Isu subsidi pendirikan disentuh Perdana Menteri dalam ucapannya ketika merasmikan Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Putrajaya, semalam.
Ucapan beliau seperti memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Tegas Perdana Menteri, membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan adalah tindakan tidak adil, sedangkan dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.
Anwar melihat wujud keadaan tidak adil apabila ada anak penjawat awam dengan pangkat kanan, pemimpin politik dan pengusaha terkenal dihantar ke sekolah terbaik dibiayai kerajaan.
Keadaan itu, tambahnya, tidak menggambarkan peratusan anak miskin ke pusat pendidikan terbaik dibantu kerajaan seperti sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains MARA.
"Bentuk ketirisan ini, termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan," katanya yang juga Menteri Kewangan.
Perdana Menteri yang dijangka memperincikan isu itu dalam pembentangan Belanjawan 2025 dijadualkan 18 Oktober ini, memberi contoh anak orang kaya yang dihantar ke fakulti kejuruteraan sepatutnya membiayai sendiri kos pengajian.
"Sepatutnya, kalau anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, Melayu atau Cina atau Iban, dia kena bayarlah. Jadi dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan. Kalau tidak, subsidi seperti ini berterusan," tegas Anwar.
Zambry berkata, penekanan kerajaan ketika ini adalah supaya golongan berpendapatan tinggi atau T20 mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk tidak mengambil kesempatan atas subsidi yang diberikan kerajaan.
"Perdana Menteri memberikan pandangan itu memandangkan bagaimana selama ini (subsidi pendidikan) diberi secara pukal begitu sahaja tanpa menyasarkan golongan yang berhak terima khususnya golongan B40 atau sebahagian M40.
"Saya fikir ini yang disebutkan sebagai prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab moral bagi golongan berada ini. Mereka tahu keistimewaan (subsidi pendidikan) tempat ini (universiti), tahu sewajarnya anak mereka tidak perlu dapatkan keistimewaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sambutan Hari Akademia perlu dibuat dengan lebih prestij dan setaraf Hari Guru bagi menghargai jasa dan pengorbanan pensyarah serta pemikir pendidikan tinggi negara pada setiap 5 Oktober bermula tahun depan.
Katanya, jasa dan sumbangan pendidik di universiti, politeknik serta kolej komuniti perlu disantuni dan dihargai dalam usaha mendedahkan kepada masyarakat golongan yang selama ini bekerja di belakang tabir untuk pendidikan dan pembangunan negara.
"Saya harap mulai tahun hadapan, kita dapat anjurkan dalam suasana gilang gemilang dengan pengisian acara seperti memberi pengiktirafan kepada profesor, pengajar dan pendidik di universiti dan pusat pengajian tinggi, politeknik serta kolej komuniti," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305403/henti-subsidi-pendidikan-anak-golongan-kaya-hanya-selepas-dapat