'Dia boleh jadi sesiapa sahaja' - Azam Baki
KUALA LUMPUR 17 OKTOBER 2024. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan pada Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank Bank Komersial di Hotel Pacific Regency. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR: "Dia boleh jadi sesiapa sahaja." Demikian jawapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung identiti ahli politik yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rasuah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI). Azam meminta semua pihak menunggu hasil siasatan SPRM terhadap kes berkenaan. "Saya tidak mahu komen mengenainya kerana dia boleh jadi sesiapa sahaja. Jadi, kita tunggu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank-bank Komersial di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai khabar angin di media sosial dan blog yang menamakan seorang ahli politik terbabit dalam kes rasuah MBI. Ditanya bila SPRM akan memanggil ahli politik berkenaan, Azam berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan terhadap dokumen terbabit dan keterangan saksi. Setakat ini, katanya, hanya ahli politik itu yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkaitan. "Jika kita mahu panggil seseorang yang penting dalam hal ini, kita perlu dapatkan keterangan menyeluruh dahulu. Jika tidak, kita panggil kemudian tanya separuh (soalan), esok nak panggil lagi. "Saya nasihatkan pegawai saya supaya panggil bila keterangan yang kita ada memadai untuk bertanya kepada individu itu. Jangan panggil berpuluh kali, nanti ramai yang akan muak dengan kita," katanya. Mengenai dakwaan bahawa siasatan kes MBI bermotifkan politik, Azam berkata, SPRM hanya menjalankan tugas berdasarkan maklumat dan aduan diperoleh. "Terpulanglah kepada sesiapa nak kata. Jika kes itu membabitkan kepentingan awam, kita akan menjalankan siasatan terus dan jika membabitkan sektor swasta, mesti ada pengadu yang sahih datang kepada kami. "Jika pegawai saya membuat pengesahan kes ini ada sebab yang munasabah untuk disiasat, kita akan jalankan siasatan. Perkara remeh-remeh mengatakan ini isu politik dan sebagainya, terserahlah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312074/dia-boleh-jadi-sesiapa-sahaja-azam-baki
|