Akta hukuman tahanan di rumah sasar 20,000 pesalah kali pertama, kesalahan tidak serius
Saifuddin Nasution pada sidang media ketika hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Kota Raja di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
KLANG: Akta baharu hukuman tahanan di rumah disasarkan kepada 20,000 pesalah kategori tertentu dan berkelayakan selepas menjalani proses tapisan penuh oleh kerajaan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia akan meliputi pesalah kali pertama yang tidak melibatkan kesalahan atau hukuman berat. "Angkanya ada sekitar 20,000, jadi mereka ini adalah 'first offender' yang melakukan kesalahan yang tidak serius sebagai contoh ibu tunggal dihimpit kemiskinan curi susu kerana nak bagi anak, orang yang sakit, warga emas. "Jumlah 20,000 itu yang layak dipertimbangkan. Walaupun dia 'first offender' tapi jika disiplin dalam penjara teruk, dia tidak terpilih kerana akan ada proses tapisan (yang dipilih untuk tahanan di rumah)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja di sini, petang ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu. Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara. Namun, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempersoalkan akta baharu itu bertujuan memberi manfaat kepada pihak tertentu dan tidak sesuai diterapkan kepada mereka yang melakukan jenayah berat. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata cadangan merangka akta itu dibuat kerana isu kesesakan serius di 43 penjara seluruh negara yang menyebabkan keadaan tidak kondusif. Katanya, seramai 82,000 tahanan kini di penjara seluruh negara berbanding kapasiti yang ditetapkan iaitu 74,000 orang. "Oleh itu, kita perlu melakukan sesuatu bagi mengatasinya kerana pesalah dikategorikan kepada dua iaitu mereka yang sudah disabitkan bersalah dan tahanan reman. "Amalan (tahanan di rumah) ini turut dilaksanakan di sebahagian besar negara maju dalam dunia hari ini antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia. "Pada waktu ini, bagi kerajaan ruang dahulu bagi penggubalan akta baharu berkenaan dan kita akan membentangkan akta ini tahun depan yang mana ia akan turut dibahaskan oleh semua ahli Parlimen," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1313689/akta-hukuman-tahanan-di-rumah-sasar-20000-pesalah-kali-pertama
|