KD Pendekar tenggelam dekat Kota Tinggi Ogos lalu, sudah diapungkan
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan Kapal Diraja (KD) Pendekar yang tenggelam pada kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Ogos lalu sudah diapungkan jam 4.38 petang semalam. TLDM dalam kenyataan hari ini berkata kapal terbabit sedang menjalani pembaikan awalan sebelum diserahkan semula. "Operasi salvage KD Pendekar pada dasarnya telah dapat diselesaikan walaupun terdapat beberapa cabaran. "Lokasi di mana kapal terbabit karam kini disahkan selamat dan tiada tinggalan peluru atau bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan komunitimaritim khususnya yang sering menggunakan perairan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika ia melaksanakan penugasan operasi. Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air. TLDM turut mengesahkan kapal miliknya itu tenggelam sepenuhnyajam 3.54 petang, 25 Ogos lalu. Katanya, punca dan faktor menyebabkan KD Pendekar tenggelam masih dalam proses siasatan oleh Lembaga Siasatan. Kenyataan sama turut memaklumkan, masa depan kapal berusia lebih 45 tahun itu akan diputuskan bersekali dengan rancangan 'Phasing In-Phasing Out' kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh. Ia dilaksanakan selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310392/kd-pendekar-tenggelam-dekat-kota-tinggi-ogos-lalu-sudah-diapungkan
|