Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 30 Julai lalu, juga bertitah supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memberi taklimat mengenai cadangan pindaan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam negeri bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan terlebih dahulu.
"Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam juga akan meneliti cadangan pindaan akta ini, dan laporan hasil kajian bakal diambil kira dalam menggubal pindaan.
"Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 kemudian akan dibentang kepada MKI dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenan, sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet untuk persetujuan dasar sebelum dibentangkan di Parlimen," kata Zulkifli.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad
@Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai usaha membentangkan pindaan RUU355 bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada April 2017, RUU 355 dibentangkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), Zulkifli berkata sesi libat urus turut merangkumi orang bukan Islam direkodkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
"Ia membabitkan pertubuhan bukan Islam seperti Christian Federation of Malaysia, National Evangelical Christian of Fellowship Malaysia, Persatuan Agama Taoism Malaysia, Sri Maha Mariamman Temple, Malaysia Hindu Sanggam, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Jabatan Premier Sarawak dan beberapa badan lain.
"Ini membuktikan kita mengambil kira untuk memberi penerangan mesti bersifat inklusif dan ia mesti merangkumi keseluruhan masyarakat.
"Kita akan meneruskan lagi sesi libat urus ini agar semua pihak memahami ia bukan usaha politik, tetapi demi memartabat dan mengangkat institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312106/ruu-355-bagi-memperkasa-mahkamah-syariah-dijangka-dibentang-dengan