|
Rumah diceroboh penjenayah berkumpulan, keluarga rugi RM600,000
SHAH ALAM: Sebuah keluarga kerugian RM600,000 selepas kediaman mereka di Pandamaran, Klang dekat sini dimasuki sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata seorang daripada tiga penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun.
Katanya, polis menerima laporan pada jam 6.16 pagi daripada seorang mangsa berhubung rumahnya dipecah masuk beberapa lelaki.
"Hasil siasatan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, antara 10 hingga 12 suspek dipercayai warga tempatan menaiki dua kenderaan memanjat tembok banglo tiga tingkat itu sebelum masuk ke rumah.
"Semua suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang dikesan memasuki sebuah bilik dan mengikat tiga penghuni rumah itu sebelum menggeledah barangan.
"Seorang penghuni berjaya menelefon polis dan sebaik kereta peronda tiba di lokasi, semua suspek melarikan diri bersama dua kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hoong Fong berkata, semakan mendapati suspek melarikan wang tunai, patung keagamaan dan barang kemas bernilai RM600,000.
"Seorang penghuni berusia 37 tahun ditetak di bahu dan menerima jahitan di sebuah hospital swasta di Klang," katanya.
Beliau berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
Katanya, polis giat mengesan dan menangkap suspek.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... uarga-rugi-rm600000
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|