|
ALOR SETAR, 16 Jan – Muafakat…… Parti UMNO di negeri Kedah perlu terus mengutamakan semangat muafakat sebagai sebuah keluarga dalam Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan penguasaannya di negeri ini, demi maruah parti dan orang Melayu.
Demikian ingatan disuarakan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama barisan kepimpinan UMNO negeri, di sini, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, ketika ditemui sejurus selesai mesyuarat yang turut disertai kepimpinan tiga sayap pergerakan parti, selain 15 UMNO bahagian di Kedah.
Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, Presiden UMNO menekankan mengenai kepentingan muafakat sesama ahli, sekali gus menuntut komitmen tinggi semua peringkat kepimpinan negeri untuk mempertahankan penguasaan di Kedah.
“BN Kedah sudah tetapkan sasaran untuk menang sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
“Presiden (Najib) begitu yakin dengan keupayaan UMNO Kedah kerana negeri ini beliau akui cukup penting untuk dikekalkan demi maruah parti.
“Jika UMNO dan BN berjaya menang PRU di negeri ini, parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) akan terkubur selamanya,” katanya. – WD MY
http://wartadaily.com.my/muafakat-utuh-untuk-barisan-nasional-kuburkan-ppbm-ahmad-bashah/
|
|