Malaysia perlu undang-undang tangani pelampau keganasan - Anwar
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, wujud keperluan bagi Malaysia memiliki undang-undang keselamatan yang khusus menangani dan mencegah pelampau keganasan. Perdana Menteri berkata, penguatkuasaan undang-undang sedemikian bukan bertujuan menyekat hak dan kebebasan rakyat. Sebaliknya, beliau berkata, adalah penting bagi mencegah sebarang elemen keganasan dari meluas, termasuk doktrin ketaasuban melampau. "Sebab itu saya rasa ada keperluan mengenai akta keselamatan negara yang menjurus khusus kepada usaha menjamin keselamatan dalam negeri daripada unsur-unsur dan pengaruh luar.
Saya serah kebijaksanaan polis dan tentera serta agensi penguatkuasaaan lain jika ada elemen yang perlu dimasukkan, belum cukup kuat dalam undang-undang negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Anwar berkata, penguatkuasaan undang-undang sedemikian semestinya akan disergah atau ditentang sesetengah pihak, namun keutamaan kerajaan pada waktu ini adalah soal keselamatan rakyat dan negara. *Berita lanjut menyusul*
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304925/malaysia-perlu-undang-undang-tangani-pelampau-keganasan-anwar
|