Polis akan sambung reman 24 ahli GISBH termasuk CEO
KUALA LUMPUR: Polis akan memohon sambungan reman untuk 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, yang dijadual tamat esok. Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, untuk membolehkan pihaknya meneruskan siasatan berkait kes pemerdagangan orang. "Semua 24 ahli termasuk kepimpinan tertinggi GISBH seperti CEO, isteri dan anak-anak ditangkap semula bersabit satu kertas siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. "Permohonan sambung reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan," katanya ringkas kepada BH
Pada 30 September lalu, Razarudin mengesahkan 24 individu termasuk Pengerusi yang juga CEO GISBH direman lima hari lagi. Katanya, mereka disambung reman bermula 30 September hingga esok untuk siasatan berkaitan satu laporan kes ekploitasi buruh paksa. Mereka direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022. Ia susulan satu laporan polis dibuat mangsa di Cheras yang dieksplotasi suspek ketika bekerja di syarikat terbabit dan tidak menerima bayaran gaji. Dalam pada itu, katanya, setakat ini seramai 93 ahli GISBH ditahan reman mengikut Sekyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala 34 orang lagi ditahan mengikut peruntukan SOSMA. Media sebelum ini melaporkan 19 individu terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk CEO GISBH ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini kira-kira jam 5.40 pagi, 19 September lalu. Lima lagi individu termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu. Semua 24 individu terbabit berusia 25 hingga 65 tahun sebelum ini direman tujuh hari bermula 19 September lalu dan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. Selepas reman mereka tamat pada 25 September, tempoh reman disambung lagi empat hari sehingga 29 September lalu. Sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, lebih 300 individu termasuk kepimpinan tertinggi GISBH ditahan, manakala 592 kanak-kanak diselamatkan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306090/polis-akan-sambung-reman-24-ahli-gisbh-termasuk-ceo
|