Sumber Foto: Harian Metro
Di Segamat, polis berjaya menahan enam remaja lelaki termasuk dua daripadanya adalah pasangan kembar kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah tabung di beberapa masjid di sekitar daerah ini sejka tiga minggu lalu.
“Semua suspek yang tidak lagi bersekolah itu ditahan membantu siasatan kes melarikan tabung masjid di sekitar Bandar Putra dan Bukit Siput sejak tiga minggu lalu,” kata Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi kepada Harian Metro.
Tambahnya, kegiatan remaja tersebut boleh dianggap sangat licik kerana dapat mengelak dari dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di masjid.
Memetik laporan Harian Metro, suspek dikatakan menggunakan pahat untuk membuka peti besi tabung masjid dengan memecahkan mangga kunci terlebih dahulu.
Suspek juga telah memasang kembali mangga kunci tersebut selepas mengambil wang untuk mengelakkan perbuatannya disedari oleh pihak pengurusan masjid.
Semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan kerana curi dan pecah masuk dalam bangunan. -CARI |