|
FAM ubah syarat pindah
Kuala Lumpur: Pintu perpindahan kedua bagi pemain Liga Malaysia (Liga-M) musim ini iaitu dari 8 hingga 22 April depan dijangka bertambah sibuk dan meriah apabila buat pertama kali Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pasukan terbabit mengambil pemain dari pasukan lain.
Sebelum ini, pintu perpindahan kedua hanya membenarkan pasukan itu mendaftar tiga pemain tempatan baru yang tidak menyarung jersi mana-mana pasukan pada musim berkenaan.
Begitupun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perpindahan pertengahan musim itu hanya boleh berlaku andai pemain yang mahu didaftarkan sesebuah pasukan itu mendapat kebenaran daripada pasukan asalnya, iaitu ia memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Maksimum 3 pemain tempatan
“Peraturan 4.5.5 dalam Peraturan Am Liga Malaysia 2013-2016 menyatakan bahawa perpindahan kedua ini dibenarkan secara pendaftaran baru (bagi pemain yang tiada pasukan) dan juga perpindahan pemain dari satu pasukan ke pasukan lain iaitu menerusi perpindahan terus atau secara pinjaman. Buku peraturan ini sudah pun diedar ke semua pasukan pada awal musim ini.
“Namun pendaftaran kedua ini hanya membenarkan sesebuah pasukan itu mendaftar maksimum tiga pemain tempatan dan dua pemain import. Ini kali pertama kami benarkan perpindahan seumpama ini dan ia berkuatkuasa untuk tempoh empat musim iaitu sehingga 2016.
Harimau Muda hak FAM
“Buat permulaan, kami benarkan maksimum tiga pemain tempatan saja kerana kelompok pemain yang kita ada ketika ini tidaklah begitu besar dan bimbang boleh merosakkan perjalanan pasukan. Apa pun mungkin pada masa akan datang kita boleh laksanakan juga perpindahan pertengahan musim tanpa had seperti dilaksanakan di Liga Perdana Inggeris (EPL),” kata Hamidin pada sidang media selepas mesyuarat JKPT di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
Dengan pengumuman rasmi daripada FAM itu, pasukan Liga Super berstatus bintang, Johor Darul Takzim dijangka menjadi pasukan pertama ‘memanfaatkan’ peraturan baru FAM itu apabila mereka sudah pun dikatakan mahu menukar tiga pemain tempatan dan seorang pemain import mereka dengan pemain dari skuad Liga Perdana, Johor dan sebaliknya.
Ditanya adakah pemain skuad Harimau Muda A juga dibenarkan didaftarkan oleh mana-mana pasukan Liga Super dan Liga Perdana pada perpindahan kedua itu, Hamidin berkata: “Jika FAM tak benarkan, perpindahan tetap tak boleh berlaku. Sama juga seperti pasukan lain, jika tidak mendapat kebenaran pasukan asal, tak boleh juga daftar pemain baru itu."
### FAM ni bila la nak profesional cam persatuan hoki.... Suka memindahkan sesuatu polisi untuk kepentingan sesetengah individu..hmmm
[url=][/url][url=][/url][url=]
[/url]
|
|