Memiliki wajah ayu dan lemah lembut tetapi dalam lakonan, Izara Aishah komited melakukan yang terbaik termasuk melakonkan sendiri aksi lagak ngeri. Menerusi filem terbarunya J Revolusi, pemilik nama sebenar Izara Aishah Hashim, 25, menolak menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri dalam semua babak lawan yang dilakonkannya.
“Ya semua buat sendiri, tidak guna pelakon aksi lasak ngeri, saya risau orang yang ganti saya tidak berlakon betul-betul dan tidak menepati apa yang saya mahukan (dalam lakonan),” katanya kepada ProjekMMO ketika ditemui di majlis tayangan perdana baru-baru ini.
Katanya adegan yang paling sukar dibawa ialah ketika babak pertarungan dengan pelakon utama Zul Ariffin. “Banyak lebam yang Izara dapat, sudah tentu aksi lawan dalam filem itu agak sukar, Izara kena angkat Zul, terajang dia hempas dia dekat almari,” katanya.
Filem terbitan usahasama Grand Briliance dan Infinitus Production mengisahkan Jay Zulkarnain lakonan Zul Ariffin seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK). Konflik bermula apabila Jay cuba menyelamatkan adik perempuannya, Dian (Fazura) seorang ejen penyamaran yang ditangkap kumpulan pengganas PFO.
Apabila semua rakan pasukannya mati dibunuh, Jay dituduh bersubahat dengan kumpulan pengganas, lalu hadir Edie lakonan Izara Aishah membantunya menyelamatkan keadaan. Pelakon drama Masam Manis itu berkata karakter Edie yang dibawa dalam filem tersebut berbeza dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Sebelum ini Izara bawa watak gadis kampung, gadis sedih dan drama romantik tapi kali ini lain sebab karakter ini seorang anggota UTK, watak ganas. “Jadi Izara harap penonton akan nampak Izara yang lain dalam cerita ini,” katanya.
Berbicara watak idaman yang diinginkan, jelas Izara yang sedang menjalin hubungan dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza teringin berlakon dalam filem biopik. “Izara harap dapat bawa cerita yang kisah benar contohnya sebagai Mona Fandey, itu cerita kisah benar, nak bawa watak macam orang kena rasuk itu sangat mencabar buat Izara,” katanya. - See more at: http://www.themalaymailonline.co ... thash.5Ps4Kyv0.dpuf
|