Choii didenda RM3,000 kerana aksi 'drift'
BALIK PULAU: Pempengaruh TikTok dikenali Choii, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memandu secara gopoh dengan melakukan aksi seretan tayar atau 'drift'. Choii atau nama sebenarnya Muhammad Faris Azri Md Hanif, 25, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu kereta secara gopoh hingga mungkin menyebabkan bencana kepada orang lain di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, jam 3.45 pagi pada 28 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani memohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran, manakala tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf. Ahad lalu, Muhammad Faris direman dua hari selepas ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas di sini. Dia ditahan semasa melakukan aksi 'drift' ketika memandu kereta jenis Mazda Roadster untuk siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Choii didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di Balik Pulau, hari ini atas pertuduhan memandu secara gopoh. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306095/choii-didenda-rm3000-kerana-aksi-drift
|