi saya, konsert dan hubungan silaturahim tiada kena mengena. "Bahkan, tidak adil untuknya kaitkan isu peribadi dengan soal kerja. Ini soal bisnes dan tiada kaitan dengan isu peribadi.
"Soal harga dibincangkan adalah perkara biasa dalam mana-mana urusan profesional, termasuk dalam industri muzik. "Setiap artis, termasuk Barbarik, mempunyai nilai yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat dan reputasi. "Artis lain juga mempunyai nilai yang bersesuai dengan reputasi dan harga pasaran mereka," katanya ditemui dalam majlis pengumumannya sebagai duta gitar jenama Gibson, di sini, hari ini. Ditanya adakah ruang untuk Barbarik bekerjasama dengan Wings, JoBranko berkata, mereka bersedia namun dengan cara lebih profesional. "Jika benar ingin bersilaturahim, cara terbaik dengan pendekatan peribadi seperti menghubungi kami. "Mereka boleh hubungi saya, berbincang, bersemuka dan saling memaafkan kesilapan masing-masing. Selesai. "Mengeluarkan kenyataan jelas mengelirukan sebenarnya bukan untuk memulihkan hubungan silaturahim, tapi kelihatan mempunyai niat tidak baik. "Saya baca kenyataan itu pun jadi pening dan bingung," ujarnya.
Meskipun tidak menolak berkolaborasi, namun Jo bertegas tidak akan kembali menyertai Wings. "Masing-masing sudah ada haluan sendiri. Jadi, biarlah saya fokus kepada Barbarik. "Kami pun nak keluar album penuh dan buat showcase pada 1 Disember depan," kongsi Jo. Sebelum ini, media melaporkan Awie mengesahkan ada mengajukan tawaran kepada Barbarik yang diketuai JoBranko untuk terbabit dalam Rock Warrior Music Festival (RWMF) di KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November ini. Awie berkata, tawaran itu diajukan rakan kongsinya dalam Rumah Produksi Merah (RPM) iaitu Datuk Eddy Amir Salim, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila JoBranko yang juga bekas pemain gitar Wings didakwa meletakkan harga tinggi.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1305798/hubungi-saya-berbincang-bersemuka-dan-saling-memaafkan-selesai
|