Edited by CARI-MAL at 4-1-2017 12:51 PM
Adakah anda ingat lagi subjek paling membosankan semasa zaman persekolahan? Pasti rata-rata akan mengatakan ianya adalah mata pelajaran Sejarah, bukan? Perlukan semangat yang kuat untuk menghadam apa yang diajarkan guru.
Kalau bukan sebab subjek itu yang bosan, mungkin pendekatan guru itu kurang sesuai dengan muridnya. Sudahlah banyak nota yang perlu dihafal.
Kini, ada sebuah pendekatan baru diperkenalkan seorang guru mata pelajaran Sejarah iaitu menghafal dan memahami menerusi lagu. Menarik, bukan? Bukan sahaja sesi pembelajaran lebih menyeronokkan, malah membantu memperkukuh ingatan murid.
Vulcan Chong Weng Hon, 25, salah seorang guru dari Pusat Tuisyen Super Education Group, di Taman Taynton View, Cheras, memperkenalkan kaedah kreatif dan berkesan iaitu mereka lagu 'Sejarah Melodi' berdasarkan silibus buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan 5.
"Melalui nyanyian, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan daya ingatan mereka terhadap jalan cerita sesuatu kejadian yang berlaku pada zaman lampau malah turut menjadikan proses pembelajaran itu menghiburkan," katanya kepada Bernama.
Sumber Video: Youtube Vulcan
Menurut lulusan Pengurusan Perniagaan dari Uptrend Business School, Singapura itu, dia mula memuat naik video lagunya menggunakan lirik bahasa Melayu selepas ada pelajar bukan Cina menunjuk minat terhadap video pertamanya di Youtube.
"Ada juga dalam kalangan guru yang memuat turun video itu dan menjadikannya sebagai alat bantuan pengajaran mereka dalam mata pelajaran Sejarah SPM di dalam bilik darjah," katanya.
Wah! Kalau guru pun menjadikan videonya sebagai alat bantu mengajar, pasti video itu sangat berkesan dalam membantu meningkatkan minat murid terhadap subjek berkenaan. - CARI |