Foto: Berita Harian Online
Di Kota Bharu, seorang pekerja kontrak dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah oleh Mahkamah Sesyen kerana memaksa isterinya minum racun di Kampung Pak Roman, Machang Jun lalu.
Tertuduh, Mohamad Abdullah Zaini, 36, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.
"Saya berharap, hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh mampu memberi keinsafan terhadap tertuduh yang juga seorang suami serta bapa," katanya.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh didakwa memaksa Syarifah Mohd Yusof, 35, meminum racun sehingga mendatangkan kecederaan di sebuah rumah beralamat di Kampung Pak Roman, Machang jam 6 petang pada 2 Jun lalu.
Namun hubungan tertuduh dengan isteri masih baik dan buktinya isteri tertuduh hadir ke mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad bagaimanapun berkata ia adalah kesalahan serius kerana memberi racun kepada isteri dan boleh mengakibatkan kematian, sedangkan peranan seorang suami adalah melindungi isterinya.-CARI |