|
ALOR GAJAH: Sebuah keluarga yang hidup daif tinggal dalam pondok usang yang sebelum itu dijadikan sangkar ikan di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, di sini.
Rosli Baba, 50, yang cedera tulang belakang selepas terbabit kemalangan 10 tahun lalu tinggal bersama isterinya, Mariana Kharudin, 32, serta dua anak tirinya, Eiman Fiqrie Mohd Hapizan, 4, dan Nur Alisa Fathah Mohd Hapizan, 2 tahun.
Menurut Rosli, isterinya yang kini hamil empat bulan mempunyai lima anak hasil perkahwinan terdahulu, namun menyerahkan tiga daripadanya yang bersekolah kepada keluarga bekas mentua, manakala dua lagi anak tinggal bersama mereka.
Dia yang mengalami masalah tulang belakang tidak berupaya melakukan kerja berat sehingga terpaksa keluar dari rumah sewa di kampung sama sejak Oktober tahun lalu.
“Disebabkan masalah kesihatan, saya tidak mampu melakukan kerja berat untuk mencari pendapatan menyara keluarga sementara isteri yang mengandung tidak bekerja.
“Sebelum ini, kami menyewa di sebuah rumah dengan bayaran RM150 sebulan, namun keluar dari rumah itu kerana tidak mampu membayar sewa dan sejak itu kami sekeluarga tinggal di sini,” katanya.
Rosli sekeluarga kini tinggal di sebuah pondok usang yang dulunya dijadikan tempat ternakan ikan air tawar milik kakaknya.
“Selepas keluar dari rumah sewa, kakak mempelawa saya dan keluarga menggunakan dua sangkar ternakan ikan untuk dijadikan tempat perlindungan kerana saya tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain.
“Sejak Oktober tahun lalu, saya sekeluarga tinggal di dalam sangkar ikan ini dan saya hanya mampu melakukan kerja kampung dengan menoreh getah apabila diperlukan,” katanya.
Menurutnya, dalam sehari dia meraih hasil RM15 atau RM20 untuk membeli keperluan makan dan minum keluarganya.
Rosli berkata, dia memohon rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak tinggal di sangkar ikan itu pada Oktober tahun lalu menerusi seorang saudaranya, tetapi hingga kini tiada maklum balas.
“Selepas tinggal di sangkar ikan ini, saya minta bantuan abang yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mendapatkan rumah PPRT, namun hingga kini masih tiada jawapan,” katanya.
Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Md Yunos Husin berkata, permohonan yang dihantar diproses segera dan paling lewat tiga bulan dari tarikh permohonan dibuat.-METRO........ |
|